Monday, December 31, 2012

AMANAT HADI: Radio Dan TV Bukan Tempat Sebar 'Fatwa Politik' - @Zahid_Hamidi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa menggunakan sebaik-baiknya peluang ke udara di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bagi memperjelas amanatnya pada 1981 yang dikatakan mengkafirkan Umno.

Menggesa demikian, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu (amanat) itu telah mengakibatkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Beliau menyifatkan amanat itu sebagai 'fatwa politik'.

"Ia pendapat politik yang harus dibayar harganya dengan mahal kerana apa yang berlaku dengan masyarakat Islam di beberapa kawasan seperti perpecahan dalam keluarga dan masalah dalam komuniti.

"Perkara ini perlu diperbetulkan," kata Ahmad Zahid mengulas keputusan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memberi peluang kepada Abdul Hadi untuk membuat penjelasan menerusi RTM.

Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim tengkujuh bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

"ATM turut menempatkan pasukan perubatan di kawasan memerlukan sebagai bantuan tambahan kepada Kementerian Kesihatan," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata ATM juga sedia mencurah tenaga untuk membaiki rumah mangsa banjir yang rosak akibat bencana alam itu.

"Kami tidak mempunyai peruntukan untuk membeli bahan-bahan bagi kerja membaik pulih tetapi kita akan bantu daripada segi tenaga kerja," tambahnya. - BERNAMA

GR kata: Hadi oh Hadi! Sudah jatuh ditimpa tangga jangan pula ada drama filem pulak lepas ni yer...

No comments:

Artikel pelbagai