Friday, March 22, 2013

UPDATE #lahaddatu: Kronologi Ops Daulat Dari 16-21 Mac 2013


KUALA LUMPUR 21 Mac – Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah masih berterusan dengan usaha mengesan dan membersih saki-baki pengganas dipertingkat pasukan keselamatan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat berhubung tahap keselamatan di kawasan terjejas dengan peristiwa itu.

Langkah itu telah memecahkan benteng penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di kawasan zon merah Operasi Daulat selain beberapa lagi musuh ditembak mati dan ditangkap pasukan keselamatan dalam beberapa pertempuran.

Berikut adalah kronologi selepas 17 hari Operasi Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu, Sabah:

16 Mac - Polis dalam peringkat akhir bagi menyiapkan kertas siasatan terhadap 27 suspek yang ditahan di daerah Semporna, dipercayai terlibat dalam insiden serangan hendap di Kampung Simunul pada 2 Mac lepas.

17 Mac - Pasukan keselamatan mencadangkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) penempatan haram di beberapa perkampungan air di daerah Semporna dibersihkan bagi memastikan kawasan itu bebas daripada anasir keganasan serta aktiviti haram seperti penyeludupan senjata api dan dadah.

17 Mac - Pasukan keselamatan Operasi Daulat menembak mati seorang pengganas Sulu dari selatan Filipina dalam operasi di Kampung Tanjung Batu.

17 Mac - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib memberitahu 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan Operasi Daulat telah selesai dibedah siasat.

17 Mac - Pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri itu, bermula di gugusan Felda Sahabat dengan menaik taraf struktur logistik.

19 Mac - Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu, tiada kecederaan dilapor dalam pertempuran itu.

20 Mac - Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, atas pertuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan Seksyen 121 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

21 Mac - Sehingga kini, 268 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi dan pelbagai kesalahan manakala 108 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

21 Mac - Lapan warga Filipina berdepan hukuman mati dan penjara seumur hidup selepas didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas. – BERNAMA

Artikel pelbagai