Saturday, June 15, 2013

Malaysia - Indonesia Bakal Kerjasama Banteras Jenayah Siber @Zahid_Hamidi @NajibRazak


Malaysia mencadangkan kerjasama baru dalam bidang keselamatan siber dengan negara jiran Indonesia dalam usaha memerangi jenayah berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Republik Indonesia (POLRI) itu merupakan satu cabaran baru dalam bidang keselamatan.

Kerjasama menangani isu keselamatan siber yang turut berkait rapat dengan jenayah komersil seperti penggubahan wang haram, pecah amanah dan pengelakan cukai, tegas Ahmad Zahid, memerlukan kerjasama erat pihak berkuasa kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, PDRM dan POLRI akan terus meningkatkan kerjasama mengurangkan kadar jenayah seperti mana yang dicapai dalam pertemuan beliau dengan Ketua Polis Indonesia, Jeneral Timor Pradopo di sini semalam.

"Saya ingin memaklumkan bahawa PDRM dan POLRI mempunyai hubungan kerjasama yang baik dan erat terutama di peringkat operasi.

"Bagaimanapun, hubungan kerjasama ini perlu ditingkatkan lagi dalam menghadapi cabaran jenayah alaf baru," kata beliau kepada wartawan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Purnomo Yusgiantoro di Kementerian Pertahanan negara berkenaan.

Ahmad Zahid berada di sini untuk lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak dilantik menerajui Kementerian Dalam Negeri pada 16 Mei lalu.

Selain bertemu dengan Purnomo yang juga rakan karib beliau dan Timor, Ahmad Zahid juga mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya, Gamawan Fauzi.

Dalam kerjasama menangani masalah jenayah juga, beliau berkata, POLRI diminta untuk berkongsi pangkalan data Tenaga Kerja Indonesia (TKI) kepada PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia.
"Perkongsian pangkalan data ini akan memudahkan semakan biodata bakal-bakal TKI yang datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan," tegas beliau lagi.

Menyedari kepentingan hubungan antara Malaysia dan Indonesia membendung masalah dadah pula, Ahmad Zahid turut menegaskan, pihak berkuasa kedua-dua negara juga tidak boleh terlepas pandang dalam kerjasama tersebut.

"Malaysia yang menghadapi masalah sebagai pusat transit penyeludupan dadah dari Iran khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berkongsi maklumat dengan POLRI bagi membanteras penyeludupan dadah di rantau ini," kata beliau lagi.

Kerjasama Malaysia dan Indonesia juga, kata Menteri Dalam Negeri itu, sangat signifikan dalam menangani kewujudan jenayah bentuk baru seperti jenayah rentas sempadan yang semakin sofistikated.

Berikutan itu, beliau berkata, pencegahan dan pengesanan awal yang berkesan terhadap usaha memerangi jenayah berkenaan amat diperlukan bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara. - UTUSAN


GR kata: Macai-macai Bang Non makin pening kepala laaa...

No comments:

Artikel pelbagai