Saturday, November 30, 2013

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO: ORANG UMNO DAH SEDAR ATAU MASIH SYOK SENDIRI? @NajibRazak @Zahid_Hamidi


UMNO mungkin tidak dilihat sebagai 'parti orang kaya' pada ketika ini. Buktinya? Sokongan pengundi di luar bandar dalam PRU-13 yang lalu boleh dijadikan ukuran yang nyata. Majoriti rakyat masih percaya dengan kewibawaan UMNO untuk membawa idealisme dan cita rakyat. Polisi, dasar dan kebijakan ekonomi yang dibawa oleh kerajaan, dapat diterima oleh rakyat. Dengan sendirinya, UMNO mendapat imbuhan politik.

Mahu tidak mahu, kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi 'pusat rujukan' kepada pengundi membuat pilihan. Majoriti rakyat percaya bahawa Najib lebih mampu membawa Malaysia ke hadapan berbanding individu lain. Hasilnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) diberikan mandat untuk meneruskan kepimpinan.

Pengundi Melayu memberikan undi percaya yang agak tinggi kepada UMNO dan BN (sebagai contoh: Sabah, 71.6%, Johor 76.5%, Melaka 68.3%, Negeri Sembilan 66.7%, Pulau Pinang 55.6%). Gabungan sokongan pengundi di Sabah dan Sarawak, menyumbang 47 kerusi kepada BN secara keseluruhan. Model politik BN masih lagi menjadi pilihan.

Walaupun UMNO tidak ada di Sarawak, namun sokongan pengundi Melayu/Bumiputera kepada parti komponen di negeri tersebut di takat yang sangat meyakinkan. Undi orang Melayu/Melanau hampir 82% memihak kepada BN. Undi orang Iban, jika data yang dipunyai tepat, dalam lingkungan 62%.

Tanpa mempunyai data yang spesifik, UMNO dan BN mendapat peratusan sokongan pengundi bawah 40 tahun yang agak meyakinkan. Di lapan atau sembilan negeri, UMNO dan BN mencatatkan angka lebih 50% di saluran pengundi muda.

Apa sahaja dapatan politik PRU-13 perlu dinilai oleh perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti. UMNO perlu menilai kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang pemerkasaan politik yang boleh dilakukan. Nilaian dan muhasabah politik mesti berlaku secara jujur.

Signifikan Perhimpunan Agung 2013

Najib sudah mula menyuntik semangat untuk UMNO mengukuh kekuatan sejak dari tahun pertama beliau mengambil alih kepimpinan lagi. Dalam PAU 2012, yang terakhir sebelum berlangsungnya PRU - sudah diingatkan bagaimana UMNO perlu memahami landskap politik dengan tepat.

UMNO tidak boleh alpa dengan realiti politik baru. Proses urbanisasi, keterbukaan maklumat, idealisme orang muda, kepercayaan rakyat, perang persepsi - kesemuanya sudah dinyatakan secara terbuka. Perkara-perkara inilah yang membentuk 'sistem nilai', sekali gus menjadi kayu ukur rakyat memilih kerajaan.

UMNO tidak boleh berdiri dengan retorik jasa dan sumbangan lebih lima dasawarsa. Ini dinyatakan oleh Najib dalam PAU2012, '...Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan BN tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin'.

Ingatan ini sangat penting dan wajar seringkali diingatkan kepada kepimpinan UMNO di pelbagai peringkat. Hakikatnya, Najib berani mengungkap ayat yang sedemikian jujur. Mantera UMNO bahawa parti itu banyak berjasa, perlu disokong dengan usaha melakukan perubahan sikap dan budaya politik dalaman yang menyeluruh.

Lebih 170,000 ahli UMNO seluruh negara sudah membuat keputusan akan 'pasukan impian' yang mereka mahukan untuk PRU14. Pasukan ini akan pastinya dinilai sepanjang tiga tahun yang akan datang. Jika pasukan ini kelihatan tidak berfungsi baik, tidak mustahil, satu lagi ruang pemilihan parti akan memberikan ahli peluang membuat koreksi dan pembetulan.

Menilai Strategi Lawan

UMNO tidak wajar senyum terlalu awal dengan apa yang berlaku di dalam parti lawan. Mereka juga sedang menyusun langkah dan jurus politik bersesuaian. Sementara PAS bertindak sebagai 'akrobat politik' dalam isu berkait dengan Hudud, Comango, muzakarah, pertembungan ulama' - profesional dan sebagainya; PKR bermain dengan politik 'sesumpah'. Autonomi Sabah dan Sarawak dijadikan sandaran, khusus untuk memecah tembok sokongan kuat kepada BN di kedua-dua buah negeri.

Kekuatan UMNO selama ini adalah kemampuan melakukan perubahan dan transformasi. UMNO sebuah parti yang cekap dan efisien dalam mendepani keperluan perubahan. Pasca PRU13, UMNO perlu sekali lagi mencari strategi dan langkah baru untuk berdepan dengan lawan. PRU14 mesti ada dalam fikiran. Bukan masanya keris politik disimpan.

Datanglah apa jua cabaran, jika Presiden dan pasukan impian akar umbi UMNO tangkas menggalas amanah dan harapan, tidak ada apa yang mustahil. PRU13 jadi bukti, walau tsunami politik mengganas, UMNO dan BN masih menjadi pilihan rakyat. PAU2013 wajar jadi platform meraikan kejayaan - sekali gus menyedia 'roadmap' untuk kejayaan lebih baik dalam PRU14 nanti.


GR kata: Bangun jangan asyik dibuai mimpi. Mimpi tak selalunya indah.

No comments:

Artikel pelbagai