Saturday, June 9, 2012

HARUS BACA: BERITA BAIK UNTUK RAKYAT MALAYSIA!! @NajibRazak


Cadangan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pusingan kedua telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan memperoleh peningkatan sumber pendapatan termasuk penambahan jumlah kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Semalam kita bincang dalam Kabinet. Datuk Seri Noh (Omar) pun ada. Saya beritahu Perdana Menteri, kalau agak ada duit lebih kita buat sekali lagilah (BR1M). Tidak tahulah, itu pandangan saya tetapi PM senyum sahaja.

“Beliau kata apa susah, cari sumber, kita sudah ada sumber tetapi kadang-kadang pendapatan tidak dikutip dan bila Perdana Menteri arahkan LHDN tingkatkan kutipan, tahun lalu dapat tambah hasil RM26 bilion dan tahun ini diarahkan tingkatkan kepada RM30 bilion," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat sempena Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Jawa, Jeram di sini hari ini.

Hadir sama, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Amiruddin Setro; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus.

Sehingga kini, dianggarkan seramai 4.78 juta orang telah menerima manfaat daripada pengagihan BR1M daripada keseluruhan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 bilion yang diluluskan kerajaan.

Ia termasuk penerima BR1M di Parlimen Kuala Selangor yang mencecah 8,376 orang dengan nilai sebanyak RM4 juta.

Muhyiddin berkata, kerajaan mampu menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat dan melaksanakan pembangunan melalui dasar transformasi nasional yang digerakkan oleh pentadbiran Najib.

Malah, katanya, bantuan itu diberikan dalam bentuk subsidi mencecah berbilion ringgit setahun, namun tidak disedari rakyat kerana sudah terlalu lama menikmatinya di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Subsidi yang kerajaan tanggung berjumlah RM2 bilion, tuan-tuan tidak tepuk tangan, fasal sudah biasa kerana apa yang BN beri biasanya orang sudah lali, sebab sudah lama sangat tetapi tidak dapat dinilai. Kalau sebelah sana beri RM100, ya Allah cerita gempak seluruh dunia.

“Kita beri RM500, bagi subsidi...(orang kata) biasalah itu tanggungjawab kerajaan, sedangkan tidak semua negara buat begitu. Jiran kita Indonesia, rakyat mereka berarak di jalan raya kerana membantah keputusan kerajaan menaikkan harga minyak," katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin turut menegur sikap penganjur perhimpunan haram Bersih 3.0 baru-baru ini yang sanggup melakukan demonstrasi ketika negara kekal aman dan makmur.

Katanya, demonstrasi itu juga tidak wajar diadakan ketika rakyat menikmati harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang terus meningkat manakala harga bahan bakar dapat dikawal tanpa berlaku kenaikan.

“Tidak ada rakyat kita yang mati kebuluran tetapi di mana-mana tempat saya pergi ramai yang meninggal dunia kerana sebab terlebih makan.

“Macam hari ini, makanan yang disediakan sampai tidak termakan, masya-Allah, inilah ‘Baldatun Taiyyibatun Wa Rabbun Ghafur’ (negara yang baik dan diampuni Tuhan)," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat negeri ini kembali memberikan sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi memastikan lebih banyak manfaat disalurkan kepada mereka.

“Kalaulah ini usaha kerajaan mengapa tidak sokong BN. Kita hendak ingatkan orang Selangor agar kembalikan semula kerajaan kepada BN.

“Kita sudah buat banyak perkara semasa mentadbir dan kita akan buat lebih banyak lagi berbanding apa yang dilakukan pembangkang, ini janji kita," tegasnya.


GR kata: PR mesti kata ni rasuahkan...tapi amik jugak. Kih kih kih

No comments:

Artikel pelbagai