Showing posts with label Khairy KJ. Show all posts
Showing posts with label Khairy KJ. Show all posts

Wednesday, December 2, 2015

Orang #UMNO Kata, Tunggulah Nanti PRU14...??


SEMASA bertemu santai dengan beberapa orang UMNO di peringkat cawan-gan dan bahagian di sebuah negeri beberapa hari lalu, penulis tersentak seketika. Kata mereka, sebilangan cawangan dan bahagian memandang serius dan peka dengan apa yang menyelubungi UMNO waktu ini. Cuma, masing-masing tidak mahu cakap apa yang terbuku di hati. Positif atau negatif. Hanya ayat ini yang keluar: “Kita tunggu pilihan raya umumlah.”

Penulis tidak mahu menghakimi hati mereka. Tetapi kalau ada terlintas unsur atau perasaan tidak senang hati, pucuk pimpinan parti jangan pula tidak ambil berat. Mesti prihatin dan sensitif dengan keadaan di sekeliling. Sejarah UMNO membuktikan protes yang ditunjukkan andai ada dalam kalangan anggota parti, apalagi Barisan Nasional (BN) sendiri, UMNO tidak boleh pandang mudah dengan impaknya.

Imbas kembali bagaimana insiden Tan Sri Shahrir Abdul Samad dipecat pada sekitar 80-an dalam siri peristiwa yang membawa kepada Krisis Perlembagaan 1988 dan cabaran Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li terhadap Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad masa itu. Pada 1988, Shahrir meletakkan jawatan daripada kerusi Parlimen Johor Bahru dan kemudian mencalonkan dirinya untuk dilantik semula sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen berkenaan. Shahrir menang.

Renungi pula bagaimana Ku Li bergandingan dengan Pas menerusi Parti Melayu Semangat 46 (S46) setelah UMNO diharamkan yang kemudian dihidupkan balik dengan UMNO (Baharu). Akibat ‘tindakan’ Shahrir dan Ku Li itu, UMNO terlepas Kelantan pada 1990 yang kini sudah 25 tahun hilang daripada genggaman.

Pada 1998, apabila Dr. Mahathir tidak sebulu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah timbalannya itu terbabit dalam ‘gelagat hidup yang aneh’, UMNO dan BN secara berperingkat-peringkat terlepas sokongan pengundi Cina pada 2008, meskipun 2004 mencatat keputusan pilihan raya paling popular buat BN.

Kesan tidak puas hati dalam parti, mengambil masa lama untuk sembuh. UMNO mesti belajar daripada pengalaman lepas supaya menjadi panduan untuk gerak kerjanya yang kompetitif. Ahli UMNO sekarang berjumlah 3.4 juta orang. Kata orang UMNO, parti keramat ini Insya-Allah boleh mengekalkan mandat rakyat pada 2018 nanti.

Namun, penulis tidaklah menafikan rumusan ini tetapi paling utama parti mesti bekerja keras dari sekarang. Keahlian 3.4 juta semata-mata tidak cukup untuk berdepan 14 juta pengundi berdaftar. Ini terutama sekali dengan pengundi atas pagar. Ahli parti perlu berkorban apa sahaja. Biar berdentum di hati haba perjuangannya.

Realitinya, sentimen masyarakat ketika ini bersandarkan tiga faktor iaitu berkisar ke mana wang rakyat dibelanjakan, persepsi umum terhadap kadar rasuah yang tinggi dan kos sara hidup.

Persepsi rasuah berkubang ini perlu diperbetulkan manakala dengan caj cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus dikenakan dalam keadaan gaji pula tidak naik, maka sudah tentu kehidupan yang dijalani memeritkan. Demikian juga pembiayaan perubatan seperti harga ubat yang semakin mahal dan caj hospital swasta yang tinggi, mewujudkan rasa tidak puas hati yang berbekam. Hal ini juga perlu diambil perhatian oleh perwakilan-perwakilan yang akan memenuhkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 8 hingga 12 Disember nanti.

Perlihatkanlah rasa rendah diri, penampilan sederhana berteraskan amalan wasatiyyah. Hayati, selami dan hargai denyutan hati rakyat.

Orang UMNO mesti akur bahawa era ini milik orang muda. Dalam era digital, siber atau langit terbuka tanpa sempadan, pendekatan gerak kerja parti yang diambil perlu dinamik. Senario politik kini berbeza, bukan macam tahun 80-an dan 90-an. Rakyat ingin melihat tadbir urus yang baik, ketelusan dan integriti.

Mereka melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai tiang seri negara. Kalau salah satu tumbang, sengetlah rumah kita. Mereka, orang muda yang balik setelah tamat pengajian dari seberang laut, antara golongan yang menjadi faktor penentu kemenangan. Mereka balik ke kampung masing-masing bercerita mengenai masa depan yang diimpikan, seterusnya mempengaruhi orang tua dan masyarakat sekeliling untuk menempatkan calon parti mana atas kertas undi.

UMNO yang membawa panji-panji BN tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada politik pembangunan. Boleh, tapi ini bukan lagi formula mujarab. Memang diakui politik pembangunan yang dibawa BN sejak sekian lama telah terbukti penghasilannya. Sebagai contoh di Telang Usan, Sarawak sejak 10 tahun lalu pelbagai perancangan pembangunan telah, sedang dan terus dilaksanakan seperti pembinaan jambatan di Long Lama, jalan raya yang baharu dan dinaik taraf serta pembangunan infrastruktur yang lain seperti pembangunan elektrik dan air.

Cuma boleh dibuat ‘post mortem’ politik pembangunan ini. Se-perti mana kita semua maklum dan bukan rahsia lagi, baharu sahaja diumumkan beberapa juta ringgit untuk sekolah-sekolah Cina semasa pilihan raya kecil atau mana-mana pilihan umum, namun masih tidak menjamin sokongan daripada kaum Cina.

Perlu dipertingkat dan ditambah nilai strategi mendapatkan sokongan daripada komuniti bandar. Perlu difahami mengenai masyarakat yang sedemikian kompleks yang tidak lagi bergantung kepada politik pembangunan atau politik meluluskan peruntukan kerajaan. Ya, memang rumah, pendidikan dan perubatan diperlukan dalam bandar dan luar bandar, tetapi semua peruntukan ini perlu diiringi dengan gerak kerja tersusun dan penjelasan yang baik.

Golongan muda diyakini bukanlah antikerajaan berdasarkan respon yang diterima dalam akaun Facebook Perdana Menteri dengan ratusan ribu peminat dan akaun Twitter #tanyaNajib, yang antara akaun paling aktif dalam dunia blog mikro dalam jangka masa singkat.

Kisah Kabinet Malaysia hakikatnya banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO. Perkara ini mempunyai alasan yang mudah ke-rana UMNO membekalkan jumlah bilangan besar dalam keahlian Dewan Rakyat. Untuk memiliki Kabinet, perlulah menewaskan UMNO.

Oleh itu, selagi UMNO mengekalkan status-quo kekuatan dan pengaruhnya yang sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presiden UMNO untuk mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri. Proses muhasabah dan transformasi politik, kerjasama dan sokongan ahli parti menjadi satu kekuatan untuk UMNO yang perlu diambil kira.

Kurangkan menguar-uarkan elemen ‘anda termakan budi’ apabila berdepan dengan rakyat. Isu rakyat perlu ditampilkan untuk diteliti dan diselesaikan.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

Thursday, September 12, 2013

PEMILIHAN UMNO: Siapa Berani Lawan Kak Jat Dan KJ? @SharizatJalil @Khairykj @NajibRazak @Zahid_Hamidi


Aura Pemilihan Agung UMNO semakin hangat dan semakin terasa. Jawatan exco Pemuda, Puteri dan Wanita sudah menampakkan bayangnya. Tidak kurang hebatnya jawatan tertinggi dalam MT UMNO dan juga Naib Presiden UMNO.

Persoalannya mereka yang sibuk nak merebut jawatan bolehkah buat kerja demi memperkasakan agenda Melayu dan juga membela nasib bangsa Melayu. Itu yang lebih penting, itu yang lebih dititik beratkan oleh akar umbi.

Kita semua sedia maklum, KJ akan mempertahankan jawatannya sebagai KP UMNO Msia begitu juga Kak Jat dengan Wanita UMNOnya. Timbul persoalan yang GR buat rujukan dengan akar umbi, KJ dan Kak Jat "kebal" dan sukar dijatuhkan. Betul ker? Jawapan ini hanya ada pada 150 ribu perwakilan yang akan memberikan undian mereka.

Beberapa pemimpin UMNO yang menyatakan hasrat berkobar-kobar untuk melawatan 2 jawatan tertinggi ini telah tersungkur ditengah jalan. Masa umum cabar mengalahkan pengumuman calon PRU13. Apa sudah jadi??
Apakah mungkin Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan mengekalkan jawatan masing-masing dalam pemilihan parti Oktober ini?

Persoalan ini timbul apabila sehingga hari ini belum ada mana-mana pemimpin yang mengumumkan keputusan untuk menentang kedua-dua pemimpin tersebut biar pun borang pendaftaran menjadi calon akan mula diedarkan Sabtu ini.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sebelum ini beria-ia hendak mencabar Shahrizat akhirnya membuat keputusan menarik diri atas alasan bagi mengelakkan perpecahan dalam pergerakan itu.

Walaupun ada desakan supaya Azalina bertanding namun ia hanya ibarat cabaran 'ajak-ajak ayam' sahaja kerana mereka yang membuat desakan tersebut memahami sejauh mana keupayaan Azalina untuk meraih sokongan dalam Wanita UMNO.

Apatah lagi kenyataan demi kenyataan menyokong Shahrizat oleh pemimpin-pemimpin Wanita UMNO dikatakan turut 'menggerunkan' mana-mana pemimpin pergerakan itu untuk mencabar kedudukan beliau.

Selain itu Shahrizat sudah lama melaksanakan pelbagai aktiviti bertemu pemimpin-pemimpin Wanita di akar umbi dan sekali gus mampu meraih sokongan mereka.

Bagi jawatan Ketua Pemuda pula, setakat ini tidak ada mana-mana pemimpin Pemuda yang memberi isyarat akan mencabar Menteri Belia dan Sukan tersebut.

Kedudukan Khairy di dalam Kabinet dan kemampuan beliau memimpin Pemuda sejak 2004 telah memungkinkan wujudnya satu track record yang agak sukar ditandingi oleh mana-mana pemimpin Pemuda lain.

Kegigihan Khairy yang terus berkhidmat untuk parti biar pun tidak menduduki jawatan dalam Kabinet sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada beliau untuk terus kekal memimpin Pemuda UMNO.

Bagi kerusi Ketua Puteri pula, setakat ini dua calon sudah mengumumkan akan bertanding iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Puteri UMNO Petaling Jaya, Jamilah Hanim Othman.

Apa pun pemilihan sayap kali ini dilihat cukup penting bagi membariskan barisan kepemimpinan yang mampu menarik generasi muda untuk menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Justeru adalah penting pemimpin dan ahli-ahli di ketiga-tiga sayap itu membuat keputusan sebaik-baiknya bak kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz, "Ada yang memang popular dalam UMNO tetapi kalah di hati rakyat, ini semua perlu diambil kira."

Pandangan GR, siapa pun yang memegang jawatan tertinggi Wanita, Pemuda dan Puteri ini....mereka haruslah membuat satu transformasi yang baru demi masa depan UMNO yang lebih baik. Jangan cakap saja pandai, kerja perlu buat dan yang penting ikhlas.


GR kata: Power tak power 2 pemimpin nie...kita tengok nanti hasilnya!!

Artikel pelbagai