Sunday, April 8, 2012

RM 211 JUTA UNTUK KEMBANGKAN SYIAR ISLAM - @NajibRazak


Datuk Seri Najib Tun Razak mahu golongan agama komited dalam agenda transformasi dan membantu kerajaan mencatat sejarah sebagai negara Islam pertama di dunia yang mencapai status negara maju.

Perdana Menteri berkata, beliau amat menaruh harapan agar semangat kuat yang ada dalam diri para golongan agama dapat membantu kerajaan merealisasikan hasrat tersebut.

''Saya ada satu impian, saya nak macam mana sekali pun Malaysia ini negara Islam, biarlah kita catat sejarah sebagai sebuah negara Islam pertama di dunia mencapai status negara maju.

''Dan bila kita capai tahap negara maju, guru agama pun maju, tentulah elaun RM750 takkan takat RM750, tentulah bertambah, maka elaun akan naik lagi insya-Allah. Sebab itulah dalam tiga tahun ini kita sudah tadbir dengan baik dan hasil pentadbiran yang baik mestilah dipulangkan balik kepada mereka termasuk golongan agama," katanya.

Beliau berucap pada Perhimpunan Perdana Warga Agama/Qaryah Wilayah Persekutuan bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Menurut Perdana Menteri, gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan tidak lari daripada landasan Islam kerana salah satu sendi utamanya ialah konsep wasatiyah dengan nilai kesederhanaannya.

''Kesederhanaan wasatiyah itu bukan bermaksud lebih kurang atau sambil lewa tetapi melakukan yang terbaik, pengimbangan dari segi spiritual dan material, pengimbangan dari segi wahyu dan syurah serta pengimbangan dari segi hubungan Allah dan manusia, inilah konsep wasatiyah yang kita bawa," katanya.

Najib menegaskan, kerajaan telah berjaya menterjemahkan agenda meningkatkan martabat Islam dalam pelbagai bentuk seperti mewujudkan peruntukan perundangan tertentu untuk menjaga soal akidah agar tidak ada sesiapa boleh memperkotak-katikkan akidah umat Islam sewenang-wenangnya.

Ini kerana, katanya, negara mempunyai undang-undang khusus apabila tidak ada sesiapa boleh mempersendakan istilah-istilah Islam kerana ada undang-undang mempertahankan perbuatan seperti itu.

Pada majlis tersebut beliau mengumumkan peruntukan RM211,658 juta sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda Islam terus diperkasakan dan dimartabatkan di Wilayah Persekutuan.

Bagi tujuan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memperuntukkan sebanyak RM157 juta bagi membina 14 buah buah masjid, surau Jumaat, surau baru dan lapan buah Sekolah Rendah Agama (SRA) baru bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.

Sebanyak RM20 juta pula disediakan untuk penambahbaikan masjid, surau dan SRA; RM19.8 juta bagi membela golongan asnaf mualaf dengan membina Kompleks Darul Hidayah di Sentul dan RM5.235 juta untuk tujuan penambahbaikan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan.

Katanya, dalam memastikan bidang pendidikan agama terus dipertingkatkan, RM3.783 juta diperuntukkan untuk elaun guru KAFA dan guru SRA Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sementara RM2.07 juta bagi program mengimarahkan masjid, surau Jumaat dan surau.

Menurut Perdana Menteri, bagi menghargai komitmen pentadbir masjid dan surau, sebanyak RM1.88 juta akan diberikan sebagai bayaran imbuhan imam ratib, pembantu bilal dan pembantu noja masjid dan surau Jumaat bagi tahun ini. Sementara itu, RM1.06 juta turut diperuntukkan bagi keceriaan kawasan surau dan masjid manakala RM821,100 sebagai bayaran saguhati ahli jawatankuasa masjid dan surau. - Utusan


GR kata: Terima kasih PM bantuan kepada golongan ulama' dan cendiakawan Islam.

No comments:

Artikel pelbagai