Terkejut GR bila dengar perkara nie...Bukankah bantuan wang RM100 pihak Kerajaan berikan khas kepada pelajar-pelajar sekolah?? Di sini GR ingin sarankan kepada pihak sekolah mahu pun PIBG tidak perlu ambil kesempatan dalam hal-hal sebegini, minggu lepas YAB TPM sendiri telah menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pihak sekolah atau pun PIBG yang membuat keputusan sendiri dengan bantuan yang diberikan kepada pelajar.
Ada ibu bapa yang membuat laporan minggu lepas terus kepada YAB TPM dalam program santai bersama Belia di W.Persekutuan, pihak PIBG sekolah tersebut telah memotong separuh wang bantuan berkenaan atas alasan perlu menyelesaikan bayaran tertentu dan separuh saja diberikan kepada pelajar. YAB TPM sendiri telah menyarankan pihak PIBG sekolah terbabit perlu menyerahkan semula potongan wang tersebut kepada pelajar-pelajar sekolah terbabit..
PAGOH – “Saya terkejut kerana guru besar sanggup melemparkan wang RM26 di depan kami dan melayan seperti pengemis, sedangkan kami ke sekolah kerana mahu menuntut hak anak mendapat RM100 seperti mana diterima pelajar lain,” kata Azman Salleh, 38, bapa seorang murid yang kecewa wang pemberian kerajaan kepada anaknya dipotong tanpa alasan munasabah.
Menurut Azman, anaknya, Ainul Akmal, 8, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.
Potongan itu memeranjatkan Azman dan isteri, Norizan Mohd Mustafa, 38, kerana apa diketahui mereka, tiada sebarang hutang buku yang masih belum dilunaskan.
Azman berkata, Selasa lalu dia pergi ke sekolah untuk mengambil wang seperti diarahkan tetapi terkejut apabila hanya menerima separuh daripada jumlah asal.
Katanya, dia ada bertanyakan guru mengenai hutang dimaksudkan tetapi tidak mendapat jawapan meyakinkan. “Pengurusan sekolah memaklumkan hutang buku rampaian Ainul tahun ini belum dijelaskan sedangkan saya dan isteri sudah membayarnya.
“Lebih pelik, anak saya juga tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan sehingga tamat persekolahan tahun duanya.
“Jika benar kami masih mempunyai hutang, mengapa pengurusan sekolah tidak mengeluarkan sebarang surat untuk memaklumkan perkara itu sebelum ini?” katanya.
Tidak puas dengan penjelasan itu, Azman berkata, dia sekali lagi pergi ke sekolah berkenaan, semalam, namun kecewa apabila guru besar melayannya seperti pengemis selain mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka sekeluarga.
Katanya, kejadian berlaku di pejabat itu turut disaksikan isteri, kerani dan kakitangan sekolah berkenaan.
“Saya meminta secara elok baki duit anak kerana Ainul tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan.
“Namun, guru besar itu tiba-tiba melenting dan mengeluarkan duitnya sendiri sebanyak RM26 sebelum melemparkannya kepada kami.
“Saya begitu terkejut dengan tindakannya itu. Inikah sikap seorang guru yang selama ini diagungkan sebagai pendidik bangsa?” katanya yang membuat laporan polis pada hari sama. – myMetro Online
p/s: Pihak Kerajaan bantu meringankan beban ibu bapa, janganlah ada yang cuba ambil kesempatan dan juga pertikaikan macam-macam...Manusia oh manusia!!
No comments:
Post a Comment