Wednesday, February 27, 2013

MANIFESTO 'PAKATAN HARAPAN RAKYAT' - TAK REALISTIK DAN BERSIFAT POPULIS #ManifestoBukanJanji


Tawaran dikemukakan pakatan pembangkang menerusi manifesto pilihan raya umum ke-13 yang diumumkan semalam, tidak realistik dan bersifat populis, demikian menurut penganalisis politik.

Beberapa penganalisis politik berpendapat kelemahan di dalam manifesto parti pakatan DAP-PAS-Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah tidak menyatakan jumlah kos pelaksanaan dan kerangka masa selain janji-janji yang keterlaluan dan tidak munasabah.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Shaharudin Badaruddin berkata, manifesto itu tidak mempunyai kerangka masa untuk janji berkenaan dilaksanakan.

"Manifesto itu perlu dibahagikan kepada dua kategori iaitu jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Setiap janji itu perlu ada masa ditetapkan untuk mencapai dan barulah manifesto itu mempunyai kekuatan dan menimbulkan kepercayaan di mata rakyat," katanya kepada Bernama di sini.

Berdasarkan penelitian terhadap manifesto 35 muka surat itu, beliau berkata hanya sebahagian janji sahaja yang boleh ditunaikan.

"Contohnya harga minyak yang umum mengetahui ia bergantung kepada situasi semasa ekonomi negara dan pasaran minyak dunia. Kita tidak boleh turunkan harga petrol secara mendadak kerana penurunan hanya boleh dicapai jika dilakukan secara perlahan-lahan dalam jangka masa panjang dan amat mustahil harga petrol boleh diturunkan dalam masa lima tahun," katanya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir menyifatkan manifesto pembangkang sebagai manifesto populis dalam usaha menakluk jiwa rakyat dengan cara menimbulkan rasa prihatin.

"Mereka mengeluarkan janji-janji luar biasa dengan motif untuk memancing undi tetapi sejauhmanakah kesemua janji ini dapat direalisasikan?" katanya.

Jika diperhatikan sejak PRU-12 lepas, Jeniri berkata kebanyakan janji manis pakatan pembangkang masih tidak dilaksanakan di empat negeri yang dikuasai mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

"Kalau dilihat manifesto terkini yang berjanji untuk membina lebuh raya di Sabah dan Sarawak, ini luar biasa," katanya, dan menambah kata bahawa sesiapa sahaja boleh membuat janji tetapi tanggungjawab untuk melaksanakan janji adalah suatu yang amat berat.

Beliau berkata, janji-janji di dalam manifesto pembangkang itu kebanyakannya telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) seperti rawatan percuma untuk warga emas dan memartabatkan bahasa Malaysia.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain pula manifesto pembangkang hanya dibuat bersandarkan kepada persepsi dan pandangan umum tanpa sebarang analisis dan kajian mendalam.

"Pembangkang sentiasa menabur bermacam jenis janji... kini pembangkang muncul dengan janji baharu sedangkan janji lama masih belum banyak ditunaikan.

Misalnya pembangkang berjanji dalam manifesto akan turunkan harga minyak sedangkan harga minyak mentah mengikut pasaran harga dunia," katanya.

Rakyat, katanya perlu berfikir secara lebih kritikal dan tidak menerima bulat-bulat manifesto berkenaan.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat menyifatkan manifesto pembangkang ini bagaikan "jerat politik" yang mengemukakan tawaran tidak realisitik.

"Manifesto ini satu tawaran yang dibuat pembangkang untuk meraih undi daripada rakyat. Seperti negeri-negeri yang di bawah pentadbiran mereka, banyak lagi janji yang belum tertunai atas alasan mereka masih belum memperolehi kuasa sebagai kerajaan pusat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilaksanakan kerajaan BN membuktikan kerajaan hari ini begitu komited dalam memperjuangkan hak rakyat.

"Di bawah BN telah ada negara kebajikan...buktinya melalui program GTP yang mana banyak peluang pekerjaan disediakan untuk meningkatkan pendapatan rakyat," katanya.

Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 pakatan pembangkang semalam antara lain berjanji menurun harga minyak, menawarkan caj elektrik dan bekalan lebih rendah, menurunkan harga kereta menerusi penghapusan cukai eksais, mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 seunit, menghapuskan tol dan monopoli serta menawarkan satu juta pekerjaan baharu dan gaji minimum RM1,100 sebulan.

Pembangkang turut mengulangi janjinya untuk menyediakan pendidikan percuma untuk semua, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, serta menghentikan serta-merta operasi kilang nadir bumi Lynas, membatalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan mengkaji semula Projek Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor. - BERNAMA


GR kata: Kalau bukan janji, apa fungsi manifesto untuk sesebuah negara?? Pakatan hancur!!

No comments:

Artikel pelbagai