Friday, July 6, 2012
JAGUH BADMINTON NEGARA DILANTIK PEGAWAI KEHORMAT PSSTLDM cc: @Zahid_Hamidi
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, hari ini menerima pemakaian pangkat Leftenan Komander (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Chong Wei berkata, anugerah pangkat yang berkuatkuasa 1 Mei lalu itu boleh memberi dorongan kepadanya dalam persediaan menghadapi Sukan Olimpik London 2012 hujung bulan ini. “Anugerah ini menyuntik semangat saya untuk bermain dengan baik tambahan pula saya baru pulih daripada kecederaan kaki pada kejohanan Piala Thomas yang lalu,” katanya kepada pemberita pada majlis yang berlangsung di Wisma Pertahanan di sini.
Chong Wei yang bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan, berkata penyertaannya pada Olimpik kali ini adalah yang terakhir dan segala perancangan perkahwinan hanya akan diumumkan selepas temasya sukan itu.
“Sekarang saya hanya fokus kepada latihan untuk memberi persembahan terbaik dan memperoleh pingat untuk negara,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengtauliahan pangkat itu, Chong Wei berharap ia mampu menggalakkan lebih ramai ahli sukan profesional menyertai pasukan beruniform seperti PSSTLDM.
“Sebagai penerima pangkat, saya akan berkongsi segala pengalaman dan suka duka sebagai atlet yang berjaya mempertahan kedudukan ranking nombor satu dunia selama empat tahun berturut-turut,” katanya.
Chong Wei menduduki ranking nombor satu dunia mulai 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata penganugerahan pangkat kehormat adalah untuk mengiktiraf peranan sektor awam dan swasta dalam usaha menarik minat lebih ramai golongan profesional menyertai PSSTLDM.
Beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Ahmad Othman (Kapten Kehormat), dan Ketua Pegawai Eksekutif MTU Services (Malaysia) Sdn Bhd, Syahrunizam Tan Sri Samsuddin (Komander). – BERNAMA
GR kata: Tahniah Datuk LCW
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment