Tuesday, February 14, 2012

Februari Bulan CINTA?? Hayatilah Pengertiannya...


Saban tahun tatkala menjelangnya Februari, maka berkumandanglah tema Hari Kekasih di serata dunia, termasuklah di Malaysia.

Lagu dan lirik memuja kekasih sering diungkapkan seumpama “Kau kekasih awal dan akhir”, “Sekuntum mawar merah di bulan Februari”, “C.I.N.T.A...” turut kedengaran di corong radio, di samping pelbagai acara dilaksanakan ketika ini.

Menjadi trend masa kini hanyalah Februari dianggap keramat dan penting dengan populariti hari memuja kekasih, sedangkan bulan lain diketepikan begitu sahaja. Pada tahun ini sekali lagi, Februari jatuh bersamaan dengan Rabiulawal dalam Hijriah iaitu bulan kelahiran junjungan besar kekasih ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW yang dilantik sejak 1440 tahun sebagai pesuruh akhir zaman dan penghulu segala nabi dan rasul.

Muhasabah diri

Cuba renungkan sebentar dengan perkara peribadi seperti makan, kelakuan, percakapan sehinggalah pengurusan pentadbiran negara, adakah semuanya berlandaskan dengan apa yang diperintahkan ALLAH SWT dan bertepatan dengan amalan rasul-Nya? Sekiranya masih wujud aspek yang tidak mengikut perkara yang disuruh syariat atau sunnah, cepat-cepatlah bermuhasabah diri dalam menyambut Hari Kekasih ALLAH SWT, agar sempat kembali semula kepada fitrah (semula jadi).

Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Sa’id Al-Khudri yang menegaskan bahawa pada akhir zaman nanti lahir sekumpulan manusia yang mengikuti musuh mereka dalam setiap langkah dan tingkah lakunya, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun umat Islam akan turut mengikuti mereka.

Kegagalan dalam menghayati cara hidup yang pernah ditunjukkan junjungan Rasulullah SAW yang berasaskan al-Quran, menyaksikan pelbagai kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di sekeliling seperti pembuangan bayi, gejala zina, sumbang mahram, kahwin sesama jenis danpelbagai kebejatan sosial.

Selawat dan Syukur

Rasulullah S.A.W menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud: “Tidak dianggap sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada anaknya, bapanya dan sekalian manusia” (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim).

Marilah tunjukkan cinta sejati dan sebenar Muslim kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W dengan mensyukuri nikmat yang dianugerahkan kepada manusia pada setiap masa. Lihat bagaimana golongan sahabat Rasulullah SAW membuktikan nilai cinta mereka terhadap Baginda dengan sanggup, ‘berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra. Sejati dan sejiwa...”



Adakah ini yang kita inginkan gejala buang bayi dan anak luar nikah berleluasa kembali??? Renung-renungkanlah.....

No comments:

Artikel pelbagai