Monday, November 26, 2012
PM @NajibRazak BAWA BANYAK PERUBAHAN NEGARA, RAKYAT HARUS KEKALKAN!! #PAU2012
Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok sekali lagi bakal menarik minat bukan sahaja rakyat tempatan malahan masyarakat antarabangsa. Inilah persidangan terakhir UMNO sebelum pilihan raya yang diramal akan berlangsung pada tahun depan.
Melihat kepada senario ini sudah tentu ramai yang menantikan amanat Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tiupan semboyan terakhir dalam menghadapi pilihan raya yang bakal menjelma.
Namun begitu pandangan dan luahan mantan Perdana Menteri, TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD sudah tentu antara yang dinanti-nantikan orang ramai kerana segala tindakan dan kata-katanya mampu memberi implikasi yang bukan sedikit.
Wartawan Utusan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan MOHD. ASRON MUSTAPHA telah mewawancara beliau baru-baru ini untuk mendapatkan pandangannya mengenai apa yang perlu ada dalam diri setiap ahli UMNO yang hadir pada persidangan kali ini sebelum turun padang bertarung dalam pilihan raya akan datang.
Saya harap mereka dapat disedarkan dengan perhimpunan ini, Melayu ialah majoriti. Tetapi kerana berpecah kepada tiga, sekarang ini mereka bukan majoriti lagi. Besar kemungkinan orang Melayu jadi puak kecil dalam parti yang tak begitu berkuasa.
Jadi akhirnya kita akan rugi. Bukan nak kata bangsa lain tak beri perhatian, tapi orang Melayu kena ingat, kalau nak pertahan bangsa, kenalah bangsa tu sendiri yang dipertahankan. Tak logiklah nak suruh orang Cina atau India yang buat. Kemenangan orang Melayu dalam PRU akan datang adalah amat penting," ujar beliau.
UTUSAN: Lebih kurang setahun lalu Tun ada bercakap kepada media bahawa Tun masih bimbang dan pesimis terhadap UMNO. Bagaimana pandangan Tun sekarang?
MAHATHIR: Saya melihat UMNO berada lebih baik berbanding setahun yang lalu. Saya fikir mereka semakin memahami keadaan kerana jika mereka masih belum berubah maka UMNO dan BN akan kalah. Dalam keadaan ini semua pihak akan rugi.
Adakah Tun melihat UMNO dan BN akan berjaya memenangi semula negeri yang tewas pada pilihan raya 2008?
Saya fikir terdapat kemungkinan besar tiga negeri ini iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mampu dimenangi semula. Malah ada kemungkinan yang kuat - kita mampu menawan semula Pulau Pinang dan juga Kelantan. Namun semua itu terpulang kepada UMNO itu sendiri.
Di Kelantan terutamanya, kerana di negeri itu pemimpin UMNO selalu sahaja merendah-rendahkan mereka yang dipilih sebagai calon. Perkara sama juga berlaku seolah-olah ia satu budaya di negeri-negeri lain. Itu adalah antara faktor utama yang boleh menjatuhkan UMNO.
Bagaimana dengan Datuk Nik Aziz. Beliau telah memimpin Kelantan lebih daripada 22 tahun?
Apa yang anda lihat adalah sebelum ini tiada sesiapa yang berani mengkritik Nik Aziz. Langsung tidak ada yang berani. Namun sekarang terdapat ahli mereka yang sudah berani mengkritik beliau. Ini membuktikan tidak ada sesiapa yang terlepas daripada menjadi sasaran kritikan.
Pengaruh Nik Aziz juga sudah semakin merosot kerana beliau sering sahaja membuat kenyataan yang hakikatnya tidak selari dengan ajaran Islam.
Bagaimana Tun melihat perubahan UMNO terutamanya yang melibatkan generasi muda?
Saya dapati orang muda yang jadi masalahnya. UMNO sendiri tidak dekat pada mereka. Saya sendiri dekatkan diri pada mereka, bila saya bercakap, mereka positif dengan perjuangan UMNO, mereka ada kritik kerana mereka anggap UMNO korup dan sebagainya. Sebahagian kritikan memang berasas, tapi mereka sedar betapa pentingnya UMNO.
Maksudnya mereka tak tolak UMNO?
Mereka marah pasal pemilihan Majlis Tertinggi. Nampak jelas ada korupsi yang berleluasa, tapi cara ia ditangani tak begitu baik. Ada orang yang didapati korup tak dibenarkan pegang jawatan, tapi ada yang boleh terus pegang jawatan dalam kerajaan. Ada pula yang tak ada halangan, walaupun memang korup.
Bagaimana Tun melihat perubahan yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak?
Beliau bekerja keras, saya fikir memang ada kesan. Dan harap dengan cara-cara (yang dilakukan Najib), beliau boleh menang.
Macam mana peranan sayap-sayap UMNO. Adakah Pemuda, Puteri dan Wanita sudah menjalankan perubahan yang diharapkan?
Belum memuaskan, Pemuda nampak tidak begitu aktif. Kadang-kadang ada perjumpaan di bahagian, tetapi saya nampak Pemuda tak ambil bahagian pun. Wanita ini biasanya lebih bersemangat, Puteri pun macam itu juga.
Terdapat mereka yang sudah menjadi liabiliti dalam UMNO tetapi masih mahu bertanding dalam pilihan raya akan datang. Apa pandangan Tun?
Saya punya pendapat, masing-masing mesti menilai diri. Kalau kita berpendapat kita tidak lagi menguntungkan parti, kita jadi sasaran dan macam-macam lagi. Saya ingat kita perlu undur diri sendiri. Saya sendiri letak jawatan, ada orang tanya kalau saya jadi Perdana Menteri (semula) apa saya nak buat, saya (jawab) letak jawatanlah.
Mungkin Tun ada sebarang nasihat kepada Nik Aziz?
Dia janji bila saya letak jawatan, dia akan turut sama meletak jawatan. Satu masalah tentang mereka ini adalah mereka tidak mengotakan janji yang telah dibuat. Beliau sepatutnya menjadi contoh yang baik kerana beliau adalah seorang yang tinggi ilmu agamanya.
Adakah Tun serius Pulau Pinang mampu ditawan semula. Ini kerana ada dakwaan bahawa Ketua Menterinya dianggap sebagai tokong dan mampukah BN menang dengan majoriti 2/3?
Terdapat mereka yang tidak berpuas hati dengan Ketua Menterinya. Namun kita akan lihat nanti. Sebenarnya hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan negeri adalah sangat penting. Jika pakatan rakyat menang sudah tentu Lim Guan Eng akan dilantik semula sebagai ketua menteri. Tetapi jika Kerajaan Pusat yang saya lihat akan tetap dimenangi BN, sudah tentu hubungan tidak akan begitu baik.
Namun saya harap mungkin (BN) boleh menang majoriti 2/3 namun ia sukar diagak ketika ini. Ini kerana banyak kelemahan yang telah dilakukan oleh pemimpin selepas saya. Sekarang ini banyak kakitangan kerajaan yang menolak UMNO dan BN. Pada zaman saya dahulu sokongan kakitangan kerajaan adalah kuat.
Dengan perubahan politik semasa, ditambah dengan serangan pihak luar, mampukah UMNO bertahan lagi untuk tempoh yang panjang?
Saya berpendapat serangan pihak luar sebenarnya menguntungkan UMNO. Umpamanya mereka ini gemar menyokong parti dan media lawan, bermakna mereka sudah jadi alat kuasa asing. Adakah orang Malaysia suka kerajaan yang jadi alat kepada pihak asing? Saya fikir rakyat Malaysia bijak. Takkan mereka ini suka pada pihak yang bagi sokongan kepada kuasa hanya kerana mereka memberi wang dan memaksa supaya dilakukan regime change.
Boleh Tun komen sedikit tentang banyak pihak pembangkang sudah kembalinya menyokong BN atas faktor Najib. Tetapi mereka di peringkat ketua bahagian dan ketua cawangan UMNO masih berperangai lama?
Itu yang kita cuba sedarkan pemimpin di peringkat bahagian, cawangan. Ini sebenarnya satu masalah bagi UMNO, oleh kerana pemimpin begini nak jaga kedudukan mereka. Mereka tak benarkan orang yang lebih layak daripada mereka masuk UMNO, sehinggakan orang ini kecewa dan akhirnya masuk Pas. Dahulu Pas takda golongan profesional seperti doktor, peguam, dan sebagainya. Sekarang ini sudah banyak, sebabnya nak masuk UMNO tak boleh. Itu yang menyebabkan banyak orang tak senang hati. Najib OK, tapi yang lain bagaimana?
Perlukah perlembagaan diubah supaya pemimpin sebegini tidak dibenarkan memegang jawatan terlalu lama, mungkin untuk dua atau tiga penggal sahaja?
Yang itu terpulang kepada kajian. Kalau pada masa saya dulu jika perkara ini dilakukan, saya tak dapatlah memerintah selama 22 tahun. Mungkin saya hanya memegang jawatan lebih singkat, tetapi terdapat banyak kerja yang nak dilakukan.
Ini adalah persidangan UMNO terakhir sebelum pilihan raya. Apakah persediaan UMNO sudah mencukupi pada pandangan Tun?
Saya dapati hanya Najib nampak aktif, di peringkat bahagian mereka masih tunggu siapa yang bakal jadi calon sebelum mereka mahu bergerak (untuk pilihan raya). Sifat macam ini kalau berleluasa, mungkin kita akan kalah. Sepatutnya mereka aktif dari sekarang. Tidak perlu peduli siapa nak jadi calon. Kita nak bagi parti menang.
Masalah UMNO ialah mereka mahu si polan si polan yang jadi calon. Kalau tak dapat orang dia, biar kalah pun tak apa. Tapi kalau orang itu menang tetapi parti kalah akhirnya tidak boleh wujudkan kerajaan. Perkara mudah begini pun takkan mereka tak faham.
Isu calon adalah sesuatu yang sangat sensitif. Ini kerana ada pihak yang akan boikot dan sebagainya, seolah-olah sudah menjadi barah termasuklah dalam parti komponen lain seperti MCA dan MIC. Mungkin ada cara penyelesaian yang sesuai?
Parti macam manusia juga, manusia bila sudah tua dapat sakit barah, kalau dia tak potong cepat-cepat, ia akan merebak. Parti akan mati kalau dia tak buang barah. Kalau parti mati dia (manusia) pun matilah.
Sebagai pemimpin yang pernah berkhidmat sebegitu lama untuk masyarakat, apakah amanat yang Tun ingin sampaikan kepada orang Melayu di luar sana yang terpengaruh dengan dakwaan pembangkang?
Orang Melayu harus sedar, penggunaan isu tertentu untuk menyokong mana-mana pihak bukan kerana isu itu penting, tapi kerana orang itu guna isu untuk kepentingan mereka. Kalau orang Melayu faham perkara ini, mereka akan selamat. Tapi kalau mereka terbawa-bawa dengan isu ini, umpamanya UMNO dan BN dah memerintah 55 tahun berilah peluang pada orang lain, mereka akan kata ia dilakukan bukan kerana mereka percaya.
Kalau pembangkang jadi kerajaan, mereka pun tak nak ditukar juga. Isu sebegini hanya digunakan untuk mendapat sokongan, bukan kerana dia nakkan perubahan.
Najib bukanlah pilihan awal sebagai pengganti Tun namun bagaimana Tun melihat beliau sekarang dan apa komen ikhlas mengenai beliau?
Sudah tentu beliau telah melakukan kerja dengan cemerlang. Jika kita tidak menyokong beliau bagaimana beliau akan membuat kerja dengan tenang. Namun masih terdapat beberapa perkara yang boleh diperbetulkan tetapi ia hanya boleh dilakukan selepas pilihan raya.
Yang penting sekarang adalah menang dalam pilihan raya akan datang. Saya menyokong Najib dan dalam ceramah saya ke seluruh Malaysia, saya beritahu adalah penting untuk menyokong beliau untuk menang dalam pilihan raya.
Apakah senjata terakhir pada pandangan Tun untuk UMNO menang dengan majoriti 2/3?
Kalau saya cerita habislah, (ketawa). Secara umumnya banyak perkara lagi yang boleh dilakukan untuk mendapat kemenangan 2/3. Bukan dengan hanya satu perkara kita buat maka semua masalah selesai. Masa saya dulu, banyak benda kita buat sebagai strategi. Saya fikir Najib masih ada ruang untuk bergerak.
Dalam negeri-negeri yang dikuasai UMNO, negeri mana yang Tun rasa boleh menang dengan selesa?
Saya lihat Johor akan menang, tapi mungkin ada kekurangan sedikit, ulu Johor menang 100 peratus. Sabah agak kuat juga tapi ada sedikit pergolakan, tapi saya fikir masalah ini boleh diatasi. Yang lain terutama yang cukup-cukup makan, saya ingat masih boleh menang, tapi tak boleh kata gerenti menang atau 100 peratus menang.
Apakah Tun akan aktif berkempen untuk UMNO selepas ini terutama pada pilihan raya akan datang?
Kalau boleh saya memang mahu melakukan dengan aktif. Saya telah menyatakan akan terus memberi sokongan sebelum meletakkan jawatan dahulu. Namun setengah jalan saya berhenti kerana kepimpinan dalam UMNO yang terlalu teruk. Malah saya tidak dibenarkan untuk berkempen.
Kali ini jika Najib tidak membantah, saya akan terus berkempen. Ini adalah masa untuk saya membayar balik kerana melalui parti inilah saya berupaya untuk menang dan kemudian dipilih sebagai Presiden dan kemudian Perdana Menteri. Sudah sampai masa untuk saya membalas balik jasa kepada parti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment