Ramalan Harimau Malaya bakal diratah teruk oleh kelab gergasi dunia, Barcelona dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam ternyata meleset apabila skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu hanya sekadar tewas 1-3.
Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 45,000 penonton, Cesc Fabregas meletakkan Barcelona di hadapan pada minit ke-33 tetapi Mohd. Amri Yahyah menyamakan kedudukan buat Harimau Malaya tujuh minit kemudian, sebelum bintang Brazil, Neymar kembali meletakkan pelawat di depan pada minit ke-43.
Gerard Pique memastikan juara Eropah empat kali itu tidak dimalukan apabila menyumbat gol ketiga pada minit ke-74 untuk mengesahkan kemenangan 3-1.
Walaupun tewas, sekalung tahniah buat Harimau Malaya yang menampilkan aksi penuh disiplin dan kekal fokus sepanjang perlawanan, sekali gus menghampakan Barcelona untuk mengulangi jumlah jaringan yang sama ketika mereka membelasah kelab Brazil, Santos 8-0 dan Thailand 7-1, baru-baru ini.
Keputusan itu mungkin dilihat meredakan sedikit tekanan buat Rajagobal yang sebelum ini dikritik hebat oleh media dan peminat apabila kalah dalam tiga perlawanan persahabatan di Jepun pada bulan lalu di tangan kelab J-League.
Pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan ternyata menjadi duri dalam daging kepada barisan serangan Barcelona apabila berulang kali dapat mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya selain kekentalan Mohd. Fadhli Mohd. Shas serta Asrarudin Putra Omar yang sentiasa berjaya mengekang gerakan lawan.
Namun, penyokong Barcelona yang hadir ke stadium jelas berasa kempunan untuk melihat aksi pemain terbaik dunia, Lionel Messi dalam perlawanan berkenaan apabila dikhabarkan mengalami kecederaan dan Gerardo Martino tidak mahu menurunkan risiko membawa masuk bintang Argentina itu.
Hanya aksi Neymar dan Andres Iniesta yang berjaya meraih perhatian para peminat Barcelona yang hadir ke stadium sementara pemain lain dilihat bermain di tahap sederhana termasuk Xavi dan Alexis Sanchez.
Selepas 32 minit disekat Harimau Malaya, Barcelona akhirnya membuka tirai jaringan melalui Fabregas yang menanduk masuk hantaran silang Jordi Alba biarpun Khairul Fahmi dapat menepis percubaan tetapi bola tetap bergolek masuk ke dalam gawang.
Pun begitu, jaringan tersebut langsung tidak melemahkan semangat anak-anak buah Rajagobal yang tetap memburu gol penyamaan dan pada minit ke-40, Harimau Malaya mengejutkan Barcelona.
Dalam situasi yang tidak diduga, hantaran silang S. Kunanlan dari sebelah kiri sekadar disepak lemah Javier Mascherano dan Mohd. Amri Yahyah bijak mengambil kesempatan dengan merembat cantik menewaskan Victor Valdes yang kelihatan terkeluar sedikit daripada posisi.
Kegembiraan penonton Malaysia yang bersorak dengan jaringan tersebut bagaimanapun hanya bertahan selama tiga minit apabila Neymar kembali meletakkan Barcelona di hadapan apabila mudah melepasi kawalan Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Fadhli Shas sebelum menewaskan Khairul Fahmi.
Perlawanan sedikit tegang apabila Fabregas dan Wan Zack Wan Haikal bercakaran sesama sendiri dalam kotak penalti negara apabila mereka bertembung sesama sendiri ketika merebut bola walaupun bekas pemain Arsenal itu berada dalam kedudukan ofsaid, mujur dapat ditenangkan oleh Neymar dan pengadil.
GR kata: Tahniah Harimau Malaya tak jadi bahan laukan.
No comments:
Post a Comment