Saturday, September 29, 2012

Kerja Gila!! Offer Duit Untuk Kahwin Dengan Anak Sendiri...!!!

HONG KONG - Apabila taikun hartanah Hong Kong, Cecil Chao menawarkan hampir RM200 juta (AS$65 juta) kepada sesiapa yang sanggup berkahwin dengan anak perempuannya, seorang lesbian, ramai menyifatkannya satu cadangan tidak patut.

Tawaran itu mendapat sambutan luar biasa dari seluruh dunia.Laporan media Hong Kong menyebut lebih 100 orang telah menawarkan diri untuk menjadi pasangan anak perempuannya, Gigi, 33, dengan membanjiri pejabat beliau sejak pengumuman itu dibuat Rabu lalu. Malah beribu-ribu menawarkan diri menerusi surat, e-mel dan faks. Gigi telah pun berkahwin dengan seorang wanita.

Bapanya mahu menyelamatkan anaknya atas alasan perkahwinan sejenis tidak sesuai dengan norma dan status masyarakat. Antara mereka yang menawarkan diri termasuklah veteran perang dari Amerika Syarikat (AS), Istanbul, Amerika Selatan dan Portugal, kata Gigi.

Seorang warganegara Perancis menulis: "Saya fikir saya boleh menjadikan wanita ini gembira. Saya selembut seorang wanita".

Seorang rakyat AS pula menulis, "saya berminat dengan tawaran untuk berkahwin dengan anak perempuan anda. Saya seorang lelaki, juga seorang gay." - SH

GR kata: Camner dengan sorang tu yang semua dia TIBAI...aper cer???

Published with Blogger-droid v2.0.9

Cayalah Orang Bujang Pun Dapat #BR1M

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) buat kali kedua dengan kriteria penerima diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas, berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Perdana Menteri berkata, pemberian sebanyak RM250 menerusi bantuan dikenali BR1M 2.0 itu mula dibayar awal tahun depan.

Kriteria penerima masih sama iaitu ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Menurut beliau, bantuan itu akan memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

"Penerima BR1M tidak perlu lagi mendaftar untuk kali kedua, manakala pemohon baru pula perlu mendaftar mulai November 2012 secara dalam talian atau kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara," katanya pada pembentangan Bajet 2013 di Parlimen hari ini.

BR1M 2.0 merupakan susulan kepada BR1M tahun ini yang menyaksikan kerajaan Persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah yang dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah, membabitkan peruntukan hampir RM2.16 bilion.

Dalam pada itu Najib berkata, bagi mengurangkan kos penghantaran dan pengagihan lebih tinggi yang mengakibatkan harga keperluan di Sabah, Sarawak dan Labuan lebih mahal, kerajaan memperuntukkan RM386 juta untuk membuka 57 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Tambahnya, kerajaan juga akan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.

"Sebagai contoh di Ba'kelalan, Sarawak, gas memasak 14 kilogram setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak itu boleh dibeli hanya dengan harga RM26.60 setong," katanya.

Menurut beliau, sebagai tambahan bagi meringankan beban rakyat berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus.

Diskaun sama turut diberikan ke atas tambang feri bagi kenderaan komersial yang mengangkut barangan keperluan asas dan binaan ke Labuan.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Friday, September 28, 2012

Luahan Hati Tun M Rakyat Perlu Hayati..!!!


Saya sedih. bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya, perasaan apabila melihat kaum saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah di pengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.

Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang di alami oleh orang Melayu semasa di jajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa kita.

Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat menyelami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit mengenai orang Melayu semasa dijajah.

Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih secara terbuka menyatakan bahawa orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbangkan apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak menjadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah oraang Melayu malas dan tidak cekap.

Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu dihadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapatkan buah bagi askar Jepun.

Jika gagal mereka ditempelang dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun. Tanpa bertanyakan sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu bagi membalas budi Siam.

Di bawah pemerintahan siam, orang Melayu diarahkan supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang dikepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah kami. Jangan sesiapa tolong.

Kemudian British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika mereka tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.

Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu. Ia akan menjadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.

Dalam keadaan orang Melayu yang begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengatahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tak punya negara, tidak bertanahair. tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat diantara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetian kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah bagi berkenaan penolakan malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri atau dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.

Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.

Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.

Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.

Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.

Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.

Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri. - Anak Jati Malaya


#Bajet2013: Temubual Eksklusif Pandangan Pemimpin - @Zahid_Hamidi


Sedang GR melayari internet pagi-pagi buta nie, terjumpa pula suatu yang baru. GR ingin kongsikan bersama pembaca semua. Kita semua tahu beberapa jam saja lagi, kita semua rakyat Malaysia bersedia untuk mendengar Bajet 2013 yang akan dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri DS Najib Razak.

Rata-rata rakyat Malaysia berharap Bajet 2013 pada kali ini lebih baik dari tahun yang lepas dan akan membuatkan rakyat tersenyum gembira. Inilah yang dikatakan Bajet untuk rakyat. Bukan janji yang diberikan malah janji tersebut ditunaikan.

Dengar temuramah mengenai Bajet 2013 di http://undipru13.blogspot.com/2012/09/temuramah-ekslusif-yb-ds-dr-ahmad-zahid.html


Pembentangan Bajet Esok Pasti Rakyat Tersenyum Lagi! @NajibRazak #Bajet2013


PUTRAJAYA: Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok dijangka menyaksikan penerusan dasar afirmatif yang beliau telah perkenalkan sejak tiga tahun lepas untuk terus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia, demikian menurut para pegawai yang arif mengenainya.

Bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangan sosial yang mampan selain daripada mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemat, belanjawan itu akan lebih kepada "pengembangan sedikit tetapi lebih berhemat", kata mereka.

Perbelanjaan kerajaan persekutuan pada 2012 dianggarkan bernilai RM229 bilion dan ini bermakna yang perbelanjaan tahun depan akan tinggi sedikit bagi menampung pelbagai program menyeluruh yang bertujuan mengukuhkan kesejahteraan rakyat dalam beberapa bidang.

Ini termasuklah rumah mampu milik, pengangkutan awam yang lebih baik, keselamatan awam, kemudahan pendidikan dan latihan, peluang perniagaan dan pelaburan yang lebih meluas.

Para pegawai itu menegaskan yang sementara sesetengah pihak lebih cenderung melabelkan Belanjawan 2013 sebagai "belanjawan pilihan raya" berikutan programnya yang lebih berpusat kepada rakyat dan masa/tempoh untuk pilihan raya umum dijangka antara sekarang dan bulan Jun tahun depan, seseorang itu tidak seharusnya lupa yang memperbaiki kehidupan rakyat telah menjadi seruan lantang Najib sejak ia memegang jawatan itu pada April 2009.

Belanjawan itu, tegas mereka, adalah seiring dengan prinsip "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang akan mengambil kira aspirasi rakyat untuk kehidupan yang lebih baik dan bersandarkan kepada asas-asas ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Dalam Belanjawan 2012 yang diumumkan tahun lepas, Najib, yang juga Menteri Kewangan memilih tema "Dasar Transformasi Nasional: Membela Rakyat dan Menyejahterakan Negara."

Dalam kata lain, falsafah Belanjawan 2013 melangkaui pilihan raya umum.

Sebaliknya, ia bersedia ke arah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat seperti meringankan kos kehidupan, memperbaiki penjagaan kesihatan, memajukan modal insan dan mengembangkan infrastruktur asas di kawasan-kawasan kurang membangun, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, para pegawai itu berkata, Najib, sebagai "game-changer" dalam transformasi politik dan ekonomi negara, akan memastikan yang Belanjawan 2013 akan menangani kebimbangan para pembayar cukai kelas pertengahan bandar, yang pendapatan bulan antara RM5,000 dan RM10,000.

Sudah banyak didebatkan yang belanjawan-belanjawan negara sebelum ini lebih terpencong ke arah kemiskinan luar bandar sementara penduduk bandar kelas pertengahan kerap kali diketepikan.

Kita letak itu ketepi, kesejahteraan komuniti/masyarakat secara keseluruhannya penduduk luar bandar, wanita, belia, kakitangan awam dan perniagaan akan turut diberi perhatian bagi menggerakkan negara ke hadapan serta menyediakan penampan terhadap sebarang situasi luaran yang tidak menentu terutamanya pergolakan yang tercetus dari Eropah, tahun depan.

Ini bermakna kesinambungan dasar perlu bagi merancakkan lagi ekonomi domestik, yang telah menyaksikan pertumbuhan yang agak menggalakkan tahun ini, terutamanya dalam sektor-sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

Pelaksanaan beberapa Projek Permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) turut memberikan banyak rangsangan kepada ekonomi tempatan.

Ini terutamanya jelas dilihat dengan kerancakan pelaburan sektor persendirian selain daripada pengembangan pasaran modal tempatan menerusi kejayaan tawaran awam permulaan (IPO) berprofil tinggi seperti Felda Global Ventures Holdings Bhd dan IHH Healthcare Bhd, permodalan pasaran Bursa Malaysia yang lebih baik dan meningkatnya tarikan kewangan Islam dalam pasaran kewangan global.Berikutan kejayaan pasaran modal tempatan dan peranan penting Malaysia dalam penerbitan bon-bon sukuk, kerajaan dijangka memperhebatkan lagi insentif untuk pasaran modal sebagai pemboleh kepada pertumbuhan ekonomi.

Mengenai isu pengurusan kewangan berhemat, para pegawai itu berkata yang kerajaan akan kekal komited untuk terus menurunkan defisit fiskal kepada sekitar 4.0 peratus pada 2013 daripada 4.5 peratus pada 2012 dan 3.0 peratus menjelang 2015.

Ditanya bagaimana ia akan dilaksanakan walaupun belanjawan itu merupakan "belanjawan dengan pengembangan yang sedikit", mereka menjelaskan yang ia akan dilakukan menerusi pengurusan kewangan yang lebih baik, termasuk mengurangkan pembaziran dan menyalurkan subsidi kepada kumpulan-kumpulan sasaran yang betul dan sesuai.

Mereka berkata mengurangkan defisit tidak akan menjadi masalah selagi ekonomi tempatan berkembang maju dan kekal berdaya tahan terhadap sebarang situasi tidak menentu persekitaran luaran.

Ditanya sama ada persoalan mengenai duti eksais yang rendah untuk kenderaan bermotor akan ditangani dalam Belanjawan 2013, mereka berkata yang ucapan Najib seharusnya menjuruskan kepada menyemak semula industri automobil negara, di manamata pencarian lebih daripada 500,000 rakyat yang dikaitkan dengan industri ini berhadapan risiko selain daripada meneliti kebangkitan semula syarikat-syarikat kereta nasional. - BERNAMA


GR kata: Bajet untuk rakyat bukan gula-gula pilihanraya!!

Artikel pelbagai