Saturday, November 9, 2013

PENGUNDI DAH MULA BUKA MATA ATAU UMNO/BN MASIH SYOK DALAM KELAMBU SENDIRI? @NajibRazak @Zahid_Hamidi


Kejayaan Barisan Nasional (BN) mengurangkan majoriti PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Limau, Kedah menunjukkan BN berjaya menarik ramai pengundi untuk 'hijrah' dan mengurangkan bilangan pengundi yang 'kekal'.

Meskipun tewas, BN masih boleh berbangga kerana berjaya memaksa Pas bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen sejak 23 Oktober lepas, sehingga ke tahap melakukan serangan peribadi terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Sebelum hari pengundian yang jatuh pada 4 November, di atas kertas, Pas sudah mempunyai kelebihan kerana selain daripada DUN Sungai Limau merupakan kubu kuat parti itu, Pas mempunyai 9,499 anggota sebagai pengundi. BN pula memiliki 9,230 anggota dan selebihnya 8,493 merupakan pengundi atas pagar.

Realitinya Isnin lalu dalam tempoh enam bulan selepas PRU-13, PAS telah kehilangan 1,225 undi di DUN Sungai Limau.

Mohd. Azam Abd. Samat, calon Pas menang dengan majoriti 1,084 undi berbanding majoriti 2,774 undi yang diperoleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 5 Mei lalu.

Mohd Azam, 37, mendapat 12,069 undi mengatasi Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52, (BN) yang memperoleh 10,985 undi. Undi yang diperoleh Mohd. Azam berkurangan 1,225 atau 9.2 peratus daripada jumlah undi yang diraih Azizan pada PRU-13 iaitu sebanyak 13,294 undi.

Sementara di pihak BN, majoriti pada PRK DUN Sungai Limau bertambah 4.4 peratus atau 465 undi. Jumlah pemilih berdaftar yang keluar mengundi juga berkurangan 1,100 atau 4.5 peratus daripada 24,349 pada PRU-13.

Dalam PRK ini, BN menang di 10 daripada 19 daerah mengundi berbanding hanya enam pada PRU-13.

BN menawan empat daerah mengundi iaitu Sungai Limau dengan majoriti 105 undi, Kabu Sepuloh (55), Kampung Titi Batu (951) dan Padang Lumat (50) di samping mengekalkan enam yang dimenangi pada PRU-13 dengan majoriti bertambah.

Daerah mengundi yang dikekalkan pula adalah Sungai Kering dengan majoriti 202 undi berbanding 178 pada PRU-13, Simpang Tiga (48 - 46), Selengkoh (195 - 119), Sungai Daun (293 - 137), Dulang Kechil (939 - 506) dan Dulang Besar (533 - 187).

Jika momentum yang ditunjukkan dalam kempen PRK ini dikekalkan oleh jentera BN, tidak mustahil para pengundi Sungai Limau akan berhijrah kepada BN pada PRU-14 nanti.

BN menang moral. Benarkah begitu?

Sebenarnya, kalau diteliti dengan terperinci, keputusan PRK Sungai Limau telah menyaksikan orang Melayu sudah berpatah balik - untuk bertaut kembali. Ini terutamanya melibatkan golongan 'totok' Pas. Kita kena ingat dengan tarikh PRK ini berlangsung waktu hari bekerja (Isnin), dianggarkan kira-kira 2,200 pengundi luar Kedah yang dikatakan pada PRU-13 Mei lalu lebih cenderung menyokong BN, tidak dapat pulang untuk mengundi. Ini ditambah pula dengan 'hujah' pihak tertentu, buat apa balik, Sungai Limau memang kubu kuat Pas. Pasti kalah BN. Itu antara sebab mengapa kemenangan tidak berpihak kepada BN.

Cuma, sesuatu yang perlu dipelajari dari Sungai Limau adalah cara kempen jentera BN kalau ada PRK selepas ini adalah perlu menjauhi dari takuk lama.

Antaranya, seperti 'ahli Pas masuk UMNO' kerana dikhuatiri boleh 'mengelirukan' orang ramai. Dalam kempen-kempen selepas ini harus dipertegaskan peranan Islamik UMNO hendak mendaulatkan Islam dan Melayu secara terbuka. Orang Melayu termasuk penyokong 'totok' Pas sendiri dipercayai masih dahagakan kempen-kempen atau ceramah yang mengangkat martabat Islam/Melayu. Jika dasar Melayu terus kuat, Pas di Sungai Limau diyakini boleh tumbang.

Hakikatnya juga, kekuatan Pas bergantung kepada nama arwah Azizan yang banyak digunakan semasa kempen pilihan raya kecil itu. Ini termasuk menggambarkan Mohd. Azam sebagai anak didik Azizan dan mempunyai hubungan saudara dengan bekas Menteri Besar Kedah itu.

Malah parti itu juga didakwa menggunakan gambar "superimpose" Mohd. Azam bersama Azizan dalam risalah kempen parti itu yang sebenarnya gambar wartawan kanan akhbar Sinar Harian yang berkunjung ke pejabat Azizan pada 2011.

Kemenangan Pas ini sedikit sebanyak mengubati kedukaan parti itu yang kehilangan penguasaan ke atas Kedah pada PRU-13. Kemenangan ini mengekalkan status quo kedudukan kerusi DUN Kedah kerana Pas masih kekal dengan 15 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, dengan BN menguasai 21 kerusi.

Mukhriz sebelum ini mengakui bahawa BN adalah 'underdog' tetapi BN tetap mahu bertanding pada PRK Sungai Limau kerana mahu membuat tawaran kepada penduduk di situ tentang apa yang boleh dilakukan BN terutama soal pembangunan.

Walaupun tewas, penduduk di DUN Sungai Limau tetap mendapat banyak manfaat daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri - satu bukti kerajaan BN tidak meminggirkan kawasan-kawasan yang dikuasai parti pembangkang.

Ada beranggapan kebanyakan pengundi masih kekal dengan Pas bukan kerana terlalu yakin dengan Mohd. Azam tetapi sebagai "check and balance" untuk kerajaan Kedah yang dikuasai oleh BN.

Jika dilihat trend sokongan pengundi kepada Mukhriz ketika berkempen, penduduk di DUN Sungai Limau sebenarnya dilihat semakin yakin dengan Mukhriz dan kerajaan negeri.

Malah, calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi berlatarbelakangkan akademik, jadi imam surau di kampungnya, tidak sombong, mesra alam dan tidak ada protokol. Semangat penyokong BN juga cukup tinggi. Tidak berkira-kira atau bergantung pada upah. Inilah boleh disaksikan dalam kempen yang berlangsung selama 12 hari. Semua sudah terasa kepentingan UMNO itu disokong betapa kritikal akan kedudukan Melayu.

Jika semasa kempen PRU-13, calon atau peraih undi BN yang datang di Sungai Limau dibuat endah tak endah, tetapi kali ini penduduk membuka pintu rumah seluas-luasnya. Kebergantungan kepada UMNO begitu menyerlah.

Kesediaan Mukhriz tidur di rumah pengundi pada 30 Oktober malam di rumah Bahari Awang di Kampung Permatang Buluh menunjukkan kesungguhan beliau untuk mendekati rakyat, merasai denyut nadi rakyat serta kesusahan dan kepayahan rakyat.

Cuma di sebalik itu, memang kelihatannya orang Cina mengundi BN, namun ada yang meminta 'perlu diperkukuhkan' bacaan itu. Ini kerana dikatakan kempen oleh MCA/Gerakan seperti 'melepaskan batuk di tangga' sahaja. Walaupun pemimpin MCA turun padang pada 1 November lalu namun tiada sambutan hangat diterima seperti mana berlaku di Kabu Sepuloh, Dulang dan Simpang Tiga. Ini berbeza apabila pemimpin-pemimpin DAP turun. Walaupun DUN Sungai Limau dilihat bagaikan jauh dari capaian 'hasutan' DAP namun masyarakat Cina tetap mempunyai cara mereka untuk bersatu dalam membuat keputusan.

Barang diingat, meskipun kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi penambahbaikan sekolah di SJKC di DUN berkenaan, namun hanya kira-kira 180 atau 10 peratus daripada 1,827 pengundi Cina yang mengundi BN pada PRU lalu. Dalam PRK Sungai Limau ini, nampaknya ada sedikit peningkatan sokongan Cina kepada BN.

Dan sesuatu yang perlu diakui di Sungai Limau, jentera Wanita parti yang diterajui Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Puteri perlu diberi kredit yang tinggi. Jentera kedua-dua sayap ini sudah terpacul sejak subuh lagi, sanggup berhujan, berpanas sehingga meredah kepekatan malam menemui pengundi.

Tahniah dan syabas kepada SPR khususnya Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang menjadikan perjalanan PRK ini dengan lancar dan teratur sekali.

Juga, kepada pasukan keselamatan, PDRM yang dipimpin oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz, penghargaan patut diberi kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turun di Sungai Limau bagi membantu dan menyuntik semangat kempen kepada jentera BN.

Tidak mustahil BN boleh kembali menguasai DUN Sungai Limau pada PRU-14 nanti. Dalam hal ini, BN kena pastikan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) memulakan kerja dari sekarang dan memberi khidmat sebaik-baiknya kepada pengundi.

Kalau sesuai, calon sedia ada boleh dikekalkan di Sungai Limau nanti, sesuai dengan keperibadiannya yang tidak sombong, rendah diri dan orang surau. Di Sungai Limau, Pas tidak menang sepenuhnya dan BN tidak kalah semuanya.


GR kata: Orang lain dah mula kerja, jangan menangis lagi sudah la yer!!

No comments:

Artikel pelbagai