Friday, December 30, 2011

UCAPAN TERIMA KASIH YAB PM KEPADA RAKYAT MALAYSIA


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap tahun 2011, sebagai jalan meneroka penggunaan media sosial bagi merapatkan hubungannya dengan rakyat.

Penerokaan itu dimulakan pada awal tahun, apabila buat pertama kalinya, Najib menjemput orang ramai bertanya soalan melalui laman Twitter dan Facebook.

“Saya tidak menjangka menerima respons hebat, tetapi saya berjaya menjawab soalan diajukan, termasuklah yang pelik-pelik,” katanya ketika menyoroti peristiwa sepanjang 2011 pada entri terbaru bertajuk ‘Imbasan 2011’ dalam blog 1Malaysia, semalam.

Perdana Menteri berkata, pada bulan berikutnya, beliau mempelawa 600 rakan dalam talian minum bersama di Seri Perdana dalam program ‘Mari Berjumpa, Mari Berhubung’.

Sikapnya yang berani meneroka cara baru itu menyebabkan beliau menerima banyak undangan secara dalam talian untuk berhubung dengan golongan belia.

“Tidak lama selepas itu, saya dijemput melakukan Gotcha di radio oleh krew pagi Hitz.fm dan membuat penampilan pada rancangan pagi di Radio Era, Mix.fm dan Hot.fm,” katanya.

Berdasarkan pengalaman siber dikutipnya, Najib berkata, beliau memperkenalkan Meja Bulat 1Malaysia iaitu platform interaktif untuk rakyat Malaysia memberikan komen atau idea untuk memperbaiki kehidupan pada Jun.

Najib sendiri mengambil bahagian membincangkan topik berhubung belanjawan untuk pertumbuhan mampan.

Pada tahun ini juga, Najib turut memperkenalkan barangan rasmi 1Malaysia yang banyak diedarkan melalui kempen Barangan Rasmi 1Malaysia.

Kempen itu turut menjemput rakyat Malaysia menghantar foto Jalur Gemilang yang kemudian dimuatkan ke dalam Album 1Malaysia Jalur Gemilang di laman Flickr milik Perdana Menteri.

“2011 adalah tahun sungguh berwarna-warni bagi saya dan saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan anda,” katanya.


GR kata: Sokonglah usaha suci murni Kerajaan yang membela nasib rakyat Malaysia...

No comments:

Artikel pelbagai