Friday, January 17, 2014
KOS SARA HIDUP MENINGKAT, RAKYAT DITIPU ATAU DIPERBODOHKAN? @NajibRazak @HasanMalekKP
Di sebalik ramai yang memperkatakan kesan kenaikan harga termasuk tarif elektrik, kita tidak dapat menafikan kemelut yang dihadapi rakyat yang terpaksa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
Barangkali boleh difikir-fikirkan bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh menguruskan operasi pada tahap kecekapan maksimum. Kita maklum, TNB menggunakan pendapatan untuk mencari keuntungan.
Penjana Tenaga Bebas (IPP) pula bertindak sebagai pembekal tenaga elektrik kepada TNB yang merupakan pembekal tenaga elektrik tunggal di Malaysia.
Dalam konteks langkah-langkah penjimatan, kita (dalam konteks kita ini TNB) mahu kekalkan keuntungan dan pada masa sama sepatutnya tidak melihat tarif elektrik itu 'solution' keuntungan.
Hari ini, rakyat tahu IPP membekalkan tenaga elektrik kepada TNB pada kadar berbilion ringgit. Sepatutnya mana-mana 'bayaran' yang tidak adil kepada IPP, disemak semula dan 'dibentuk' dalam konteks perjanjian yang lebih adil.
Kita maklum TNB 'terpaksa' membayar kepada IPP walaupun IPP dalam keadaan stand by sahaja (persediaan seandainya bekalan elektrik terputus atau berdepan risiko bencana). Mungkin lebih adil jika IPP dibayar hanya setelah khidmatnya benar-benar digunakan. Jika dalam keadaan stand by, ianya serupa 'satu pembayaran percuma kepada IPP'.
Saya ingin berkongsi pandangan penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Haim Hilman dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengesyorkan supaya monopoli TNB dipecahkan.
Secara lebih menyeluruh boleh kita renungkan bahawa penjimatan kadar elektrik sebenarnya dapat dimanfaatkan secara menyeluruh oleh rakyat mahupun kerajaan.
Dalam konteks ini, kita boleh pecahkan syarikat-syarikat pembekalan ini dari segi wilayah. Contohnya di selatan tanah air, ada pembekal tenaga elektriknya sendiri, Pantai Timur ada syarikatnya sendiri seperti mana di Sabah dan Sarawak, ada penjana kuasanya masing-masing ketika ini.
Dengan memecahkan monopoli, persaingan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada rakyat menjadi lebih kompetitif. Contohnya untuk negeri utara iaitu Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, ada kadar elektrik tertentu berbanding di Lembah Klang.
Dengan ini rakyat boleh membandingkan kadar yang mungkin lebih murah dan lebih baik daripada yang ditawarkan hari ini. Dengan memecahkan monopoli, skop perkhidmatan membekal elektrik kepada rakyat lebih kecil, malah efisien dalam konteks Malaysia. Jika masih ada syarikat pembekal yang masih nak untung dengan kadar tarif masing-masing, terpulanglah. Ikut kecekapan masing-masing yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat.
Dalam konteks kenaikan apa pun sama ada barang atau perkhidmatan, kita perlu melihat secara menyeluruh akan kesannya. Kenaikan tarif elektrik bukan isu isi rumah nak bayar kepada TNB sahaja. Kita pun maklum 'ikan pun nak masuk peti ais'. Orang berniaga atau yang melibatkan pengeluaran, kilang terpaksa guna elektrik. Dengan bil elektrik yang melambung akibat kenaikan tarif, bebannya tentu sekali akan dipindahkan kepada pengguna. Di kedai makan, harga lauk - ikan, ayam dan sayur - tentunya naik.
Tuntutan hidup sekarang tidak sama lagi macam dulu. Ini yang membuatkan rakyat tertekan. Peningkatan pendapatan rakyat tidak lagi seimbang dengan sara hidup. Nilai seringgit sekarang tidak sama macam 10 tahun dulu.
Kita akui akan hakikat kenaikan harga barang dan minyak berlaku di mana-mana negara. Indonesia pun menghadapi kenaikan sama tahun lepas. Tapi kalau boleh, minimumkanlah kenaikan itu.
Sepatutnya kenaikan harga disusuli dengan kualiti perkhidmatan. Katakan, kalau kurangkan subsidi minyak yang dapat jimat sekian-sekian banyak, RM1 bilion contohnya, perjelaskan wang subsidi yang ditarik itu ke mana? Untuk naik taraf atau tubuh universiti bertaraf antarabangsa atau beberapa institusi berorientasikan pendidikan agama dan akademik?
Itu yang rakyat tak tahu. Setelah tahu, rakyat mungkin boleh terima pengumuman kenaikan itu.
Kerajaan mesti dilihat dalam konteks rakyat. Kalau rakyat menangisi kenaikan kos, kerajaan harus turut dilihat menangisinya. Kalau kos barangan meningkat, kita kena buat kajian. Siapa orang tengah dan dalangnya?
Kita maklum penguasaan pemborong bukan berlaku baru-baru ini sahaja tetapi sudah lebih 40 tahun. Kenapa tidak ada rantaian pemborong dalam kalangan orang Melayu? Kenal pasti siapa pemborong kita di sekeliling. Kalau koperasi, mesti ada pemborongnya.
Contoh klasik yang kita lihat apabila golongan nelayan laut dalam mogok tidak lama dulu kerana kerajaan menarik balik subsidi super diesel. Akibatnya, harga ikan melambung 30 peratus. Mana mungkin harga ikan melambung tinggi dek kerana harga minyak naik, walhal nelayan diberi minyak, bot dan enjin yang disubsidi. Malahan wang saku turut diberi. Lori mengangkut ikan turut disubsidi.
Atas alasan apa menyebabkan harga ikan naik? Siapakah sebenarnya yang memanipulasi harga ikan? Pemborong? Siapa mengawal harga? Kerajaan ataupun pemborong?
Kita khuatir, kalau-kalau cerita pasal kebaikan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia atau apa sahaja jenama produk 1Malaysia yang sememangnya cukup terbukti manfaatnya kepada rakyat, hanya setakat di permukaan sahaja. Tidak sampai ke denyut hati rakyat secara menyeluruh.
Kita khuatir apabila harga barang naik, segala permasalahan ditolak kepada kerajaan. Sedangkan, kita gagal melihat dari mana punca dan mengapa harga barang naik. Sabotaj ekonomi mungkin terang-terangan berlaku. - Sumber
GR kata: Sampai bila rakyat boleh bertahan dengan Kerajaan sekarang??
tukar kepimpinan atau tukar kerajaan
ReplyDelete