Thursday, May 17, 2012

TIMB KPN MAHU TOSAI GARING DARI AMBIGA..??


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar ‘menerima’ cadangan sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India untuk mempromosi tosai di hadapan rumah beliau. Bagaimanapun, Khalid memberitahu portal Free Malaysia Today bahawa rancangan untuk memasang gerai di hadapan kediamannya agak ‘tidak sesuai’.

“Saya tinggal di kawasan rumah teres. Jadi, memasang gerai di hadapan rumah saya akan menganggu laluan trafik dan akan menyukarkan jiran-jiran. Selain itu, kawasan rumah saya adalah kawasan yang berbukit dan agak curam. Jadi, bahan-bahan seperti kari dan dhal mungkin akan tertumpah,” gurau Khalid.
Khalid, mengakui bahawa beliau adalah peminat besar tosai, mencadangkan agar kumpulan NGO, Warga AMAN, menyediakan gerai di kawasan berdekatan dengan rumah beliau bagi mendapatkan lebih ‘sambutan’.

“Saya boleh jemput jiran-jiran dan juga pegawai-pegawai saya untuk turut memeriahkan gerai mereka. Tetapi, penganjur perlu memastikan tosai mereka sedap,” tambah Khalid.

Khalid sempat menyatakan bahawa beliau amat menyukai tosai telur, dan berharap agar pihak penganjur dapat ‘menyediakannya’ pada Ahad ini. Semalam sebuah gabungan yang disertai 20 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India merancang untuk mendirikan sebuah gerai tosai di depan kediaman Khalis pada Ahad ini.

Pergerakan yang digelar WargaAMAN itu akan menyediakan tosai percuma bermula 10 pagi di rumah Khalid di Jalan 2/7G, Taman Bukit Teratai, Ampang. Setiausaha WargaAMAN, S Barathidasan bagaimanapun mendakwa yang acara itu ‘tiada kaitan’ dengan gerai burger yang didirikan di depan rumah pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga minggu lalu.

Pada Khamis lalu, sekumpulan peniaga burger telah menganjurkan protes di depan rumah Ambiga dengan mengagihkan 200 burger kepada orang ramai.

Dianjurkan oleh sebuah NGO yang digelar Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), mereka mendirikan gerai untuk menunjukkan kemarahan mereka terhadap perhimpunan Bersih pada 28 April lalu di mana Ikhlas mendakwa perhimpunan tersebut telah mengganggu mata pencarian mereka.

Berikutan itu, Khalid, ketika ditanya mengapa polis tidak mengambil tindakan terhadap pemilik gerai burger, telah menjawab bahawa ia tidak salah untuk duduk di depan rumah sesiapa pun dengan syarat mereka tidak mengganggu penghuni-penghuni kediaman tersebut.

“Selagi mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti menceroboh hartanah persendirian, kita tidak akan mengambil tindakan,” jelas Khalid.

Dalam perkembangan berkaitan, WargaAman menegaskan bahawa acara yang akan diadakan di depan rumah Khalid pada hari Ahad ini bukanlah protes tetapi lebih kepada acara ‘promosi tosai.’

”Kami bercadang untuk mempromosikan tosai…rakyat Malaysia seolah-olah sudah lupa tentang hidangan yang telah diklasifikasikan sebagai makanan warisan oleh Jabatan Warisan Malaysia. Maka, acara itu lebih kepada kempen kesedaran…ia lebih kepada memperkenalkan hidangan daripada memprotes,” tambah Barathidasan.

Selain daripada hidangan tosai percuma, orang ramai juga akan diajar bagaimana membuat tosai yang sedap, katanya.

“Memandangkan Khalid telah berkata apa yang beliau katakan..kami memilih rumahnya. Ini adalah jaminan yang beliau berikan. Tambahan pula, beliau adalah anggota polis nombor dua di negara ini..ia sangat selamat di luar rumahnya,” katanya berjenaka. - mynewshub


GR kata: Steadylah Timb Ketua Polis Negara, takder gelabang macam Ambiga tu. He he he

No comments:

Artikel pelbagai