Tuesday, June 10, 2014

ANALISA #PRKTelukIntan: BUKAN SALAH DYANA, DAP KALAH DENGAN BANGSANYA SENDIRI!


DAP yang sebenar sudah kalah di Teluk Intan tempoh hari. DAP tidak kalah 238 undi. Tetapi sebenarnya hilang lebih 7,000 pengundi pada 31 Mei lalu.

Dalam pilihan raya kecil itu, Dyana Sofya Mohd. Daud meraih 19,919 undi berbanding 27,399 oleh calon DAP, Seah Leong Peng pada PRU-13. Ini bermakna DAP hilang 7,480 undi. BN menerusi Datuk Mah Siew Keong pula mendapat tambahan 71 undi. DAP hilang 15 peratus sokongan pengundi kaum Cina yang menyokong parti itu sebelum ini.

Peratusan sokongan kaum India merosot sebanyak 10 peratus kepada 52 peratus sahaja. Ini juga bermakna peralihan daripada calon India DAP, M. Manogaran (menang di Teluk Intan pada PRU-12) kepada calon Cina, Leong Peng membawa kemenangan kepada DAP. Namun begitu, apabila diletak calon Melayu, DAP tumbang. Kini, sudah terang lagi bersuluh bahawa dalam kawasan majoriti pengundi berketurunan Cina (42 peratus) di Teluk Intan, DAP tidak wajar sama sekali meletakkan calon Melayu.

Tidak hairanlah Lim Guan Eng dan terutamanya Gobind Singh Deo menyinga benar. Sukar untuk mereka menerima kekalahan. Difahamkan, sehingga pukul 3 petang pada pengundian di Teluk Intan, yang dibualkan dalam 'war room' DAP adalah pemimpinnya masih tetap percaya mereka boleh menang dengan majoriti 3,000 undi.

Agresif dan angkuhnya DAP untuk mengecap kemenangan di Teluk Intan dikatakan sampai sanggup menyediakan bas untuk membawa 'pengundi mereka' ke Teluk Intan daripada sejauh Singapura dan Johor. Tetapi khabarnya semua bas, yang dianggarkan berjumlah lebih 50 buah kosong belaka - yang tidak pernah berlaku pada PRU-13.

Pengundi mereka tidak mahu pulang. Antara yang dikeluh mereka, dulu di Kajang diletak calon Melayu (Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), kali ini pun hal yang sama berlaku, calon Melayu diturunkan ke gelanggang di Teluk Intan. Pengundi luar tidak pulang mengundi kerana pada mereka, kemenangan DAP kali ini tidak akan memberikan sebarang kesan positif. DAP tidak pernah melakukan apa-apa penambahbaikan kemudahan rakyat. Sebaliknya hanya berjanji dan terus berjanji untuk memanjangkan persoalan itu untuk diselesaikan oleh Kerajaan Pusat.

Satu hal yang zahir, pasangan sepupu orang kuat DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Ngah Kor Meng langsung tidak 'beri muka' kepada Lim Kit Siang dan anaknya, Guan Eng. Mereka kurang komitmen untuk membantu Dyana Sofya. Demikian juga dengan Pas tidak turun padang. Ini berlaku selepas Dyana Sofya mengisytiharkan dia tidak akan sokong hudud di Parlimen jika menang.

Kekalahan Dyana Sofya jelas menunjukkan betapa cauvinisnya penyokong DAP sehingga memaksa sebahagian ahli parti itu menyertai sama kumpulan kira-kira 7,500 pengundi yang beralih arah menyokong BN. DAP sendiri terpedaya dengan `pengamatan indah' khalayak yang membanjiri ceramah mereka mencecah 10,000 orang. DAP tertipu dengan petunjuk ini kerana unsur syok sendiri terus menyelubungi minda juru kempen pakatan pembangkang.

Malang bagi mereka, akhirnya sikap yakin mampu menang ini akhirnya memakan diri. Sejurus selepas kemenangan Siew Keong, mula pemimpin DAP membuat kenyataan yang mendedahkan belang mereka yang sebenar. Mula hudud Pas dipersalah.

Andai sebelum ini, Pas menggunakan tahaluf siyasi dengan DAP sebagai musabab untuk menerangkan hudud, sekarang, walaupun selepas pemergian mendiang Karpal Singh, DAP tetap berkeras menentang hudud. Usaha Pas selama ini ternyata gagal. Alasan yang tinggal untuk Pas terus bersama dengan Pakatan Rakyat sekarang ini hanyalah atas dasar kemaruk kuasa kerajaan Persekutuan.

Dalam kempen yang berjalan di Teluk Intan, Pas dikatakan cukup berusaha mendiamkan diri daripada mengulas mengenai hukum hudud. Pas bimbang DAP akan menyalahkan parti itu seandainya Dyana Sofya tewas. Tanpa menyentuh hal hudud, Pas sebenarnya terbukti tidak jujur dengan perjuangannya.

Apabila Gobind secara terbuka menyalahkan perjuangan hudud Pas sebagai punca kekalahan di Teluk Intan, siapa yang sanggup berdepan dengan anak Karpal Singh ini? Ke mana menikusnya suara lantang daripada Pas seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Khalid Samad? Mengapa sekadar menghantar Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed; Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan untuk bergasak dengan Gobind.

Justeru, tentunya kita wajar memberi tabik hormat kepada Dr. Mahfodz yang ternyata sungguh kecewa dengan tuduhan Gobind.

"Memang mudah menuding jari kalau kalah namun DAP sudah menang di Bukit Gelugor, kenapa tidak salahkan hudud? Tindakan (Gobind) ini menghina perjuangan Pas kerana hudud adalah salah satu perjuangan kita. Dia (Gobind) boleh cakap 'setuju untuk tidak setuju', tidak setuju tak mengapa tetapi jangan menentang (hudud). Ada juga tindakan mereka lakukan yang kita tidak setuju macam pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), kita tidak setuju tapi tak bising pun," kata Dr. Mahfodz. Nada tidak senang turut ditunjukkan secara terbuka oleh Nasruddin terhadap Gobind.

Katanya: "Ketika hudud mula menjadi isu panas di dalam negara, kita menang di Kajang dan kita menang Bukit Gelugor. Kenapa tewas di Teluk Intan lalu hudud di kambing hitamkan? Kenapa pula masa menang kita bergembira di kala kalah kita menyalahkan hudud?

Mohd. Amar turut memperlekehkan 'analisis' Gobind. Mohamad Sabu mungkin terlalu banyak meluangkan masa bersama pemimpin DAP dan sanggup diperkudakan, menyebabkan mulutnya terkunci kemas.

Jadi, siapa lagi Pas hendak percayakan? Antara UMNO yang berterus terang menyokong hudud untuk dilaksanakan atau DAP yang secara terbuka menentang hudud?

Di mana rasionalnya untuk Pas terus menjauhkan diri daripada UMNO? Waktu memerintah di mana-mana negara sekali pun, pasti akan ada ketirisan. Tidak banyak, sedikit. Bahkan, Pas sendiri tidak maksum. Semasa memerintah Kelantan dan Terengganu suatu ketika, tidak sedikit desas-desus mengenai kepincangan pentadbiran kerajaan Pas.

Dyana Sofya cuma "window cosmetic" dalam konteks politik Teluk Intan. Ini apabila begitu ramai cuba bergambar selfie dengannya. Kalau menanglah dia, tentu dia akan terus dikawal oleh supremo DAP dek kerana kematangannya masih belum cukup untuk menepis persepsi.

Adalah sesuatu yang menarik di mana didapati pengundi muda melayu dan India kembali ke BN. Di saluran 3 dan 4 (pengundi muda) Pusat Mengundi Sek.Keb. Selabak, Teluk Intan 31 Mei lalu, BN mengatasi DAP dengan kedudukan undi 296-86 dan 266-74. Senario sama diperlihatkan di Sek. Jenis Keb. (Tamil) Ladang Scotia di saluran 3 dan 4 (BN 259-DAP 173 dan 214-160).

Tetapi ini tidak berlaku di dua saluran sama di pusat mengundi Sek. Keb. Perempuan Methodist, Jalan Changkat Jong dengan posisi sebaliknya - DAP 207, BN 123 dan 217-79.

Politik yang penuh dengan keangkuhan terbukti tidak mendapat tempat di Teluk Intan. Sebaliknya politik berhemah menempa kejayaan. Orang Cina dikatakan pandai mengamalkan politik yang sangat berhati-hati. Keputusan politik mereka strategis. Yang Paling penting, survival Cina itu sendiri. DAP bukan kalah 238 undi di Teluk Intan. Tetapi kalah 7,480 undi yang pernah didukungnya dulu.

* DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa

1 comment:

  1. apa apa pun.....PAS memang terus menerus rela di perbodoh bodohkan ole DApigsss....PAS memang bodohhh...

    ReplyDelete