Monday, May 13, 2013
MENILAI FAKTA BUKAN SEBARKAN DUSTA! NASIHAT UST DR ZAKIR BUAT KITA SEMUA!
Agama Islam ini dibina di atas dalil dan hujah. Tiada dalil dan hujah yang paling kuat melainkan al-Quran dan al-Sunnah.
Islam adalah satu-satunya agama yang diredai ALLAH SWT. Islam bukanlah milik mana-mana individu atau mana-mana kumpulan. Islam adalah hak milik ALLAH SWT. Oleh itu segala syariat dan isi kandungannya ditentukan oleh ALLAH Azza wa Jalla sendiri, Pemilik agama ini.
Tiada ruang untuk manusia yang terbatas akal fikiran dan kemampuannya untuk menentukan atau memutuskan walaupun sedikit apa-apa perkara yang berkaitan agama, kecuali dengan dipaksikan kepada hujah dan dalil yang kukuh.
Justeru, agama Islam ini dibina di atas dalil dan hujah. Tiada dalil dan hujah yang paling kuat melainkan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, apa saja hukum, pendapat dan fakta yang berkaitan agama mesti didirikan di atas dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Mana-mana pendapat atau fakta yang dikaitkan dengan agama, tetapi tidak dibuktikan dengan hujah al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya tidak boleh disandarkan kepada agama, walaupun yang memberi pendapat dan fakta tersebut memakai pelbagai gelaran agama.
Biarpun yang memberi pendapat tersebut ustaz, tok guru, kadi hatta mufti, maka pendapatnya berhak untuk dinilai dan ditolak sekiranya tidak menepati al-Quran dan al-Sunnah.
Panduan al-Quran, al-Sunnah
Al-Quran dan al-Sunnah telah menggariskan beberapa panduan umum dalam kita menerima dan menilai sesuatu fakta khasnya yang berkaitan agama dan berkenaan perkara lain secara umumnya.
Antaranya ialah seperti di dalam ayat berikut: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat:6)
Oleh itu, bertitik tolak dari ayat ini, ahli sunnah wal jamaah menjadikan konsep al-tathabbut (mencari kepastian di dalam sesuatu perkara) sebagai asas utama dalam menilai sesuatu maklumat atau pun dalam menghukum orang lain.
Hal ini bertujuan agar kita tidak melakukan tokok tambah di dalam urusan agama; dan agar kita tidak menghukum orang lain secara zalim, tanpa bersandarkan fakta yang benar.
Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan: “Apabila datang kepada kamu orang fasiq dengan sesuatu berita maka hendaklah kamu selidiki kesahihannya, pastikannya dan jangan tergesa-gesa dalam menerimanya.
Ini agar kamu tidak menuduh sesuatu kesalahan ke atas golongan yang tidak bersalah disebabkan kejahilan kamu”.(Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: taqrib wa tahzib (Damsyik: Dar al-Qalam), 7/33).
Maka dapat difahami bahawa sesiapa yang telah nyata dan pasti kefasiqannya, maklumat yang disampaikannya perlu ditolak. Al-Qadhi Abu Bakr ibn al-‘Arabi berkata: “Sesiapa yang pasti kefasiqannya maka batallah perkataannya (hilang kredibilti) di dalam menyampaikan berita.
Ini adalah ijma’. Sebabnya adalah berita itu suatu amanah dan kefasiqan pula adalah sebab yang membatalkannya al-‘Arabi, Ahkam al-Quran (Bierut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah), 4/147).
Prinsip lain yang diajarkan oleh al-Quran ialah seperti yang dinyatakan di dalam ayat berikut: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH SWT; Sesungguhnya ALLAH SWT Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Hujurat: 12)
Dari ayat ini pula al-Quran mengajarkan bahawa, adalah menjadi kesalahan jika kita membuat hukuman berdasarkan sangkaan semata-mata. Oleh itu, untuk mengelakkan kita terjatuh di dalam kesalahan ini, maka konsep al-tathabbut merupakan langkah pertama yang mesti dilaksanakan.
Al-Sunnah juga telah memberikan beberapa panduan asas dalam kita memberikan pendapat, menerima atau menilai sesuatu fakta berkaitan agama. Antaranya Rasulullah memberikan amaran keras dan janji neraka bagi sesiapa yang menyandarkan kepada Baginda apa-apa yang tidak dikatakan Baginda. Perbuatan ini merupakan pendustaan terhadap agama dengan menyandarkannya kepada Rasulullah.
Sekali gus ia dikira melakukan pendustaan dengan menggunakan nama Rasulullah, dan ia merupakan jenayah di dalam agama yang amat besar. Maka, memang layak mereka ini dijanjikan neraka.
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Di dalam hadis lain, Rasulullah SAW melarang kita untuk menyampaikan semua cerita yang kita dengar tanpa diselidiki terlebih dahulu. Bahkan, perbuatan seperti ini termasuk sebahagian daripada pendustaan. “Cukuplah seseorang itu berdusta dengan dia menceritakan setiap apa yang dia dengar”. (Riwayat Muslim)
Tidak taklid buta, ikut dalil
Sering kali disebutkan bahawa agama Islam tertegak di atas dalil dan hujah yang sahih. Kita boleh mendengar tentang agama ini daripada siapa sahaja kerana hari ini ramai orang dari pelbagai profesion suka untuk bercakap tentang agama. Tetapi biar siapa pun yang bercakap, biar siapa pun yang mengulas, namun yang kita terima, pegang dan amalkan ialah percakapan yang disertai dengan dalil yang sahih.
Oleh itu, setiap orang berhak untuk kita nilai, terima dan tolak pendapatnya kecuali kata-kata Rasulullah yang sahih. Jangan latih diri kita hanya mengikut sahaja secara membabi buta, tetapi sentiasalah bertanya mana dalil dan juga fakta. Agama ini bukan milik datuk nenek kita, tapi milik Yang Maha Mencipta. Jangan pekakkan telinga, bukalah mata, untuk melihat kebenaran yang nyata.
Manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri padaNya semata-mata. Pengabdian ini mestilah ditunaikan sepertimana yang dikehendaki oleh Yang Maha Mencipta. Tiada siapa di kalangan manusia ini mengetahui apakah dan bagaimanakah kehendak ALLAH SWT terhadap makhluknya, kecuali seorang manusia biasa yang disampaikan wahyu kepadanya, Muhammad SAW. Tiada jalan lain untuk memenuhi kehendak Ilahi kecuali hanya dengan mengikuti jejak langkah Nabi ini.
Rasulullah telah pun wafat. Apa yang ditinggalkan hanyalah al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan syariat. Kewafatan Baginda bukti bahawa telah sempurna agama ini untuk ikutan umat. Usah berdalih lagi, hanya patuh dan juga taat. Nilailah setiap fakta supaya kita tidak menjadi penyebar dusta...
Wallahualam bissawaf'.
GR kata: Semoga dapat ikhtibar, sampaikan dan amalkan.
No comments:
Post a Comment