Thursday, August 23, 2012
WARKAH CINTA BUAT USTAZ NASHA...
Berikut adalah sedutan petikan surat seorang pimpinan cawangan Pas kepada Nasharudin Mat Isa seperti yang disiarkan di Facebook Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali, Sabtu lalu.
Assalamualaikum,Ke hadapan yang dihormati YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang juga merangkap Ahli Parlimen Bachok, Kelantan. Semoga keadaan ustaz sentiasa sihat dan dirahmati oleh Allah SWT.
Mengenangkan semula perkembangan apa yang berlaku dalam seminggu dua ini, saya terpanggil untuk mengutuskan surat ini kepada ustaz.
Adapun surat ini tidaklah bertujuan apa-apa, hanya untuk memberitahu akan betapa gembiranya hati saya melihat gambar ustaz bersama-sama pemimpin UMNO bertemu dengan para ilmuwan dan cerdik pandai agama dari Arab Saudi, membincangkan tentang permasalahan ummah sejagat.
Saya juga amat bersyukur akan pegangan ustaz terhadap pendirian penyatuan dan perpaduan ummah di Malaysia ini tidak pernah berubah.
Kegembiraan saya tidak terbendung lagi di saat mengenangkan bagaimana agama Islam di Malaysia ini semakin berani diinjak-injak oleh bangsa lain, apatah lagi ia turut didokong oleh kepimpinan beberapa orang Islam sendiri.
Untuk makluman ustaz juga, saya merupakan penyokong kuat parti Pas dan merupakan pemimpin di sebuah cawangan Pas di negeri Melaka. Untuk pengetahuan ustaz juga, saya telah menjadi ahli Pas semenjak usia saya mencapai had boleh mengundi dan sehingga sekarang saya kira sudah hampir 30 tahun saya berjuang di dalam Pas.
Banyak perkara susah senang yang telah saya lihat sepanjang penglibatan saya selaku ahli Pas. Jatuh bangun dalam parti perkara biasa. Saya juga telah melepaskan jawatan di dalam perkhidmatan awam demi memperjuangkan agenda parti.
Susah senang saya tanggung didokong oleh sokongan anak dan isteri serta beberapa kawan. Namun tiada perkara yang boleh menggoyahkan sokongan saya sehinggalah beberapa perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Tidak pernah saya merasakan kesedihan dan kekesalan teramat sangat, namun sekarang segalanya telah jelas untuk saya mengambil tindakan untuk berubah.
Antaranya, apabila saya melihat nasib seorang pejuang Islam yang tulen seperti YB (Datuk) Dr. Hasan Ali yang disingkir apabila cuba mempertahankan akidah umat Islam di Selangor.
Saya sering terbayangkan sekiranya jika Dr. Hasan Ali tidak membuat pendedahan itu, apa akan jadi pada anak cucu kita? Pada mulanya saya mengagak pasti kepimpinan Pas tertinggi akan menyelidik dan membela Dr. Hasan Ali demi akidah, namun perkara yang memeranjatkan pula berlaku.
Betapa lemahnya iman kita dalam mempertahankan saudara kita padahal dia berjuang di jalan Allah. Kepimpinan Pas pusat mengambil keputusan memecat beliau tanpa pembelaan demi memenuhi tuntutan sahabat politik kita, DAP. Ya Allah Ya Tuhanku, malunya hamba-Mu ini untuk menghadap-Mu nanti.
Ustaz bayangkan perasaan saya tatkala putera saya yang telah saya didik untuk menyambung perjuangan saya kini yang menjadi Pemuda Pas, berasa malu akan tindakan ketuanya itu.
Dia bertanyakan kepada saya, benarkah apa yang kita perjuangkan selama ini wahai ayah? Tak terjawab saya. Sebenarnya ustaz banyak lagi perkara yang berlaku membuatkan saya sering berfikir dan bermuhasabah akan kebenaran perjuangan parti ini, selepas menyaksikan seorang demi seorang ulama tersingkir.
Terkini saya mengikuti rapat perkembangan mengenai ustaz. Saya setakat ini masih lagi ahli Pas namun sekiranya ustaz turut tersingkir atau ustaz keluar, percayalah saya akan mengikuti jejak langkah ustaz bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sebenarnya mereka semua sudah lama hilang semangat dan kepercayaan terhadap perjuangan Pas ini namun sayalah yang sering memujuk mereka untuk bersabar. Namun kini kesabaran saya sendiri hilang disebabkan hilangnya kepercayaan terhadap kepimpinan pusat yang melebihkan politik dan Putrajaya sehingga menggadaikan agama Islam itu sendiri.
Apa pun saya ucapkan ribuan terima kasih sekiranya ustaz dapat meluangkan masa membaca warkah saya ini.
Percayalah semangat memperjuangkan Islam tidak pernah luntur di hati saya namun nampaknya peluang untuk memperjuangkan Islam di dalam PAS semakin kelam dan saya percaya pasti ada sisi lain atau pihak lain yang lebih ikhlas memperjuangkan Islam dan perpaduan ummah berbanding Pas.
Sehingga ini sahaja sempat saya catatkan untuk ustaz. Saya juga berdoa agar Allah menetapkan hati ustaz dan hati saya sekeluarga juga agar tidak terpaling ke arah godaan duniawi dan godaan musuh Islam.
Amin Ya Rabbal Alamin.....Assalamualaikum.
Sumber: Utusan
GR kata: Puak PAS pun dah tak percaya pada kepimpinan PAS...macam mane tue??
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment