Pengendali portal berita Free Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin hari ini mendakwa kematian ahli perniagaan, Datuk Patrick Wong Kie Yik yang terjatuh dari balkoni rumahnya pada 19 November 2009, sebenarnya dibunuh.
Lebih mengejutkan, Raja Petra mendakwa kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan pasir membabitkan pemimpin pakatan pembangkang di Selangor.
Katanya, ia berdasarkan pertemuan antara beliau dengan mendiang di United Kingdom pada Oktober 2009 atau sebulan sebelum kejadian itu, di mana Patrick telah berjanji untuk mengumpul maklumat mengenai penyelewengan pasir untuk disiar dalam Free Malaysia Today.
Jelas Raja Petra, beliau percaya tiga perompak bersenjata parang yang memecah masuk rumah mendiang di Bukit Bandaraya, Bangsar, adalah pembunuh yang diupah oleh pihak yang terbabit dalam penyelewengan pasir kerana bimbang isu rasuah tersebut didedahkan Patrick.
“Seorang kawan baik saya telah dibunuh dan saya ingin tahu mengapa. Sekarang, selepas hampir tiga tahun, saya memiliki bukti yang akan mendedahkan cerita ‘rasmi’. Sumber dalaman memberitahu saya ia bukan rompakan, ia satu pembunuhan berkait dengan perniagaan.
“Ini kerana selepas pertemuan di United Kingdom, Patrick meminta tempoh sebulan untuk mengumpul maklumat mengenai sindiket perlombongan pasir di Selangor, bererti pada November saya boleh mula menyiarkan pendedahan itu tetapi ia tidak berlaku.
“Beberapa minggu kemudian, Patrick dibunuh. Polis kata mendiang maut kerana terjatuh tetapi laporan bedah siasat mendapati kematiannya disebabkan kecederaan di kepala dan leher (seperti dicekik),” dakwanya seperti mana dipetik dari http://www.freemalaysiatoday.com.
Dalam kejadian pada 19 November 2009 lalu, Patrick, 57, yang ketika itu berada dalam bilik komputer dilaporkan maut apabila terjatuh daripada balkoni, ketika cuba menyelamatkan diri selepas panik melihat dua daripada tiga perompak menyerbu tingkat atas rumahnya.
Bagaimanapun, anak perempuan dan lelaki Patrick yang masing-masing berusia 18 dan 25 tahun serta pembantu rumah tidak diapa-apakan, sebaliknya perompak hanya melarikan dompet mangsa berisi USD300 (RM1,018) dan telefon bimbit milik anak perempuan mendiang.
Dalam pada itu, sebagai memperjuangkan kematian sahabat baiknya itu, Raja Petra berikrar akan mendedahkan segala bukti rasuah dan penyelewengan pasir yang didalangi beberapa pemimpin pakatan pembangkang selepas tiga tahun beliau mengumpul maklumat.
Ujarnya, tindakan tersebut demi memberi penghormatan kepada Patrick kerana mendiang semasa hayatnya menentang aktiviti rasuah dan penyelewengan pasir di Selangor yang seolah-olah ‘dihalalkan’ walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui perkara itu.
“Sekurang-kurangnya saya dapat memberi penghormatan kepada mendiang walaupun sedar dengan risiko nyawa yang terpaksa saya hadapi tetapi jika apa yang berlaku pada Patrick terjadi ke atas saya, ia mengesahkan apa yang saya kata (pembunuhan) tentang mendiang,” dakwanya.- Utusan
GR kata: Baru nak bongkar penyelewengan PR di Selangor dah kena bunuh...nampak sangat ada yang tak kena ni. Fikir-fikirlah....
No comments:
Post a Comment