Saturday, October 20, 2012

KOMANDO vs BUDU - Penentu Juara!? #GoATM


SHAH ALAM - Buat kali ketiga dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia, juara Liga Super melakukan perhitungan dengan juara Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri ketika Kelantan (juara Liga Super) mengimpikan kejuaraan treble sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (juara Liga Perdana) mahu mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia buat kali pertama.

Sebelum ini, pada tahun 1992, Pahang juara Divisyen Satu berjaya mengecewakan juara Divisyen Dua, Kedah, namun pada pertemuan kedua, giliran juara Liga Perdana, Selangor pula meraih kejuaraan selepas mengalahkan Perlis pada aksi akhir 2005.

Kelantan biarpun tanpa khidmat Mohamed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad masih dilihat unggul di atas kertas.

Sementara kehadiran Marlon Alex James dan beberapa pemain pengalaman lain menjadikan pembabitan ATM pada penentuan juara esiri 2012 ini tidak boleh dipandang sepi.

Penggantungan besar ATM terhadap Marlon serta membariskan ramai pemain yang berusia 30-an dianggap satu kelebihan besar kepada Kelantan, menurut jurulatihnya, Bojan Hodak.

“Daripada segi faktor usia pemain, skuad saya ada kelebihan kerana rata-rata pemain lebih muda berbanding lawan dan itu menjadikan Kelantan mempunyai kekuatan stamina lebih baik untuk beraksi sehingga penghujung permainan.

“Kami mungkin boleh mengambil kesempatan mendapatkan jaringan pada 20 minit terakhir memandangkan lawan mempunyai beberapa lawan yang agak berumur seperti Rezal (Zambery Yahya), Bruno (Martelotto) dan Hairuddin (Omar).

‘‘Bukan saya memandang rendah kemampuan ATM yang mempunyai lima pemain kebangsaan dan dua pemain luar tetapi itulah kelebihan yang kami ada," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tambahnya, ATM boleh disekat jika ayam tambatan mereka, Marlon dapat dirantai oleh barisan pertahanan yang ditunjangi oleh Obinna Nwaneri dan S. Subramaniam.

“Kami secara statistik bukan pasukan yang mengharapkan seorang pemain seperti Marlon, jika ada seseorang dapat menyekat Ghaddar, ada pemain lain mampu menjaringkan gol," katanya.

Namun, permainan psikologi yang cuba dicipta oleh Bojan tidak merunsingkan Sathianathan yang berkata, itu merupakan hak buat rakan sejawatnya untuk bercakap apa sahaja.

“Dia boleh bercakap tetapi tidak semestinya saya kena percaya apa yang dia cakap kerana anda boleh bertanyakan perkara itu kepada jurulatih Singapura.

“Kami telah buktikan yang pemain saya boleh bermain 120 minit pada perlawanan terakhir dan mereka semua kekal cergas malahan tiada sesiapa mendapat kecederaan.

“Kami tidak bergantung sepenuhnya kepada seorang pemain, jika Marlon tidak dapat menjaringkan gol, itu cabaran kepada pemain lain untuk memikul tugasan berkenaan.

“Tekanan sebenarnya sekarang memihak kepada Kelantan kerana saya telah memenuhi sasaran yang dimahukan oleh pihak pengurusan iaitu layak ke Liga Super musim depan," katanya. - Utusan


GR kata: Apa yang penting, penonton di stadium jangan terlalu emosional yer. Rakyat sukakan keamanan bukan pergaduhan....


No comments:

Artikel pelbagai