Tuesday, March 26, 2013

ESSCOM MELIPUTI 10 DAERAH #OpsDaulat #esscom


Sebanyak 10 daerah di bahagian timur Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau diisytiharkan sebagai Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perisytiharan itu memberitahu, inisiatif tersebut bagi mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan Sabah di samping memelihara hak demokratik serta proses demokrasi penduduk negeri itu.

Katanya, pewujudan Esszone adalah sebagai asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Menurut beliau, pewujudan Esszone yang selari dengan Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 menunjukkan kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur Sabah dan mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan tersebut.

"Ingin saya tegaskan pengisytiharan ini bukannya pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ini perlu saya ulangi, bukan perisytiharan darurat," katanya ketika berucap dalam Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, kewujudan Esszone sama sekali tidak akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik dijalankan di negara ini khususnya di Sabah.

"Oleh itu, rakyat kawasan timur Sabah jangan risau untuk keluar mengundi dan menggunakan hak mereka mengikut undang-undang," katanya.

Sementara itu, katanya, Esszone akan ditadbir oleh sebuah badan dinamakan Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dan dibantu seorang Ketua Pegawai Eksekutif serta ahli-ahli yang akan diumumkan sedikit masa lagi.

"Jawatankuasa ini yang beribu pejabat di Lahad Datu akan bertanggungjawab kepada suatu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan sendiri oleh saya selaku ketua.

"Saya suka juga memaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiga buah kabin yang akan menjadi asas kepada kewujudan Esscomm telah sampai di Lahad Datu. Ini bererti Esscomm boleh berfungsi dalam masa beberapa hari lagi," katanya.


No comments:

Artikel pelbagai