BAGAN SERAI - Desas-desus dakwaan tiga menteri Kabinet dari Perak mengidam jawatan Menteri Besar Perak sekiranya Barisan Nasional (BN) mengekalkan kepimpinan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah tidak berasas.
Sebaliknya, tiga menteri terbabit iaitu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bersepakat memberikan sokongan kepada Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk terus mengekalkan jawatan sedia ada.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, tindakannya bersama Nazri (Ahli Parlimen Padang Rengas) dan Ahmad Husni (Ahli Parlimen Tambun) yang sering turun padang, bukan dibuat untuk merampas jawatan disandang Zambry.
Malah menurutnya, tindakan tersebut sebagai tanda sokongan mereka bertiga untuk membantu Zambry memperkukuhkan jentera BN di negeri ini bagi menghadapi cabaran pada pilihan raya umum akan datang.
"Kami memberi jaminan bahawa apa yang kami (Ahmad Zahid, Nazri dan Ahmad Husni) lakukan (turun padang) bukan bertujuan mahu mengambil-alih tempatnya, tetapi untuk membantu Zambry mengukuhkan kerjanya.
"Beliau rajin turun padang dan bantu rakyat. Kami yakin dengan usahanya dan rakyat perlu terus mengekalkannya sebagai Menteri Besar Perak untuk menikmati pembangunan berterusan.
Jangan percaya kepada khabar angin,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Rakyat kawasan Parit Buntar di Dewan JKKK Tanjung Piandang, di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, beliau turut menerima memorandum daripada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kawasan Dun Kuala Kurau dan Titi Serong sebagai tanda sokongan mantap terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hadir sama, Pemangku Ketua Umno Bahagian Parit Buntar, Mohd Salleh Md Disa dan Penyelaras Dun Titi Serong, Abu Bakar Md Ali.
Ahmad Zahid berkata, hubungan mereka berempat sangat akrab dan saling membantu, selain tiada sebarang masalah.
"Jangan percaya sebarang spekulasi dan khabar angin tidak benar itu. Kami sering berjumpa sama ada dalam mesyuarat atau perbincangan, tetapi orang tidak tahu.
"Semuanya untuk membantu beliau dalam pilihan raya umum akan datang.
"Daripada orang bercakap, lebih baik saya menyatakan perkara ini," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh menegaskan beliau bersama barisan menteri Kabinet dari Perak akan berkempen habis-habisan dalam usaha membantu jentera parti memastikan BN terus kekal memerintah negeri ini.
GR kata: Nizar yang meroyan nak jawatan MB Perak ni gamaknya...Hi hi hi
No comments:
Post a Comment