Sunday, December 16, 2012

BN GUNAKAN FORMULA DARI RAKYAT UNTUK #PRU13! @Zahid_Hamidi @Najib_Razak

Barisan Nasional (BN) mungkin menggunakan formula 50 peratus calon muka baharu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suntikan muka baharu itu penting memandangkan negara hanya mempunyai tempoh lapan tahun untuk mencapai status negara maju.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, dalam setiap pilihan raya sebelum ini, BN akan meletakkan sekitar 30 hingga 40 peratus muka baharu kerana mahu memastikan calon-calon yang berada di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu bersaing dengan situasi semasa.

"Namun, jumlah muka baharu itu perlu diseimbangkan dengan muka-muka lama kerana tidak semua mereka dapat memberi perkhidmatan lebih baik berbanding muka lama," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, di sini semalam.

Beliau mengulas ruangan Cuit tulisan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan Rabu lalu, berhubung formula 80 peratus muka baharu dan 20 peratus muka lama yang akan digunakan BN dalam pilihan raya akan datang.

Ahmad Zahid menjelaskan, BN tidak akan menjurus ke arah formula 80 peratus dan 20 peratus tersebut kerana melihat keseimbangan antara muka baharu dan lama itu boleh memberi kesinambungan tugas yang cemerlang kepada parti berkenaan.

Katanya, pembangkang mungkin mahu mengemukakan calon-calon baharu yang lebih berkelayakan tetapi calon-calon tersebut tidak semestinya boleh mendekati rakyat.

"Kita melihat bukan sekadar muka baharu atau berkelulusan lebih tinggi, tetapi kita juga mahu melihat mereka mendekati akar umbi untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Mengulas dakwaan golongan lama atau 'warlords' dalam UMNO tidak akan memberi ruang kepada muka-muka baharu, Ahmad Zahid menjelaskan, parti-parti pembangkang sebenarnya mempunyai budaya itu yang mana ramai dalam kalangan mereka tidak mampu berkhidmat dengan cara yang sepatutnya.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN juga lebih mengetahui melalui maklum balas tentang personaliti bakal calon dan kawasan yang boleh dimenangi atau sebaliknya.

GR kata: Calon mestilah dari kalangan yang senang dihati rakyat....

No comments:

Artikel pelbagai