Wednesday, November 30, 2011

TAHNIAH PUTERI UMNO MALAYSIA!! PUTERI SEDIA BERJUANG!!!


‘Isyarat telah berbunyi, Gendang sudah dipalu’

TAHNIAH Pergerakan Puteri UMNO Malaysia kerana persidangan pada kali ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Tahniah diucapkan juga kepada Ketua Puteri UMNO Malaysia YB. Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin dengan ucapan dasar selama 2 jam yang penuh semangat dan amanat yang berguna kepada semua perwakilan dan jentera Puteri UMNO Malaysia.

Kepada perwakilan yang berbahas juga semuanya bersemangat dan hebat seperti 'Harimau Muda' versi puteri dengan usul-usul yang mereka bawakan sungguh bernas... Semoga apa yang dilafazkan bermula dari ucapan dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia sehinggalah kepada perwakilan dapat dilaksanakan dan mendapat respon yang baik daripada perwakilan yang hadir.


Puteri menyatakan sudah bersedia berjuang habis-habisan dalam PRU akan datang...Ingat AMANAT penting daripada Ketua Puteri UMNO Malaysia?? Jika amanat serta 5 perkara penting yang disampaikan Ketua Puteri tadi jelas, GR yakin dan pasti sayap Pergerakan Puteri UMNO akan bangkit dan berjuang habis-habisan dalam membantu BN pada PRU akan datang.

Antara ucapan dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia tadi:
# Kalau masih ada yang mahu dikipas dan mengipas, yang dengki dan iri hati, yang dendam tak bertepi, yang cemburu membuta tuli, sama-sama kita bilang pada mereka, UMNO bukan parti mereka. Perjuangan UMNO suci, yang kotor hanya tangan-tangan mereka. Perjuangan UMNO bersih, yang tercemar hanya politik murahan mereka. Tiada lagi gunting dalam lipatan, tiada lagi musuh dalam selimut, tiada lagi lidah bercabang dua dan tiada lagi kepalanya ular, ekornya belut kerana kita bukan Pakatan Rakyat, satu bahtera tiga nakhoda.

# Sudah-sudahlah kita menjadi seperti Mahsuri, bila difitnah dia mengalah dan duduk mengharap simpati menyebelah. Cukup-cukuplah kita bersimpati dengan watak Si Bawang Putih. Apabila difitnah, dicaci, dihina hanya tunduk dan mengiyakan maruahnya dipijak-pijak. Hari ini, semangat Puteri harus mengalir sepekat darah Tun Fatimah. Yang bangun berjuang kerana prinsip, tajam lidah bersuara kerana kebenaran dan keberanian menongkah arus kerana percaya kalau bukan dia yang pertahankan Melaka, habis itu siapa?

# Bukan lagi soal umur, soal jawatan, soal pangkat, tetapi ia soal tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap generasi muda. Soal bagaimana harus kita bangun dan berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Justeru, Pergerakan Puteri harus menjadi tulang belakang utama dalam menggerakkan perubahan cara fikir dan bertindak generasi muda. Berfikir, bertindak dan beraksi selari dengan aspirasi yang dimahukan oleh generasi muda.

# Kita akan buktikan, kita bukan sahaja sudah bergigi, bahkan kita sudah bertaring tajam untuk membaham lawan seperti Harimau Muda membaham sayap Garuda. Pastinya kita sudah mampu mengaum, menyusup rasa ngeri dan gerun pihak lawan, membangkit rasa kagum pada kawan.

# Kita tidak akan gerun walau diancam segenap penjuru. Semalam, kita pernah sakit dilontar batu. Hari ini kita yang ramai menjadi kuat, menjadi satu. Kerana itulah hari esok, kita tak pernah takut walau berdepan hujan peluru. Puteri tidak lut dengan sebarang ancaman. Puteri sudah kebal daripada sebarang serangan. Puteri sudah diasap dengan semangat dan diseru dengan azimat.
Diakhir penggulungan Ketua Puteri ditutup dengan doa yang sangat menusuk kalbu... Itulah suara Puteri yang perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti...

p/s: Bersatu . Bersetia . Berkhidmat

No comments:

Artikel pelbagai