Thursday, February 14, 2013

#BR1M 3, #BR1M 4 AKAN DITERUSKAN PADA SETIAP TAHUN - @NajibRazak

JOHOR BAHRU 12 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak akan dihentikan, malah akan disusuli dengan BR1M 3, BR1M 4 dan seterusnya pada tahun-tahun mendatang.

Menurut Perdana Menteri, pemberian bantuan itu diteruskan kerana seperti 139 produk 1Malaysia yang lain, BR1M adalah pulangan semula kepada rakyat hasil kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

"Kita pulangkan kepada rakyat kerana rakyat berhak untuk menerima kesan pertumbuhan yang kian meningkat. Saya sudah katakan sebagai kerajaan kita mesti dahulukan rakyat dengan mewujudkan dasar bersifat inklusif dan adil dan saya mulakan kepimpinan saya dengan menyatakan kita mesti merasai denyut nadi rakyat.

"Sebab itu kita buat BR1M dan kini BR1M 2. Saya yakin, berdasarkan apa yang telah kita lakukan dalam tempoh empat tahun, 'the best is yet to come' (yang terbaik bakal menyusul).

"Tidak kira tahun ular atau tahun naga atau tahun apa sekali pun, berkat kerjasama, perpaduan dan sokongan rakyat yang semakin jitu dan padu kepada Barisan Nasional (BN), kita akan menempa lima tahun yang lebih berjaya," katanya ketika berucap dalam sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Johor yang dihadiri oleh lebih 20,000 orang di pekarangan pasar raya Econsave Senai dekat sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Kulai, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Terdahulu pada sebelah pagi, Najib mempengerusikan mesyuarat tertutup UMNO dan BN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah membuktikan keupayaannya dengan mencatatkan kadar pertumbuhan negara adalah paling tinggi dalam masa 10 tahun manakala pendapatan perkapita rakyat meningkat daripada RM18,590 pada 2009 kepada RM27,890 pada akhir 2011.

"Ini bukan janji tetapi program transformasi yang sedang berjalan dengan rancak yang akan memberi faedah kepada rakyat jelata. Kalau kita hendak agenda transformasi ini dilaksanakan sepenuhnya, bergantung juga kepada mandat politik yang diterima daripada rakyat dalam masa tidak beberapa lama lagi.

"Kalau kita dapat tubuh kerajaan yang kuat maka kita akan menjurus kepada masa depan yang cukup hebat lagi cemerlang.

"Saya yakin pasaran akan melonjak lebih tinggi dan keyakinan akan terus memuncak dan kita semua mendapat faedah jika membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya nanti," katanya.

Tambah Najib, tuntutan perubahan yang disuarakan rakyat telah disahut oleh kerajaan melalui proses transformasi yang terancang dan sistematik serta terbukti membawa kepada keberhasilan yang lebih terjamin.

No comments:

Post a Comment