Showing posts with label GTP ETP. Show all posts
Showing posts with label GTP ETP. Show all posts

Tuesday, April 3, 2012

GTP & ETP HANYA UNTUK RAKYAT MALAYSIA - @NajibRazak


Jom kita baca pembentangan Laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi tahun 2011 :

Rakyat Malaysia sekalian,

1. Ceritera kejayaan Malaysia merupakan ceritera yang telah di tinta emas. Ia telah dilakar oleh sumbangan semua rakyat Malaysia dari Negeri Perlis hinggalah ke Sabah. Hakikatnya, ia hasil sumbangan warga tiga belas buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang walaupun dipisahkan secara fizikalnya oleh Laut Cina Selatan, namun disatukan roh dan semangatnya oleh kehendak untuk hari ini yang lebih baik daripada hari semalam dan hari esok yang penuh dengan harapan di bawah lembayung kibaran jalur gemilang.

2. Kejayaan ini hasil sumbangan usahawan kecil, sederhana dan besar yang berani mengambil risiko, ia hasil sumbangan petani, pesawah, pekebun, peladang, penternak dan nelayan yang gigih menggunakan kudrat, ia hasil sumbangan para guru, pensyarah, wartawan, karyawan dan cendekiawan yang mendidik serta memberi kesedaran, ia hasil pengorbanan anggota tentera dan polis yang setia mempertaruhkan jiwa dan raga demi keselamatan negara tercinta, ia hasil sumbangan penjawat awam, pekerja swasta, pekerja kolar putih, biru dan buruh yang merupakan roda yang menggerakkan pembangunan negara, pendek kata kejayaan nasional adalah kejayaan yang dibina semua warga Malaysia.

3. Tugas kita hari ini sebagai generasi baru Malaysia yang mewarisi watan daripada generasi terdahulu teramat berat, kita dipanggil semboyan pertiwi bagi meneruskan tugas mulia membina negara bangsa Malaysia. Kita berdiri di atas bahu para patriot negara, bahu-bahu gergasi para bapa pengasas Malaysia. Kita berhadapan dengan amanah dan cabaran bagaimana membina di atas kejayaan sedia ada di samping meneruskan proses perubahan dan pembaharuan nasional.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Tiga tahun lalu, saya berdiri di hadapan tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari bagi menyampaikan ucapan sulung saya selaku Perdana Menteri Malaysia ke-6.

5. Di dalam ucapan sulung tersebut, saya telah menggariskan prinsip yang akan memandu hala tuju kerajaan pimpinan saya dalam bergerak ke hadapan, prinsip yang dimaksudkan ialah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

6. Falsafah asas yang telah saya dan rakan-rakan pilih menjadi teras kerajaan ini, ialah falsafah yang merai dan menuil kemajmukan Masyarakat Malaysia yang sedia ada. Ia menjunjung harapan mereka untuk membentuk masa hadapan yang lebih baik. Falsafah ini terbentuk hasil daripada proses merasai denyut nadi rakyat, menggarap aspirasi serta mendengar keluh kesah mereka.

7. Ia dibentuk bagi menangani tiga cabaran utama era globalisasi dan era dunia tanpa sempadan, iaitu pertama, dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk Malaysia. Kedua, bagi membentuk sistem penyampaian kerajaan yang lebih mendakap aspirasi rakyat dan ketiga, mengeluarkan Malaysia dari perangkap gejala negara berpendapatan sederhana yang telah melanda banyak negara-negara lain di dunia, di mana kadar pertumbuhan semakin perlahan dan pembangunan menjadi statik malahan dalam kes yang ekstrem ia mula menjadi regresif.
Rakyat Malaysia yang dihormati

8. Sebarang perubahan dan pembaharuan yang ingin kita bawa, wajib berasaskan premis bahawa sebagai negara yang majmuk survival kita bergantung kepada keberterusan keutuhan perpaduan nasional yang didasarkan kepada keyakinan bahawa kepelbagaian yang kita miliki merupakan sumber kekuatan bukannya kelemahan.

9. Kita perlu memanfaatkan bakat yang terbaik dari kolam bakat kebangsaan bagi membangunkan negara serta menambah kekayaan nasional tanpa mengira ras dan kepercayaan penyumbang tersebut. Perkiraan pertama dan terakhir seharusnya adakah mereka warganegara yang mampu menyumbang. Sepanjang lipatan sejarah pembangunan negara Malaysia, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, ia telah menyaksikan sumbangan mereka yang datang dari semua kaum dan semua kepercayaan.

Artikel pelbagai