Thursday, April 18, 2013

MALAYSIA SELAMAT! SIAPA KATA ATM POLIS TAK BUAT KERJA?

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md. Zin menyifatkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops Daulat merupakan suatu yang tidak diduga.

Namun, katanya, kerjasama itu adalah titik-tolak kepada gabungan operasi yang amat berjaya dan jitu.

"Saya melihat kerjasama dengan PDRM ini amat baik. Kita mengangkat kerjasama ini melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), seperti yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke peringkat yang lebih tinggi yang mana kami tak pernah bermimpi sebelum ini," katanya di sini.

Sejak dua tahun lepas, polis dan tentera melaksanakan beberapa inisiatif melalui NBOS bagi meningkatkan tahap keselamatan awam dan negara.

Zulkifeli berkata, kerjasama itu berpaksikan kekuatan kedua-dua pasukan terbabit yang boleh dianggap ultimate atau ekstrem dalam menghadapi suatu ancaman yang boleh mengorbankan nyawa.

"Saya juga hargai sokongan kerajaan khususnya dari segi semangat dan moral untuk tentukan kebajikan dan keberkesanan pelaksanaan operasi kita. Ini kerana sudah tentunya ia makan peruntukan dan perbelanjaan yang banyak. Tapi ia tidak ternilai demi memastikan kedaulatan ini berkekalan," katanya.

Zulkifeli berkata, beliau dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah diberi mandat untuk menggunakan apa sahaja bagi menewaskan pengganas atau penceroboh bersenjata asalkan membuahkan kejayaan yang dapat dibanggakan.

"Ini adalah satu manifestasi bahawa pasukan keselamatan, khususnya kerajaan akan gunakan apa sahaja demi untuk tentukan kedaulatan, keselamatan dan pertahanan negara walau di mana ancaman itu timbul. Ini adalah satu manifestasi yang nyata dan iltizam kerajaan untuk menentukan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menghargai kerjasama agensi lain yang menjadi antara tulang belakang kepada kejayaan Ops Daulat.

Mengenai kerjasama dan sokongan moral pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak putus-putus memberi semangat dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), meninjau kawasan operasi dan bertanya khabar kepada pasukan tentera, Zulkifeli berkata, perkara itu suatu yang amat dihargai.

"Saya juga amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia melalui akhbar, televisyen, radio dan sebagainya. Ada juga yang menghantar SMS, e-mel dan call saya beri sokongan padu kepada pasukan dan doakan keselamatan, kesejahteraan kami dalam Ops Daulat ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keyakinan penduduk selepas insiden tersebut, Zulkifeli berkata, keyakinan orang ramai pada ketika ini hampir kepada sedia kala.

"Saya telah buat walk the ground, pergi ke kampung dan lihat orang kampung sudah keluar masuk ladang. Ini jelas kelihatan apabila buah kelapa sawit berlonggok di tepi jalan... mereka sudah mula menuai.

"Persekolahan juga berjalan seperti biasa dan lancar. Penerimaan orang kampung terhadap anggota saya yang terpaksa berkampung di rumah mereka itu, baik sekali," katanya sambil mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang tempatan itu.

Beliau berkata, atas dasar prihatin, ada penduduk yang menghantar makanan kepada anggota tentera yang berkawal di sekitar rumah mereka.

"Penduduk kampung pun, bila saya tanya boleh ke tentera duduk rumah dia orang, mereka kata, mereka memang galakkan dan suka dengan kehadiran pasukan itu dalam memberi jaminan keselamatan kepada penduduk kampung," katanya. - BERNAMA

No comments:

Artikel pelbagai