Tuesday, November 29, 2011
MARTABATKAN BAHASA MELAYU!!
Ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa adalah sesuatu yang keramat bagi yang memahami kepentingan bahasa membangunkan citra berfikir pengucapnya. Bahasa tidak saja sebagai alat komunikasi yang sifatnya mekanistik dan arbitrari, tapi ia terkandung pemikiran yang memberi pedoman kepada manusia tentang buruk-baik akan sesuatu atau manfaat-musibatnya terhadap sesuatu.
Oleh itu Bahasa Melayu yang ingin dimartabatkan kembali adalah bahasa yang terkandung dalam dirinya sistem nilai, kualiti ilmu dan etika. Memartabatkannya dalam sistem pendidikan bermakna memartabatkan ciri-ciri berfikir yang beretika dan upaya pengucapan yang serasi dengan fitrah. Apabila Bahasa Melayu melalui proses keMalaysiaan ia berkembang dalam lingkungan masyarakat majmuk yang pada hakikatnya amat mengutamakan kepentingan nilai dan etika. Lalu pengucapan masyarakat penggunanya menjadi lebih tertib kerana bahasa itu adalah cerminan bangsa Malaysia itu sendiri.
Seperti halnya pengucap Bahasa Inggeris, tidak saja etos atau budaya, yang ingin disemai ialah, menjadikan pengucapnya berjiwa Englishmen tapi dalam masa sama, terkandung norma-norma Barat yang akhirnya menyebabkan kecenderungan menjadikan Barat segala-gala. Sesetengah orang kita apabila mengungkap sesuatu dalam Bahasa Inggeris terasa dirinya moden, dipandang tinggi dan kebaratan sementara berucap dalam bahasa ibunda terasa tidak moden, tidak internasional, kerdil dan sengkek.
Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa (MBMMBI) adalah langkah bijaksana meletakkan kedua-dua bahasa itu pada tempat yang wajar. Perlembagaan Malaysia Perkara 152 mengkanunkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Akta Pendidikan 1996 mensyaratkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan kita. Ia harus diterima seluruh warga merdeka.
Terbukti sejak usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem, baik di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi awam ribuan pelajar kita berjaya dengan cemerlang dan sebahagiannya mampu membuat bidang kepakaran dan perlanjutan pengajian hingga ke tahap yang tertinggi dalam Bahasa Inggeris. Kalau dengan Bahasa Melayu para pelajar kita boleh berjaya dengan cemerlang atas alasan apa subjek Matematik dan Sains perlu diajar dalam Bahasa Inggeris..??
p/s: Bangga Menjadi Anak Melayu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment