SEREMBAN: Kerajaan memberikan pelbagai bantuan dan insentif kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mengatasi apa yang dinikmati oleh veteran di kebanyakan negara lain termasuk negara maju, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata veteran tentera di negara ini bukan sahaja menikmati bantuan kesihatan dan kebajikan untuk diri mereka sendiri malah isteri dan anak-anak mereka.
"Kita pernah mengadakan pertemuan dengan pengarah-pengarah veteran tentera dari Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan United Kingdom dan mereka membuat perbandingan tentang apa yang diterima oleh veteran tentera di Malaysia ini dengan negara mereka.
"Veteran di Malaysia bukan sahaja menerima bantuan meliputi perubatan isteri dan anak-anak veteran turut menerima bantuan kesihatan dan kebajikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan bersama rakyat di Kem Sikamat, di sini malam Ahad.
Katanya, berbanding veteran di kebanyakan negara lain, mereka hanya menerima bantuan yang minimum dan langsung tidak meliputi isteri dan anak-anak.
"Ertinya apa yang diperolehi ini lebih baik, walaupun ada yang perlu diperbaiki, tetapi kerajaan prihatin terutama soal kesihatan dan bantuan kebajikan veteran," katanya.
Katanya, kerajaan juga sentiasa mendengar pelbagai pandangan mana-mana pihak terutama daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, dalam menambah baik bantuan dan insentif untuk disalurkan kepada veteran bagi meningkatkan tahap kehidupan mereka selepas menamatkan perkhidmatan.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan dan parti politik untuk tidak mempolitikkan isu kebajikan veteran ATM. Katanya, sebarang pandangan untuk menambah baik kebajikan veteran harus menggunakan saluran yang betul tanpa menggunakan badan-badan bukan kerajaan sebagai pihak pendesak.
"Contohnya bagi veteran tentera tidak berpencen, walaupun terdapat 234,500 orang yang tidak berpencen ini, kerajaan telah berpuas hati dengan tuntutan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen dan memberikan saguhati melibatkan peruntukan tidak kurang RM234 juta kepada tentera tidak berpencen," katanya. - BERNAMA
GR kata: Kerajaan sentiasa membantu dan memberikan yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat...
No comments:
Post a Comment