Showing posts with label Tun Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Tun Mahathir. Show all posts

Tuesday, June 5, 2018

BACA DAN FAHAMILAH! MAJLIS RAJA-RAJA HARAPAN RAKYAT MALAYSIA! #MalaysiaBaharu #MalaysiaMemilih


PEJABAT Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan media bahawa Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan persilaan untuk semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja berbincang hal berkaitan pemecatan dan pelantikan Peguam Negara.

Sudah tentu perbincangan hari ini ialah untuk mencari persetujuan dan resolusi terbaik berhubung keputusan Putrajaya mahu melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.

Namun, isu pemecatan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mungkin tidak sebesar isu lantikan Thomas sebagai Peguam Negara.

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang yang layak sebagai Peguam Negara. Ia tidak menyebut peranan Majlis Raja-Raja.

Sebagai contoh, kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 145 tidak sama dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Suruhanjaya Pilihan Raya di bawah Perkara 114. Dalam membuat lantikan Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Tetapi, dalam pelantikan Peguam Negara, Perkara 145 tidak menyebut mengenai rundingan bersama Majlis Raja-Raja.

Namun, ini tidak bermakna Majlis Raja-Raja tidak perlu mengambil peduli langsung. Ini disebabkan suatu tindakan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong akan sekali gus mendatangkan kesan terhadap keseluruhan dan masa depan institusi beraja di negara kita.

Justeru, atas dasar itu, Majlis Raja-Raja perlu bersidang dan berbincang. Yang di-Pertuan Agong juga perlu secara bijaksana mengambil pandangan ahli Majlis Raja-Raja dan menerima apa saja pemuafakatan yang dicapai hari ini.

Isu kredibiliti dan reputasi Thomas banyak diperkatakan dalam media sejak isu ini tercetus beberapa hari lalu sejurus nama beliau disebut sebagai calon yang dikemuka oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Peguam Negara kepada pihak Istana.

Beberapa NGO dan individu terkenal dalam bidang perundangan telah mengeluarkan kenyataan media berkaitan kredibiliti calon Peguam Negara.

Memang diperakui bahawa syarat Melayu dan Islam serta memahami hukum Syariah tidak dinyatakan secara harfiah dalam Perlembagaan Persekutuan, terutama Perkara 145. Namun, ramai juga mahukan calon yang lebih layak daripada Thomas. Banyak lagi calon lain yang memenuhi syarat seperti disebut dalam Perkara 145 yang dibaca secara bersama dengan Perkara 123.

Tulisan Thomas yang berjudul Is Malaysia an Islamic State? dan buku-buku beliau, Anything But The Law dan Abuse of Power menjelaskan mengenai falsafah dan pemikiran beliau.

Ia menyebabkan pencalonan Thomas dipersoalkan walaupun dalam negara demokrasi, perbezaan pandangan dan tafsiran sepatutnya boleh diterima. Ada berpendapat, sebagai Peguam Negara beliau akan menjadi rujukan dan penasihat utama kepada yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan fungsinya berdasarkan perundangan, Perlembagaan, prinsip keadilan dan memelihara kedudukan agama Islam.

Thomas juga dikatakan bukan calon yang tepat kerana lebih dikenali sebagai peguam sivil dan bukan peguam bagi kes-kes jenayah. Ini penting diberikan perhatian kerana menurut seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah, seorang Peguam Negara juga Ketua Pendakwa Raya.

Ditambah pula dengan pembabitan Thomas sebagai peguam kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kes yang masih lagi di mahkamah. Ada juga yang mempersoalkan pendirian Thomas kerana menjadi peguam kepada bekas pemimpin Parti Komunis, Chin Peng.

Tuntutan Royalti

Dalam masa yang sama, ada yang membuat kenyataan bahawa beliau pernah mewakili kerajaan PAS di Kelantan bagi tuntutan royalti minyak dan menjadi peguam mempertahankan sistem perbankan Islam.

Hujah-hujah begini berpihak kepada Thomas kerana ia menunjukkan profesionalisme beliau untuk menjadi peguam bela kepada mereka yang memerlukan dan berhujah mengikut perundangan negara. Soal beliau kalah atau menang dalam sesuatu kes mungkin boleh dan tidak boleh menjadi ukuran kepada kepakaran beliau.

Beliau juga dikhabarkan pernah memberikan pandangan mengenai peranan institusi beraja (Majlis Raja-Raja) sebagai institusi semak dan imbang dalam pelantikan hakim.

Walaupun peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berbeza dalam pelantikan Peguam Negara, namun kenyataan Thomas itu mungkin sesuatu yang baik untuk dijadikan inspirasi oleh Majlis Raja-Raja dalam perbincangan esok.

Kedudukan dan kuasa Peguam Negara amatlah besar. Oleh itu, kemungkinan ada pihak akan menggunakannya atau mendalangi kuasanya, terutama pemerintah seperti pernah berlaku sebelum ini.

Oleh itu, dalam konteks ini, reputasi dan kredibiliti calon hendaklah diberikan perhatian sewajarnya oleh Majlis Raja-Raja. Rakyat sedang memerhati dan rakyat tidak mudah lupa, terutama dalam perkembangan era digital, semua fakta (termasuk benar dan tidak benar) mudah didapati - hanya di hujung jari.

Sebagai rumusan kepada hujah-hujah di atas, perlu ditegaskan bahawa bantahan kepada pencalonan Thomas bukan saja kerana beliau bukan Melayu, bukan Islam atau tidak mempunyai ilmu perundangan Islam.

Persoalan timbul kerana reputasi dan kredibilitinya. Ramai lagi calon menepati syarat boleh dicalonkan sebagai Peguam Negara, (mempunyai pengalaman 10 tahun atau lebih dalam bidang perundangan), tetapi mengapa Thomas yang dipilih.

Walau apapun pandangan pelbagai pihak, kenyataan Perdana Menteri amat tegas. Beliau tidak mahu mengulas panjang berhubung kontroversi ini dan hanya menyatakan bahawa penyelesaian akan berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, yakni Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat.

Justeru, saya melihat bahawa kontroversi ini bukan sekadar membabitkan tafsiran Perlembagaan berhubung maksud perkataan nasihat dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Kepada Perdana Menteri, persoalan siapa yang layak dan siapa yang patut dilantik sebagai Peguam Negara bukan isu kepada beliau. Beliau sangat yakin dengan calon yang telah dinamakan.

Krisis Perlembagaan

Justeru, dalam bingkai yang lebih luas, saya dapati kontroversi ini adalah pertembungan antara sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara kita. Ia mungkin boleh diistilahkan sebagai 'krisis'.

Ini perkara teras yang perlu dibincangkan secara teliti dengan sewajarnya oleh Majlis Raja-Raja. Walaupun mungkin dalam keadaan semasa, keadaan ini belum boleh dipanggil sebagai krisis Perlembagaan, tetapi krisis sudah mula berputik.

Justeru, tanpa tindakan sewajarnya oleh semua pihak, termasuk Majlis Raja-Raja atau pihak-pihak berkaitan, ia akan mencetuskan krisis perlembagaan yang lebih serius.

Dalam konteks kontroversi Putrajaya-Istana, sejarah mungkin berulang seperti tahun 1983 dan 1993. Ia berkaitan pindaan Perkara 66 dan Perkara 32 serta beberapa Perkara lain yang berkaitan kedudukan Raja-Raja, termasuk pengenalan kepada Perkara 182 dan 183 mengenai Mahkamah Khas.

Apabila berlaku tekanan ke atas istana, jarang sekali istana menang. Pengalaman ini dialami oleh banyak institusi istana di dunia. Bagi negara kita, pengalaman sistem raja berperlembagaan kita juga tidak jauh berbeza.

Sejarah pindaan Perlembagaan mengenai imuniti Raja-Raja dan kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan mohor besar menunjukkan bagaimana istana telah dihimpit dan seterusnya menyaksikan istana mengalah dengan memberikan laluan kepada demokrasi berparlimen untuk membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Kesan pindaan itu sangat besar terhadap kuasa dan fungsi Raja-Raja yang asalnya berdasarkan kepada sejarah negara dan telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan secara muhibah dan menghormati institusi beraja seperti dalam terma rujukan pelantikan Suruhanjaya Reid.

Namun, sikap beralah oleh pihak istana dalam krisis Perlembagaan sebelum ini tidak bermaksud ia kekalahan sebenar kerana istana sebaliknya, mahu kekal relevan dalam sistem demokrasi berparlimen walaupun dalam ruang kuasa dan peranan yang makin sedikit, makin kecil dan makin terhimpit.

Saya percaya istana menerima hakikat penghakisan kuasa itu, namun, atas sifat demokrasi berparlimen, istana mungkin tiada pilihan tetapi perlu menerima (walaupun dengan berat hati).

Mungkin ini bukan demokrasi yang dimahukan, tetapi ia hakikat kekuatan kuasa demokrasi berparlimen.

Walau apa pun, istana perlu kekal dan relevan kerana banyak lagi perlu diuruskan oleh istana, terutama dalam perkara-perkara yang jelas termaktub kuasa budi bicara baginda Raja-Raja.

Perlu juga dikongsi dalam perbincangan Majlis Raja-Raja kali ini bahawa rakyat yang menjadi tonggak kepada institusi beraja sentiasa bersama Raja-Raja demi keadilan, demi keutuhan institusi beraja dan yang utamanya demi kelangsungan peraturan dan undang-undang.

Raja-Raja letaknya segala harapan mereka.

Ihsan dari BH ⇨ Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 

Apa yang boleh kita rumuskan di sini, kita sebagai rakyat janganlah cepat berputus asa selagi belum tiba masanya. Walaupun DYMM YDP Agong telah memperkenankan perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Jika Persatuan Peguam-Peguam Melayu Islam bersuara, jika Pakar Perlembagaan turut bersuara...masakan kita sebagai rakyat tidak menyokong, betul tak? Pemimpin tertinggi negara harus memikirkan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT. Dalam bahasa mudahnya terselit mesej yang penting yang harus dihadami umat Islam atas keputusan ini. Jika benar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengatakan Islam dan Melayu dipertahankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, kita tunggu dan lihat.

Lain pula dengan pandangan beliau mengenai Peguam Negara ini seperti dalam TV3 malam tadi, keputusan dibuat atas 'Suara Majoriti' dalam kerusi Pakatan Harapan. Tersiratnya DAP lah yang bersungguh-sungguh ingin si Tommy Thomas ini. Ada pula Peguam PH yang berbangsa Melayu mengatakan perlantian TT tidak akan usik Islam dan Melayu. BOLEH PERCAYA KER? 

Sedangkan Allah SWT beritahu dalam Al- Quran, orang bukan Islam tidak boleh dilantik sebagai ketua untuk menguruskan hal ehwal berkenaan Islam termasuklah undang-undang Syariah.

a. Surah An Nisa' ayat 144:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَتُرِيدُونَ أَنْ تَجْعَلُوا لِلَّهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا مُبِينًا

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali (ketua) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu)?


b. Surah Al Maidah ayat 51:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi auliya bagimu; sebahagian mereka adalah auliya bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi auliya, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang lalim.” (QS. Al-Maidah: 51)


Apa yang disuarakan ini, harapnya pucuk pimpinan tertinggi negara berfikirlah demi kebaikan kita bersama. Ini bukannya rasis, tetapi berlandas apa yang Tun M sendiri katakan.

Kerajaan Akan Terus Lindungi Islam - PM.

Dakwaan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak melindungi kepentingan agama Islam selaku agama persekutuan negara ini adalah tidak tepat.

Tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Islam adalah agama rasmi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan akan terus bertanggungjawab memerintah negara tanpa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Rakyat Malaysia fikirkanlah sebaiknya. Betul jumlah pemimpin DAP memegang portfolio menteri tidak ramai, tetapi jumlah kerusi Non Muslim lebih ramai dari wakil rakyat Muslim. Jadi fikir sendirilah...jangan Jaguh Sorak, Kampung Tergadai.

Melantik Peguam Negara untuk kebaikkan agama, bangsa dan negara, bukannya untuk membalas dendam kesumat yang terbuku di hati. Sebab jawapan yang Kerajaan PH berikan tidak masuk akal kerana ingin berlawan kes 1MDB. Ketua SPRM yang baru pula telah menyatakan derma RM2.6 Bilion sah dari Kerabat Raja Arab Saudi...samakan macam kenyataan SPRM sebelum ini. Kita tengoklah babak sinetron apa selepas ini....


GR kata: Anak muda yang galak sokong, sebab suka kehidupan yang liberal...Punah!!
 

Wednesday, December 2, 2015

Orang #UMNO Kata, Tunggulah Nanti PRU14...??


SEMASA bertemu santai dengan beberapa orang UMNO di peringkat cawan-gan dan bahagian di sebuah negeri beberapa hari lalu, penulis tersentak seketika. Kata mereka, sebilangan cawangan dan bahagian memandang serius dan peka dengan apa yang menyelubungi UMNO waktu ini. Cuma, masing-masing tidak mahu cakap apa yang terbuku di hati. Positif atau negatif. Hanya ayat ini yang keluar: “Kita tunggu pilihan raya umumlah.”

Penulis tidak mahu menghakimi hati mereka. Tetapi kalau ada terlintas unsur atau perasaan tidak senang hati, pucuk pimpinan parti jangan pula tidak ambil berat. Mesti prihatin dan sensitif dengan keadaan di sekeliling. Sejarah UMNO membuktikan protes yang ditunjukkan andai ada dalam kalangan anggota parti, apalagi Barisan Nasional (BN) sendiri, UMNO tidak boleh pandang mudah dengan impaknya.

Imbas kembali bagaimana insiden Tan Sri Shahrir Abdul Samad dipecat pada sekitar 80-an dalam siri peristiwa yang membawa kepada Krisis Perlembagaan 1988 dan cabaran Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li terhadap Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad masa itu. Pada 1988, Shahrir meletakkan jawatan daripada kerusi Parlimen Johor Bahru dan kemudian mencalonkan dirinya untuk dilantik semula sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen berkenaan. Shahrir menang.

Renungi pula bagaimana Ku Li bergandingan dengan Pas menerusi Parti Melayu Semangat 46 (S46) setelah UMNO diharamkan yang kemudian dihidupkan balik dengan UMNO (Baharu). Akibat ‘tindakan’ Shahrir dan Ku Li itu, UMNO terlepas Kelantan pada 1990 yang kini sudah 25 tahun hilang daripada genggaman.

Pada 1998, apabila Dr. Mahathir tidak sebulu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah timbalannya itu terbabit dalam ‘gelagat hidup yang aneh’, UMNO dan BN secara berperingkat-peringkat terlepas sokongan pengundi Cina pada 2008, meskipun 2004 mencatat keputusan pilihan raya paling popular buat BN.

Kesan tidak puas hati dalam parti, mengambil masa lama untuk sembuh. UMNO mesti belajar daripada pengalaman lepas supaya menjadi panduan untuk gerak kerjanya yang kompetitif. Ahli UMNO sekarang berjumlah 3.4 juta orang. Kata orang UMNO, parti keramat ini Insya-Allah boleh mengekalkan mandat rakyat pada 2018 nanti.

Namun, penulis tidaklah menafikan rumusan ini tetapi paling utama parti mesti bekerja keras dari sekarang. Keahlian 3.4 juta semata-mata tidak cukup untuk berdepan 14 juta pengundi berdaftar. Ini terutama sekali dengan pengundi atas pagar. Ahli parti perlu berkorban apa sahaja. Biar berdentum di hati haba perjuangannya.

Realitinya, sentimen masyarakat ketika ini bersandarkan tiga faktor iaitu berkisar ke mana wang rakyat dibelanjakan, persepsi umum terhadap kadar rasuah yang tinggi dan kos sara hidup.

Persepsi rasuah berkubang ini perlu diperbetulkan manakala dengan caj cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus dikenakan dalam keadaan gaji pula tidak naik, maka sudah tentu kehidupan yang dijalani memeritkan. Demikian juga pembiayaan perubatan seperti harga ubat yang semakin mahal dan caj hospital swasta yang tinggi, mewujudkan rasa tidak puas hati yang berbekam. Hal ini juga perlu diambil perhatian oleh perwakilan-perwakilan yang akan memenuhkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 8 hingga 12 Disember nanti.

Perlihatkanlah rasa rendah diri, penampilan sederhana berteraskan amalan wasatiyyah. Hayati, selami dan hargai denyutan hati rakyat.

Orang UMNO mesti akur bahawa era ini milik orang muda. Dalam era digital, siber atau langit terbuka tanpa sempadan, pendekatan gerak kerja parti yang diambil perlu dinamik. Senario politik kini berbeza, bukan macam tahun 80-an dan 90-an. Rakyat ingin melihat tadbir urus yang baik, ketelusan dan integriti.

Mereka melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai tiang seri negara. Kalau salah satu tumbang, sengetlah rumah kita. Mereka, orang muda yang balik setelah tamat pengajian dari seberang laut, antara golongan yang menjadi faktor penentu kemenangan. Mereka balik ke kampung masing-masing bercerita mengenai masa depan yang diimpikan, seterusnya mempengaruhi orang tua dan masyarakat sekeliling untuk menempatkan calon parti mana atas kertas undi.

UMNO yang membawa panji-panji BN tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada politik pembangunan. Boleh, tapi ini bukan lagi formula mujarab. Memang diakui politik pembangunan yang dibawa BN sejak sekian lama telah terbukti penghasilannya. Sebagai contoh di Telang Usan, Sarawak sejak 10 tahun lalu pelbagai perancangan pembangunan telah, sedang dan terus dilaksanakan seperti pembinaan jambatan di Long Lama, jalan raya yang baharu dan dinaik taraf serta pembangunan infrastruktur yang lain seperti pembangunan elektrik dan air.

Cuma boleh dibuat ‘post mortem’ politik pembangunan ini. Se-perti mana kita semua maklum dan bukan rahsia lagi, baharu sahaja diumumkan beberapa juta ringgit untuk sekolah-sekolah Cina semasa pilihan raya kecil atau mana-mana pilihan umum, namun masih tidak menjamin sokongan daripada kaum Cina.

Perlu dipertingkat dan ditambah nilai strategi mendapatkan sokongan daripada komuniti bandar. Perlu difahami mengenai masyarakat yang sedemikian kompleks yang tidak lagi bergantung kepada politik pembangunan atau politik meluluskan peruntukan kerajaan. Ya, memang rumah, pendidikan dan perubatan diperlukan dalam bandar dan luar bandar, tetapi semua peruntukan ini perlu diiringi dengan gerak kerja tersusun dan penjelasan yang baik.

Golongan muda diyakini bukanlah antikerajaan berdasarkan respon yang diterima dalam akaun Facebook Perdana Menteri dengan ratusan ribu peminat dan akaun Twitter #tanyaNajib, yang antara akaun paling aktif dalam dunia blog mikro dalam jangka masa singkat.

Kisah Kabinet Malaysia hakikatnya banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO. Perkara ini mempunyai alasan yang mudah ke-rana UMNO membekalkan jumlah bilangan besar dalam keahlian Dewan Rakyat. Untuk memiliki Kabinet, perlulah menewaskan UMNO.

Oleh itu, selagi UMNO mengekalkan status-quo kekuatan dan pengaruhnya yang sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presiden UMNO untuk mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri. Proses muhasabah dan transformasi politik, kerjasama dan sokongan ahli parti menjadi satu kekuatan untuk UMNO yang perlu diambil kira.

Kurangkan menguar-uarkan elemen ‘anda termakan budi’ apabila berdepan dengan rakyat. Isu rakyat perlu ditampilkan untuk diteliti dan diselesaikan.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

Wednesday, August 20, 2014

TEGURAN TUN M, NAK BAGI BAIK ATAU NAK ROSAKKAN ORANG MELAYU? @NajibRazak @Zahid_Hamidi @TunDrMahathir @PMOMalaysia @KDNPUTRAJAYA


Hari ini kita lihat PM Najib Razak mula 'Dihentam' teruk oleh Tun M yang kita kenal sebagai Bapa Pemodenan negara kita. Pandangan GR teguran boleh dibuat demi kebaikan kita bersama, tapi apakah mesej sebenar yang cuba disampaikan sehingga menjadi bualan di kedai-kedai kopi sekarang nie??

Apakah benar era pemerintahan Tun M boleh DIPRAKTIKKAN keseluruhannya di zaman PM Najib sekarang nie. Sama-samalah kita fikirkan... Tak salah untuk memberikan teguran, betul tak? Tapi kenalah dengan caranya. Kenapa dengan Pak Lah dulu boleh pun berjumpa 'Face To Face'...tapi dengan Najib sekarang terus sembur jerrr....

GR hormat Tun M kerana membesar di zaman era pemerintahan beliau. GR juga tahu beliau hebat dalam apa jua yang beliau lakukan dan ingin lakukan. Tapi buatlah sesuatu itu dengan penuh hikmah bukannya nafsu semata-mata.

Padangan beberapa pemimpin yang mempertahankan era pemerintahan PM Najib ada betulnya:

1. Tengku Adnan berpendapat bahawa setiap teguran atau nasihat hendaklah disampaikan secara baik dan mengikut amalan lazim anggota Umno iaitu secara tertutup.
“Hanya saya minta pada Tun (Mahathir), kalau boleh jangan terlalu terbuka. Kalau ada masalah pada parti dan pimpinan, datang berjumpa dengan presiden. Kalau presiden tiada, timbalan presiden ada, naib presiden ada, saya pun ada. Yang penting berbincang secara dalaman dan jangan expose,”

2. DS Noh Omar: “Dia (Mahathir) ini umpama seorang bapa. Seorang bapa sentiasa bagi nasihat atau teguran kepada anak. Kerana apa (nasihat dan teguran)? Kerana dia sayangkan anaknya.

“Jangan ambil hati. Kita nilai nasihatnya itu. Kalau perlu kita ambil tindakan, kita buat. Tapi kalau tak betul nasihatnya kita buat kerja ikut apa yang kita dah rancangkan,”


Pandangan mereka ini ada benarnya dan selaras dengan apa yang dituntut dalam Islam dalam konteks menegur atau kritikan yang membina. Jangan pula macam sorang pemimpin tu, jawapan yang diberikan melalut sampai ke jauh mana ntahnya. Tak tau dia nie backup Big Bossnya atau pun sebaliknya...He he he

Fahami ayat Al Quran seperti di bawah:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. - Surah Al Hujurat, Ayat 12

Dan berdebatlah dengan mereka mengikut cara yang terbaik... - Surah An Nahl, ayat 125

Persoalannya di sini, berapa ramaikah pemimpin-pemimpin UMNO BN yang bangun mempertahankan Big Boss mereka bila 'Dihentam'? Bukankah UMNO mengajar mereka ini dan ahlinya taat setia pada parti dan juga barisan kepimpinan parti. Mana diaorang pergi??

GR lihat di sini bila PM Najib dicuit hanya beberapa kerat saja pemimpin yang berani tampil...mana yang lain?? Kata hebat dalam perjuangan??? Itu baru dicuit dalam kalangan parti mereka saja, kalau nak diambil kira dihentam teruk oleh puak pakatan pembangkang memang tak boleh dikira. Pelbagai tomahan dan cacian yang diterima oleh PM Najib, tapi berapa ramai yang backup Big Boss mereka sendiri.

Bila tak ramai pemimpin yang berani bangun backup Big Boss mereka, macam mana masyarakat nak lihat bahawa UMNO ini betul-betul kuat. Jangan salahkan orang lain kalau anak muda juga sudah mula menyampah dengan UMNO!!

Disaat PM Najib dihentam, mana orang kiri kanan Najib...kena semuanya senyaap membisu, nak 'Play Save' ker?? Adakah disaat manis madu habis dihisap semuanya lari selamatkan diri?? Mana perginya pengampu, kaki bodek dan penasihat PM Najib yang kenyang dengan pelbagai projek yang diberikan...semua lari menyorok dalam rumah ker??

GR harap sangat PM Najib harus berfikir bahawa mereka ini hanya mahukan sesuatu tapi tak berani untuk membuat sesuatu. Mungkin inilah harga yang PM Najib terima disaat beliau dihentam teruk, semua pemimpin lari dan Najib terkontang kanting cuba menyelamatkan dirinya seorang diri.

PM Najib juga harus berfikir dan lihat pada pemimpin yang betul-betul setia dan ikhlas berjuang bersama beliau yang berani tampil membela Big Boss mereka. Lihat video di bawah dan korang nilailah sendiri, jangan asyik syok main statement menteri kalau tak dengar sampai habis yer!!









GR kata: Bila kita makan kari, ramuan dia..daun kari semua kita makan sekali atau kita buang yer?? Korang fikirlah sendiri yer...!!!

Artikel pelbagai