Wednesday, February 8, 2012

Thaipusam Disambut Meriah, Konsep 1Malaysia Diterima Rakyat!!!


Keunikan sambutan Thaipusam oleh penganut Hindu, menggamit pengunjung pelbagai bangsa dan agama ke lokasi utama perayaan terutama di Batu Caves, di sini, Selasa.

Tinjauan Bernama di kawasan sekitar kuil Sri Subramaniam Devasthanam dan Kuil Sri Subramaniyar Swami mendapati orang ramai bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan perarakan membawa 'kavadi' iaitu satu upacara membayar nazar penganut Hindu.

Seorang pengunjung, S. Tangaveelu, 61, berkata beliau yang sering berkunjung ke Batu Caves setiap kali sambutan perayaan Thaipusam kagum dengan perbezaan ketara sambutan dulu dan sekarang.

"Dulu tak ramai macam ni dan 10 tahun dulu yang datang cuma masyarakat India yang beragama Hindu sahaja. Tapi sekarang okey, sudah ramai, India, Melayu, Cina dan pelancong asing pun datang...lagi bagus bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun ada, barulah nampak semangat 1Malaysia," katanya.

Beliau yang datang bersama anggota keluarganya dari Port Dickson, Negeri Sembilan turut mengakui seronok dengan semangat saling hormat menghormati budaya dan perayaan antara kaum di negara ini.

Jagjit Singh, 70, yang beragama Sikh, berkata hampir setiap tahun beliau berkunjung ke Batu Caves untuk menyaksikan sambutan perayaan tersebut.

"Saya suka melihat perbezaan agama dan kepelbagaian budaya. Bagi saya, tak kira apa budaya dan amalan kita, pada akhirnya kita masih kembali kepada yang Satu (tuhan)," katanya.

Pengunjung dari China, David Yan, 40, pula menyifatkan sambutan perayaan Thaipusam ini sebagai suatu perayaan yang menakjubkan dan mempunyai keunikan tersendiri.

"Memang mengagumkan. Saya berasa seronok melihat pelbagai upacara seperti bagaimana mereka bersembahyang. Saya suka melihat budayanya. Di China kami tidak ada semua ini. Saya seronok melihat mekap mereka dan barang-barang yang mereka bawa," katanya.

Seorang lagi pengunjung Jonnathan Weathertly, 46, yang berasal dari Britain, berkata beliau teruja kerana dapat bersama-sama menyertai sambutan Thaipusam selain berpeluang menemani isterinya yang beragama Hindu.

"Saya gunakan peluang ini untuk belajar mengenai budaya dan ada resam isteri saya...hari ini anda dapat lihat saya mengenakan pakain berwarna kuning sebagai tanda menyokong isteri saya," katanya.

K. Gnangiri, 27, yang menyertai perarakan kavadi berkata ada pelbagai cara untuk membayar nazar atau sebagai tanda kesyukuran kepada tuhan yang memakbulkan hajat mereka.

"Terdapat juga cara lain untuk membayar nazar di mana mereka akan berjalan dengan berkaki ayam dari kuil di Jalan Petaling sehingga ke Batu Caves, membotakkan kepala dan membawa susu belanga atau 'palkudam' mendaki sebanyak 272 anak tangga untuk sampai ke Kuil Sri Subramaniyar Swami," katanya.

Beliau berkata kavadi yang dibawa biasanya mempunyai berat antara 50 kg dan 80 kg serta dihias mengikut kreativiti pemiliknya.

Di IPOH, lebih 20,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh berhampiran Medan Istana di sini sejak petang semalam bagi menyambut perayaan Thaipusam.

Pelbagai aktiviti keagamaan penganut Hindu diadakan dengan meriah dan warna-warni termasuk perarakan patung Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman di Sungai Pari ke kuil tersebut.

Persekitaran kuil Arul Subramaniar di sini juga bagai pesta apabila dipenuhi pelbagai gerai jualan pakaian, permainan, makanan dan minuman di samping beberapa gerai pihak penaja memberi minuman percuma.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut berada di pekarangan kuil untuk meninjau suasana sambutan dan beramah mesra dengan penganut Hindu di situ. Keadaan jalan-jalan utama di bandar raya ini agak tenang kecuali laluan yang menuju ke kuil Arul Subramaniar yang ditutup sejak petang semalam sehingga tengah malam ini. BERNAMA


GR kata: 1Malaysia sudah diterima dan mendapat tempat dihati rakyat. Puak PR sudah panas bontot...

No comments:

Artikel pelbagai