Sunday, September 16, 2012

Tak Puas Hati Bawa Bincang, Jangan Sabotaj Parti - @Zahid_Hamidi

ROMPIN - Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hampir semua masalah dalaman yang dihadapi Umno di kesemua 222 kawasan Parlimen berjaya diselesaikan. Beliau berkata kejayaan itu dicapai hasil kerjasama semua pucuk pimpinan parti yang diketuai Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun padang bagi menyelesaikan masalah dalaman itu.   

Mengambil contoh di Perak, beliau berkata kekalahan semasa pilihan raya umum ke-12 pada 2008 adalah disebabkan masalah dalaman yang berlaku di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri.   

"Sekarang hanya tinggal 10 peratus sahaja kawasan yang masih ada masalah dalaman...jangan nanti bila calon dah ditentukan oleh pemimpin, ada rasa tidak puas hati dan akan menimbulkan masalah baru pula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Rompin di sini hari ini.   

Dalam pada itu beliau menasihati anggota parti agar tidak berasa selesa dengan kedudukan Umno sekarang dan hanya melayan masalah dalaman sehingga mengabaikan akar umbi jika mahu menang pada pilihan raya umum ke-13 kelak.   

"Jika ada perkara yang tidak puas hati perlu berbincang, perpaduan dalam parti adalah penting bagi memastikan kita dapat semula majoriti dua pertiga dan tawan kembali negeri yang jatuh ke tangan pembangkang," katanya.   

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata kampus tetap Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) akan dibina di kawasan antara Rompin-Pekan, bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut. - Bernama

Published with Blogger-droid v2.0.9

No comments:

Artikel pelbagai