Tuesday, March 5, 2013

UPDATE NEWS: IBU ALLAHYARHAM L/KPL AZRUL SEDIH, ANAK SENDIRI 'RASMI' RUMAH BARU


"Dulu mak minta Ayun ubah suai rumah sebab nanti senang bila mak meninggal dunia, tetapi tidak sangka Ayun pula yang akan rasmikan dulu," kata Azrian Tukiran, kakak sulung L/Kpl Mohd Azrul, 27, dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau yang terkorban dalam kejadian serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna Sabtu lepas.

Azrian, 36, berkata ibu mereka, Sadiah Mohd Amin, 58, sebelum ini meminta arwah mengubah suai rumah mereka di Jalan Telok Kapas, Kampung Rantau Panjang di sini supaya lebih selesa untuk urusan pengebumian apabila ibu mereka meninggal dunia, sebaliknya pengebumian Mohd Azrul pula yang akan diurus di situ.

"Setiap kali arwah pulang bercuti, saya dan suami akan ambil dan menghantarnya ke lapangan terbang. Disember lepas adalah kali terakhir kami menghantarnya, dan dia tidak akan balik lagi selepas ini. Dia insan terpilih, jadi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya yang gagal menahan tangisan.

Azrian berkata beliau mendapat berita kematian adiknya secara rasmi pada kira-kira 9.30 malam tadi melalui seorang anggota polis yang ke rumah mereka.

Katanya, kali terakhir Mohd Azrul menelefon bapa mereka ialah pada Jumaat lepas memaklumkan beliau akan menyertai operasi di Semporna dan memberitahu bahawa dia tidak akan dapat menghubungi semula kerana perlu mematikan telefon bimbit sepanjang operasi.

Beliau berkata apabila mendapat maklumat melalui laman sosial Facebook milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa ada anggota polis terbunuh di Semporna, keluarganya tidak senang duduk dan bimbang memikirkan nasib arwah sehinggalah menerima berita kematiannya semalam.

"Arwah memang minat jadi anggota pasukan keselamatan lebih-lebih lagi bapanya, Tukiran Ahmad, 65, seorang bekas askar. Selepas menamatkan latihan di Pulapol (Pusat Latihan Polis), Allahyarham ditugaskan ke Semporna pada 2006," katanya.

Azrian berkata Mohd Azrul, yang merupakan anak keenam dari tujuh beradik, memang rapat dengan semua adik beradik serta enam anak saudaranya.

"Bila dia balik rumah, semua akan berkumpul. Dia sepatutnya pulang Jun ini sempena kenduri akikah anak saya. Arwah adalah adik yang nakal, rajin serta anak yang baik. Selepas ini, kami semua pasti akan merinduinya," katanya.

Adik Mohd Azrul, Nuur Ain, 25, berkata bapa mereka ada berpesan ketika arwah menghubunginya Jumaat lepas supaya menjaga diri, berhati-hati dan tidak tinggal solat.

"Abang juga cakap jangan risau, operasi yang disertainya memang normal dan apa-apa hal dia akan telefon semula sebab dia kena matikan telefon bimbit.

Bagaimanapun, selepas itu dia tidak hubungi semula kami," katanya sambil menambah arwah merancang menamatkan zaman bujangnya dengan Amira hujung tahun ini.

Abang ipar Mohd Azrul, Musa Abdullah, 35, pula menyifatkan arwah sebagai penyeri keluarga dengan sikapnya yang ceria, kuat berlawak dan 'loyar buruk'.

Sementara itu, usaha menemu bual ibu Mohd Azrul gagal kerana beliau enggan ditemui pemberita manakala Tukiran kelihatan tenang menyambut kedatangan tetamu yang menziarahi mereka sekeluarga. - BERNAMA


GR kata: Al Fatihah...semoga roh mereka ditempatkan dikalangan para Syuhada

No comments:

Artikel pelbagai