Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu perlu bersatu sekarang bagi memastikan kerajaan sedia ada kembali mendapat sokongan dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Bekas Perdana Menteri berkata, seruan itu dilakukan kerana pihaknya mendapati orang Melayu pada masa ini tidak bersatu dan tidak memberikan sokongan penuh kepada kerajaan.
Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan kemungkinan orang Melayu di negara ini akan hilang pengaruh dalam kerajaan.
''Orang Melayu perlu bersatu dengan tujuan satu, bersatu dengan tujuan berlainan susah juga. Melayu tidak bersatu sekarang, sebab itu saya cakap macam itu tadi, mereka tidak menyokong penuh kerajaan. Oleh sebab itu, mereka perlu bersatu sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Bicara Minda Tun Dr. Mahathir Mohamad: Masa Depan Melayu dan Islam Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 di sini hari ini.
Yang hadir sama isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Dr. Mahathir berkata, dalam menghadapi pilihan raya umum, orang Melayu mempunyai ruang untuk membuat keputusan sama ada yang boleh memberikan kebaikan kepada mereka atau sebaliknya.
Dalam hal ini beliau menjelaskan, bagi meramalkan apakah masa depan orang Melayu, hanya terdapat dua pilihan bagi kaum tersebut untuk membuat keputusan iaitu bagi yang sedar akan bertindak mempertahankan kedudukan sekarang.
Keduanya kata beliau, orang Melayu yang tidak sedar menganggap mereka juga akan maju sebagai rakyat Malaysia tanpa memberikan penekanan kepada soal identiti kemelayuan.
''Bagi pendapat saya walaupun sudah ada orang Melayu berjaya tetapi umumnya ramai yang tidak berjaya. Mereka mungkin tidak akan berjaya kalau tidak diberikan tongkat atau pertolongan.
''Kita percaya kejayaan orang Melayu menakjubkan tetapi belum tahu kalau tidak diberikan pertolongan dari awal mereka akan berjaya," katanya.
Beliau berkata, generasi baharu kini didapati merasakan ketakutan dan perasaan tertekan orang Melayu ketika bersatu melawan Malayan Union sudah tidak ada lagi kerana perkara yang dikehendaki oleh mereka sudah tercapai.
''Kesedaran timbul dengan ditekan, bila ditekan kita respons, maka akan rapatkan barisan dan bersatu padu dan wujudnya perpaduan. Inilah yang dapat menolak Malayan Union sehingga akhirnya British terima cadangan Persekutuan Tanah Melayu," katanya.
Justeru katanya, masa depan orang Melayu pada hari ini bergantung kepada kebolehan mereka membuat pertimbangan berasaskan kepada apa yang telah berlaku pada masa lalu.
''Orang Melayu kena fikir mendalam tentang bagaimana untuk menyelamatkan dan memajukan masa depan kita. Bagi negara demokrasi, banyak bergantung kepada pemilihan tentang siapa yang mampu mentadbir negara.
''Kalau kita bertindak berasaskan kepada emosi dan perasaan kebencian, saya yakin masa depan tidak terjamin. Bagaimanapun sebaliknya, jika kita fikir secara mendalam berasaskan sejarah dan pengalaman, saya yakin kita boleh membuat pilihan bijak, sekali gus masa depan selamat," katanya.
GR kata: Renungkan demi masa depan agama, bangsa dan negara....
No comments:
Post a Comment