Saturday, September 29, 2012

Cayalah Orang Bujang Pun Dapat #BR1M

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) buat kali kedua dengan kriteria penerima diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas, berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Perdana Menteri berkata, pemberian sebanyak RM250 menerusi bantuan dikenali BR1M 2.0 itu mula dibayar awal tahun depan.

Kriteria penerima masih sama iaitu ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Menurut beliau, bantuan itu akan memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

"Penerima BR1M tidak perlu lagi mendaftar untuk kali kedua, manakala pemohon baru pula perlu mendaftar mulai November 2012 secara dalam talian atau kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara," katanya pada pembentangan Bajet 2013 di Parlimen hari ini.

BR1M 2.0 merupakan susulan kepada BR1M tahun ini yang menyaksikan kerajaan Persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah yang dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah, membabitkan peruntukan hampir RM2.16 bilion.

Dalam pada itu Najib berkata, bagi mengurangkan kos penghantaran dan pengagihan lebih tinggi yang mengakibatkan harga keperluan di Sabah, Sarawak dan Labuan lebih mahal, kerajaan memperuntukkan RM386 juta untuk membuka 57 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Tambahnya, kerajaan juga akan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.

"Sebagai contoh di Ba'kelalan, Sarawak, gas memasak 14 kilogram setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak itu boleh dibeli hanya dengan harga RM26.60 setong," katanya.

Menurut beliau, sebagai tambahan bagi meringankan beban rakyat berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus.

Diskaun sama turut diberikan ke atas tambang feri bagi kenderaan komersial yang mengangkut barangan keperluan asas dan binaan ke Labuan.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Artikel pelbagai