Wednesday, February 27, 2013

Terbaru: Pasar Bergerak 1Malaysia Bukti Kerajaan Bantu Rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu melancarkan projek Pasar Bergerak 1Malaysia, sebagai satu lagi inisiatif kerajaan membantu rakyat khususnya kalangan masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana.

Ia melibatkan pergerakan sebuah bas dengan berat maksimum 16 tan yang diubahsuai khusus bagi mengedar barang keperluan harian terus kepada pengguna dengan matlamat membantu rakyat mengurangkan kesan kenaikan harga barang.

Bas itu akan diiringi dengan beberapa lagi lori kecil yang juga diubahsuai, bergerak ke lokasi yang dijadualkan khususnya di kawasan-kawasan perumahan kos rendah dan pusat komuniti terpilih.

Menurut kenyataan media Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Perdana Menteri memperakukan peruntukan RM3juta bagi menggerakkan projek Pasar Bergerak 1Malaysia itu, dan buat permulaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk membangunkan konsep pasar bergerak itu di zon tengah, zon utara dan zon selatan.

Majlis pelancarannya pada Rabu menyaksikan Najib menyempurnakan acara pelepasan konvoi pasar bergerak, dengan disaksikan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta menteri-menteri kabinet, di Dataran Perdana di perkarangan bangunan Perdana Putra di sini.

Menurut kenyataan media, inisiatif berkonsepkan pasar mini bergerak itumenawarkan produk-produk barangan runcit, barang kawalan, produk IKS tempatan dan barangan segar, yang dijual pada harga yang kompetetif.

Kumpulan sasar inisiatif ini adalah kalangan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Awam di bandar, masyarakat berpendapatan rendahdan sederhana, serta mangsa bencana alam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan FAMA Ab Razak Ab Majid ketika ditemui selepas acara pelepasan itu berkata, konvoi pada Rabu akan bergerak ke Kuala Pahang, Pekan, untuk turut serta dalam pelancaran Pusat Transformasi Bandar oleh Perdana Menteri, Jumaat ini.

Beliau berkata, bas itu kemudiannya akan mula beroperasi di kawasan sasaran terutama di semua pasar tani di Lembah Klang serta Selangor, dan menurutnya Perdana Menteri meminta supaya dua lagi inisiatif pasar bergerak itu mula beroperasi selewat-lewatnya April.

Katanya, satu pasar bergerak itu dirancang untuk beroperasi di zon utara dengan Pulau Pinang menjadi stesennya, manakala satu lagi di zon selatan dengan Johor Bahru sebagai stesennya.

Ab Razak berkata, dalam sehari bas berkenaan dapat memberi perkhidmatan ditiga lokasi, membawa muatan barang keperluan yang bernilai kira-kira RM20,000.

Menurutnya, FAMA akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menghasilkan satu jadual tetap pergerakan bas ke lokasi yang ditentukan. - BERNAMA

GR kata: Terima kasih PM

No comments:

Post a Comment