Wednesday, December 2, 2015

Orang #UMNO Kata, Tunggulah Nanti PRU14...??


SEMASA bertemu santai dengan beberapa orang UMNO di peringkat cawan-gan dan bahagian di sebuah negeri beberapa hari lalu, penulis tersentak seketika. Kata mereka, sebilangan cawangan dan bahagian memandang serius dan peka dengan apa yang menyelubungi UMNO waktu ini. Cuma, masing-masing tidak mahu cakap apa yang terbuku di hati. Positif atau negatif. Hanya ayat ini yang keluar: “Kita tunggu pilihan raya umumlah.”

Penulis tidak mahu menghakimi hati mereka. Tetapi kalau ada terlintas unsur atau perasaan tidak senang hati, pucuk pimpinan parti jangan pula tidak ambil berat. Mesti prihatin dan sensitif dengan keadaan di sekeliling. Sejarah UMNO membuktikan protes yang ditunjukkan andai ada dalam kalangan anggota parti, apalagi Barisan Nasional (BN) sendiri, UMNO tidak boleh pandang mudah dengan impaknya.

Imbas kembali bagaimana insiden Tan Sri Shahrir Abdul Samad dipecat pada sekitar 80-an dalam siri peristiwa yang membawa kepada Krisis Perlembagaan 1988 dan cabaran Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li terhadap Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad masa itu. Pada 1988, Shahrir meletakkan jawatan daripada kerusi Parlimen Johor Bahru dan kemudian mencalonkan dirinya untuk dilantik semula sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen berkenaan. Shahrir menang.

Renungi pula bagaimana Ku Li bergandingan dengan Pas menerusi Parti Melayu Semangat 46 (S46) setelah UMNO diharamkan yang kemudian dihidupkan balik dengan UMNO (Baharu). Akibat ‘tindakan’ Shahrir dan Ku Li itu, UMNO terlepas Kelantan pada 1990 yang kini sudah 25 tahun hilang daripada genggaman.

Pada 1998, apabila Dr. Mahathir tidak sebulu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah timbalannya itu terbabit dalam ‘gelagat hidup yang aneh’, UMNO dan BN secara berperingkat-peringkat terlepas sokongan pengundi Cina pada 2008, meskipun 2004 mencatat keputusan pilihan raya paling popular buat BN.

Kesan tidak puas hati dalam parti, mengambil masa lama untuk sembuh. UMNO mesti belajar daripada pengalaman lepas supaya menjadi panduan untuk gerak kerjanya yang kompetitif. Ahli UMNO sekarang berjumlah 3.4 juta orang. Kata orang UMNO, parti keramat ini Insya-Allah boleh mengekalkan mandat rakyat pada 2018 nanti.

Namun, penulis tidaklah menafikan rumusan ini tetapi paling utama parti mesti bekerja keras dari sekarang. Keahlian 3.4 juta semata-mata tidak cukup untuk berdepan 14 juta pengundi berdaftar. Ini terutama sekali dengan pengundi atas pagar. Ahli parti perlu berkorban apa sahaja. Biar berdentum di hati haba perjuangannya.

Realitinya, sentimen masyarakat ketika ini bersandarkan tiga faktor iaitu berkisar ke mana wang rakyat dibelanjakan, persepsi umum terhadap kadar rasuah yang tinggi dan kos sara hidup.

Persepsi rasuah berkubang ini perlu diperbetulkan manakala dengan caj cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus dikenakan dalam keadaan gaji pula tidak naik, maka sudah tentu kehidupan yang dijalani memeritkan. Demikian juga pembiayaan perubatan seperti harga ubat yang semakin mahal dan caj hospital swasta yang tinggi, mewujudkan rasa tidak puas hati yang berbekam. Hal ini juga perlu diambil perhatian oleh perwakilan-perwakilan yang akan memenuhkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 8 hingga 12 Disember nanti.

Perlihatkanlah rasa rendah diri, penampilan sederhana berteraskan amalan wasatiyyah. Hayati, selami dan hargai denyutan hati rakyat.

Orang UMNO mesti akur bahawa era ini milik orang muda. Dalam era digital, siber atau langit terbuka tanpa sempadan, pendekatan gerak kerja parti yang diambil perlu dinamik. Senario politik kini berbeza, bukan macam tahun 80-an dan 90-an. Rakyat ingin melihat tadbir urus yang baik, ketelusan dan integriti.

Mereka melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai tiang seri negara. Kalau salah satu tumbang, sengetlah rumah kita. Mereka, orang muda yang balik setelah tamat pengajian dari seberang laut, antara golongan yang menjadi faktor penentu kemenangan. Mereka balik ke kampung masing-masing bercerita mengenai masa depan yang diimpikan, seterusnya mempengaruhi orang tua dan masyarakat sekeliling untuk menempatkan calon parti mana atas kertas undi.

UMNO yang membawa panji-panji BN tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada politik pembangunan. Boleh, tapi ini bukan lagi formula mujarab. Memang diakui politik pembangunan yang dibawa BN sejak sekian lama telah terbukti penghasilannya. Sebagai contoh di Telang Usan, Sarawak sejak 10 tahun lalu pelbagai perancangan pembangunan telah, sedang dan terus dilaksanakan seperti pembinaan jambatan di Long Lama, jalan raya yang baharu dan dinaik taraf serta pembangunan infrastruktur yang lain seperti pembangunan elektrik dan air.

Cuma boleh dibuat ‘post mortem’ politik pembangunan ini. Se-perti mana kita semua maklum dan bukan rahsia lagi, baharu sahaja diumumkan beberapa juta ringgit untuk sekolah-sekolah Cina semasa pilihan raya kecil atau mana-mana pilihan umum, namun masih tidak menjamin sokongan daripada kaum Cina.

Perlu dipertingkat dan ditambah nilai strategi mendapatkan sokongan daripada komuniti bandar. Perlu difahami mengenai masyarakat yang sedemikian kompleks yang tidak lagi bergantung kepada politik pembangunan atau politik meluluskan peruntukan kerajaan. Ya, memang rumah, pendidikan dan perubatan diperlukan dalam bandar dan luar bandar, tetapi semua peruntukan ini perlu diiringi dengan gerak kerja tersusun dan penjelasan yang baik.

Golongan muda diyakini bukanlah antikerajaan berdasarkan respon yang diterima dalam akaun Facebook Perdana Menteri dengan ratusan ribu peminat dan akaun Twitter #tanyaNajib, yang antara akaun paling aktif dalam dunia blog mikro dalam jangka masa singkat.

Kisah Kabinet Malaysia hakikatnya banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO. Perkara ini mempunyai alasan yang mudah ke-rana UMNO membekalkan jumlah bilangan besar dalam keahlian Dewan Rakyat. Untuk memiliki Kabinet, perlulah menewaskan UMNO.

Oleh itu, selagi UMNO mengekalkan status-quo kekuatan dan pengaruhnya yang sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presiden UMNO untuk mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri. Proses muhasabah dan transformasi politik, kerjasama dan sokongan ahli parti menjadi satu kekuatan untuk UMNO yang perlu diambil kira.

Kurangkan menguar-uarkan elemen ‘anda termakan budi’ apabila berdepan dengan rakyat. Isu rakyat perlu ditampilkan untuk diteliti dan diselesaikan.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

No comments:

Post a Comment