BUTTERWORTH 30 Sept. - Pemberian pelbagai insentif terhadap orang muda menerusi Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas menunjukkan kerajaan prihatin terhadap golongan tersebut.Sehubungan itu, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tidak hairanlah pola sokongan golongan itu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin meningkat.
"Dakwaan sesetengah pihak kerajaan BN tidak mempedulikan suara orang muda adalah salah malah, pelbagai program yang memanfaatkan golongan itu diadakan secara berterusan.
"Dalam Bajet 2013 juga, dua buah kementerian yang dekat dengan belia iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mendapat peruntukan besar, berjumlah RM51.7 bilion yang kali pertama diberikan," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival BN Pilihan Orang Muda peringkat negeri yang dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, dalam konteks di negeri ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng tidak mendengar suara dan permintaan orang muda menyebabkan mereka berasa terpinggir.
"Sebelum ini, golongan muda di negeri ini tidak memihak kepada BN, namun, suasana itu semakin berubah apabila pakatan pembangkang yang memerintah tidak melakukan apa-apa untuk pembangunan golongan itu.
"Dalam Bajet 2013, golongan muda turut menerima pelbagai faedah seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia, pemberian rebat RM200 untuk membeli telefon bimbit pintar dan diskaun pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya.
Menurutnya, semua insentif tersebut membantu golongan muda dan jika BN terus berusaha tidak mustahil sokongan diterima semakin meningkat. Ahmad Zahid berkata, golongan muda yang mewakili 37 peratus atau 307, 000 daripada 826, 000 jumlah pengundi keseluruhan di negeri ini akan terus diberi perhatian.
"Gelombang sokongan semakin meningkat terutamanya bagi yang kali pertama mendaftar menjadi pengundi kerana mereka tahu DAP tidak pedulikan nasib mereka," katanya.
Beliau berkata, jika formula 3331 digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan berjaya, BN mampu membentuk kerajaan di Pulau Pinang.
"Formula itu merujuk kepada pertambahan kemenangan tiga kerusi untuk UMNO, MCA, dan Gerakan manakala satu MIC di samping mengekalkan 11 kerusi dimenangi sebelum ini.
"Saya percaya jika kita bekerja keras, sasaran tersebut mampu dicapai," katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, selepas 48 jam bajet diumumkan, tinjauan yang dilakukan pihaknya menerusi media sosial mendapati, sokongan diterima meningkat secara mendadak.
GR kata: Rakyat Malaysia tersenyum lagi...
No comments:
Post a Comment