Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed merayu kepada ahli politik semua parti, agar tidak 'menembak SPRM dari belakang', suatu kecenderungan yang beliau katakan akan hanya menyulitkan lagi usaha memerangi rasuah.
"Saya ingin katakan kepada ahli politik daripada semua parti...janganlah tembak dari belakang. SPRM adalah tentera untuk memerangi rasuah. Jika anda menembak kami dari belakang, kepada siapa lagi masyarakat boleh meminta pertolongan untuk menentang rasuah?" katanya pada majlis jamuan malam sempena sambutan Hari Pencegahan Rasuah Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam Ahad.
Abu Kassim berkata SPRM, yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah, bersama rakannya dari Hong Kong dan Singapura adalah antara badan pencegahan rasuah tertua di dunia, yang tugas mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa, terutama oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Katanya sebelum 1990, hanya terdapat 20 badan pencegah rasuah di seluruh dunia, tetapi sekarang, jumlahnya bertambah kepada 150 dan ini mencerminkan wujudnya kesedaran yang semakin meningkat tentang pentingnya memerangi penyakit itu.
Abu Kassim berkata penambahan lima panel yang dianggotai 42 personaliti daripada pelbagai profesion dalam SPRM sejak 2009, memastikan siasatan terhadap kes rasuah dilaksanakan secara bebas, tanpa unsur takut dan pilih kasih.
Kata beliau, sebagai contoh, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dianggotai enam anggota Parlimen dan seorang senator, termasuk daripada parti pembangkang.
"Saya tabik kepada anggota kesemua lima panel ini atas tugas yang telah mereka laksanakan dalam memastikan segala-galanya dapat dibongkar dalam penyiasatan kami. Bagaimanapun, kami tetap dituduh melakukan penyiasatan berpilih.
"Saya ingin mengulangi jaminan bahawa oleh kerana SPRM dipantau dengan teliti oleh panel ini, tidak mungkin perkara itu boleh terjadi," katanya.
Abu Kassim berkata adalah menjadi kewajipan mana-mana masyarakat sivil yang begitu membenci rasuah untuk tidak membiarkan badan seperti SPRM 'dihina dan ditekan' oleh mana-mana pihak.
Katanya adalah juga menjadi kewajipan masyarakat untuk melobi agar undang-undang pencegahan rasuah yang sudah lapuk, dimansuhkan dan bukan menuduh SPRM tidak mengambil tindakan sewajarnya kerana SPRM hanya boleh bertindak dalam lingkungan undang-undang yang ada.
Sehubungan itu, beliau menyentuh tentang undang-undang yang membenarkan saudara mara terdekat pegawai awam seperti menteri untuk memohon tanah atau konsesi balak. Di bawah undang-undang ini, tidak menjadi kesalahan sekiranya seorang menteri telah mengisytiharkan kepentingannya berhubung permohonan itu, sebelum ia diluluskan.
"Orang ramai perlu menyokong undang-undang yang menggariskan 'larangan penuh' bagi saudara mara terdekat seseorang menteri untuk terlibat dalam proses membuat keputusan," katanya.
Beliau berkata setiap orang perlu memainkan peranan untuk menjadikan SPRM lebih kuat dalam usahanya memerangi rasuah.
Katanya SPRM kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada maklumat atau laporan orang ramai untuk bertindak terhadap tuduhan rasuah, tetapi juga mempunyai pegawainya yang menjalankan tugas penyamaran dan perisikan.
Tindakan secara proaktif dan preemptif ini berjaya membongkar lebih banyak kes, terutama terhadap pemberi, bukan sahaja memberi tumpuan terhadap penerima rasuah seperti sebelum ini, kata beliau. - BERNAMA
GR kata: Anwar meroyan sebab takut tembelang dia pecah....
No comments:
Post a Comment