Friday, November 30, 2012

RAKYAT JANGAN GADAIKAN MARUAH AGAMA, BANGSA DAN NEGARA! #PAU2012


Bahang Pilihanraya Umum 13 semakin hampir, inilah masanya rakyat menilai dengan penuh teliti dan berfikir secara matang mahu kekalkan pemerintahan yang sedia ada untuk pembangunan lebih baik atau mahu menukar pucuk pemerintahan yang baru. Adakah dengan perubahan yang baru kita dapat hidup dalam keadaan aman dan makmur seperti sekarang??

Rakyat harus sedar PRU 13 ini adalah penentu dan masa depan negara ke arah yang lebih baik atau sebaliknya. Rakyat seharusnya jangan merosakkan imej negara demi kepentingan peribadi sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Tidak bersyukurkah kita dengan kehidupan yang kita kecapi sejak dari Malaysia merdeka? Pelbagai usaha dan pengorbanan telah dibuat oleh pemimpin terdahulu demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang lebih baik.

Rakyat juga jangan terpedaya dengan anasir-anasir luar yang hanya mempunyai kepentingan peribadi. Bukan dengan hanya OMONG KOSONG saja mereka itu boleh buat apa saja. Tapi perlaksanaan itu yang penting, adakah kita nampak di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Pembangkang selama mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka. Fikirkanlah demi masa depan negara dan anak cucu cicit kita...


Baca lagi di bawah :

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan satu pilihan raya biasa kerana akan menjadi titik penentu kepada destini rakyat yang mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok.

Menegaskan perkara itu dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO hari ini, Perdana Menteri berkata, kerana itu sebarang uji kaji untuk menukar kerajaan tanpa dibuat penilaian yang betul, teliti dan kritikal ibarat mengamanahkan ‘tikus membaiki labu’ atau mempercayai ‘serigala menjaga biri-biri’.

Beliau turut menarik perhatian mengenai pendapat yang mengatakan tidak ada salah memberi peluang kepada pembangkang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat. Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji.

“Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita.

“Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis," kata beliau dalam ucapan lebih sejam bertemakan Kepemimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan bahawa kejayaan calon dalam pilihan raya kontemporari itu akan bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu.

“Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi.

“Lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani kerana merekalah sebetulnya para pengundi," kata beliau.

Justeru, kata Najib, beliau selaku Presiden UMNO bersama Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh saf kepimpinan parti berikrar untuk terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, memartabat rumpun Melayu, menjadi benteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.

Kata beliau: “Walau apa pun rintangan yang melanda, biar apa pun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.

“Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia." - Utusan


GR kata: Kekalkan pentadbiran yang sedia ada, tukar pentadbiran bukan macam tukar baju.

No comments:

Artikel pelbagai