Sunday, August 18, 2013

PEMILIHAN AGUNG UMNO: JAWATAN NAIB PRESIDEN, @Zahid_Hamidi TAK GOYANG!


Pemilihan Agung UMNO tahun ini merupakan saat paling penting untuk parti keramat ini. Setiap jawatan tertinggi dalam UMNO akan dipertandingkan. Saat ini kita akan lihat pemimpin yang bagaimanakah untuk kita berikan mandat memegang pucuk pimpinan parti.

Apa yang penting perihal bangsa Melayu harus sentiasa dibela. Rapatkan saf kepimpinan orang Melayu supaya generasi seterusnya terus bersatu padu dalam menjaga bangsanya sendiri. Melayu harus bersatu. Melayu berpecah belah angkara diri mereka sendiri yang terpedaya dengan arus kemodenan yang memaparkan maklumat yang bercampur aduk.

Perebutan untuk tiga jawatan Naib Presiden Umno akan menyaksikan persaingan sengit tetapi penyandangnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak sedikitpun gentar.

Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu yang akan mempertahankan jawatan tersebut berharap rekod bersihnya sepanjang berkhidmat untuk ahli dan parti itu akan menilainya pada pemilihan itu nanti.

"Jawatan tersebut (Naib Presiden) adalah untuk direbut untuk sesiapa kerana UMNO adalah sebuah parti terbuka dan percaya kepada demokrasi. Sekiranya terdapat pemimpin-pemimpin yang ingin bertanding, mereka amat dialu-alukan dan terpulang kepada ahli parti untuk memilih siapa yang mereka inginkan untuk menjadi ketua.

"Bagi saya, saya berharap usaha, khidmat dan sumbangan saya kepada parti dan ahli-ahli UMNO akan digunakan untuk menilai saya," katanya pada sambutan rumah terbuka Hari Raya anjuran Pengasih.


Zahid menegaskan bahawa dia hanya akan mempertahankan jawatan Naib Presiden dan tiada rancangan untuk bertanding jawatan lain.

Selain Zahid, dua lagi naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan mereka.

Timbul khabar angin bahawa bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Pengerusi Felda dan Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Isa Samad dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mungkin akan bertanding merebut jawatan tersebut.

Pemilihan anggota Majlis Tertinggi (MT) dijadualkan pada 19 Oktober dan buat pertama kalinya kira-kira 150,000 ahli parti akan terus mengundi kepimpinan parti selepas pindaan dilakukan dalam perlembagaan Umno.

Sementara itu, seorang pemimpin di peringkat akar umbi percaya bilangan calon yang akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden Umno mungkin mencecah lebih daripada enam orang.

"Saya yakin terdapat beberapa Menteri Besar atau pemimpin kanan akan bertanding. Pastinya amat menarik untuk melihat siapa yang mendapat undi di kalangan ahli parti," katanya.


GR kata: Harus pilih pemimpin yang tegas dan berani pertahankan agama, bangsa dan negara.

No comments:

Artikel pelbagai