Sunday, June 3, 2012

PLAYER LIVERPOOL BAGI KATA AZIMAT PADA NAZMI!!


Kisah pemain remaja sensasi negara, Mohd. Nazmi Faiz Mansor yang menandatangani kontrak bersama kelab divisyen satu Portugal, S.C Beira-Mar baru-baru ini turut menarik perhatian bintang penyerang Liverpool, Craig Bellamy yang sempat meninggalkan nasihat buat pemain berusia 17 tahun itu.

Bellamy, 32, yang ditemubual ESPNSTAR.com dalam kunjungannya ke Singapura kelmarin, menasihati Nazmi agar sentiasa bekerja keras dan tidak berputus asa.

"(Nazmi) harus berusaha sedaya upaya dan sentiasa memajukan diri. Hargailah mereka yang berada di sekeliling kamu, sahabat-sahabat dan ahli keluarga.

"Dan ingatlah, ia hanya sukan. Kamu hanya boleh cuba meningkatkan keupayaan diri untuk menjadi setahap lebih baik, namun semua itu sahajalah yang kamu boleh lakukan," katanya apabila diminta wartawan ESPNSTAR.com untuk memberikan nasihat kepada Nazmi yang bakal membuat penampilan sulung di Portugal, bulan depan.

Pemain antarabangsa Wales itu menegaskan bahawa Nazmi tidak boleh dianggap gagal jika tidak berkesempatan melanjutkan kariernya di Eropah kelak.

"Jika dia kembali ke Malaysia satu hari nanti kerana perjalanan (karier) tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan, dia bukan seorang yang gagal.

"Namun jika dia dapat mencapai kejayaan di situ dengan hasil usaha kerasnya, maka dia boleh berasa gembira dan bangga dengan dirinya, dan menikmati setiap saat di situ.

"Saya percaya dia satu-satunya pemain yang beraksi di situ (dari Malaysia dan Asia Tenggara), ia sudah tentu menjadi penghormatan yang besar," ujarnya.

Bellamy yang memulakan karier Liga Perdana Inggeris pada 1996 bersama Norwich City, pernah berpindah sembilan kali termasuk ke Coventry, Newcastle, Celtic, Blackburn, Liverpool, West Ham, Manchester City, Cardiff City sebelum akhirnya kembali ke Anfield. - Utusan


GR kata: Teruskan harumkan nama negara, doakan adik Nazmi berjaya dalam karier bola sepaknya...

Published with Blogger-droid v2.0.4

No comments:

Artikel pelbagai