Sunday, September 16, 2012

Hasrat Anak Muda Ini Pada 16 Sept. Lebih Hebat Dari Hasrat Anwar Ibrahim!!

ATAS minatnya yang mendalam terhadap sukan bola sepak, seorang anak Malaysia yang lahir pada 16 September, Mohamad Faiz Mohamad Samuri amat berharap bahawa sejajar dengan kemajuan negara pada masa kini, prestasi sukan bola sepak juga akan meningkat naik.

“Saya amat berharap Malaysia dapat mengulang semula kejayaan dalam bidang sukan terutama bola sepak seperti zaman kegemilangan Allahyarham Mokhtar Dahari yang pernah menjadi juara Pesta Bola Merdeka yang turut disertai banyak negara seperti kuasa besar bola sepak Asia sekarang, Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi. Ketika itu negara kita amat disegani di rantau Asia," katanya.

“Tetapi malangnya, setelah bola sepak negara merudum ke tahap yang amat teruk, Pesta Bola Merdeka jatuh tarafnya sehingga disertai oleh beberapa kelab luar negara sahaja,” kata Faiz kepada Sinar Harian Online.

Pemuda yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di Shah Alam ini juga berharap atlet-atlet negara masa kini lebih menumpukan kepada untuk mengharumkan nama negara, selain tidak terlalu ghairah mengejar glamor serta wang ringgit dalam meneruskan perjuangan dalam bidang sukan.

“Itu sajalah harapan saya aga dapat melihat Malaysia layak untuk bertanding di temasya Piala Dunia," katanya lagi.

“Selain itu, saya turut kagum dengan pencapaian cemerlang atlet negara pada kejohanan Olimpik baru-baru ini, di mana atas semangat kesukanan serta keazaman yang tinggi akhirnya, Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong berjaya menyumbangkan pingat buat negara,” katanya.

Bercakap mengenai keadaan Malaysia hari ini, Faiz menjelaskan, “saya lihat hanya di sini kita boleh lihat keharmonian antara tiga kaum utamanya terjalin mesra." "Saya rasa perkara ini tidak berlaku di mana-mana negara," kata beliau.

“Oleh sebab itu, saya berasa bersyukur hidup di bumi bertuah ini dan saya juga amat mengagumi kepimpinan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bagi saya mereka merupakan pencetus kepada kemajuan ekonomi kaum Melayu khususnya dan kita lihat sekarang semakin ramai orang Melayu terlibat dalam bidang perniagaan sejajar dengan hadis Rasulullah SAW, ‘sembilan daripada 10 sumber rezeki datangnya daripada perniagaan’,” katanya.

Sementara itu, ketika diajak berbicara mengenai pandangannya mengenai generasi muda dan belia kini yang semakin terhakis nilai-nilai budaya timur dan lebih senang terikut dengan budaya luar, Faiz menjelaskan, “perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan sewajarnya semua pihak harus berganding bahu untuk menyemai kembali nilai serta sifat-sifat positif kepada generasi masa kini kerana merekalah yang akan mencorak masa depan negara pada masa akan datang."

“Antara penekanan yang boleh dilakukan adalah dengan memberi kursus seakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), yang tidak hanya terhad kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, sebaliknya diberi kepada semua lapisan masyarakat agar semangat cintakan negara sentiasa tersemat di hati dan sanubari mereka,” katanya. - SH

GR kata: Hasrat Anwar pada 16 Sept asyik membohong jer..... Selamat Hari Malaysia!!

Published with Blogger-droid v2.0.9

No comments:

Artikel pelbagai