Saturday, December 1, 2012

Tangisan Anak Muda Gegarkan Persidangan UMNO! @umbkl @razlanrafii #PAU2012


Generasi muda UMNO semalam melahirkan harapan besar supaya parti itu kekal memerintah agar terus dapat menjadi dahan tempat berpaut dan bergantung hidup golongan itu.

Wakil Kelab UMNO Luar Negara, Ariff Yasir Zulkafili menyebabkan perwakilan dan pemerhati di Dewan Merdeka sebak apabila membayangkan senario yang bakal berlaku jika tampuk pemerintahan beralih tangan.

"Tolonglah ayahanda, tolonglah bonda untuk UMNO terus mara, untuk UMNO terus berkuasa, untuk UMNO terus memperjuangkan kepentingan dan hak kita” Ariff Yasir Zulkafli, Pengerusi Kelab UMNO Tokyo"

Beliau meminta mereka merenung sejenak dan memberikan contoh detik hitam yang akan menimpa penuntut Malaysia di luar negara jika kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas kepada pembangkang.

Lagu Warisan jadi simbolik

Menjadikan bait lagu Warisan sebagai simbolik senario itu, ketika membahaskan ucapan dasar Presiden beliau meminta semua ahli mempertahankan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa.

Beliau berusaha menyanyikan lagu berkenaan walaupun gagal mengingati beberapa rangkap lirik sehingga mendorong Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin serta perwakilan menyanyi bersamanya hingga rangkap terakhir.

"Pilihan raya umum datangnya bila-bila masa saja, menanti lampu hijau daripada ayahanda Presiden. Cuba bayangkan, tiada lagi anak-anak muda macam kami mengaji (menuntut) di luar negara. Kami kena panggil balik sebab dasar tidak lagi dipegang kerajaan UMNO dan BN yang menghantar kami.

"Anak-anak ayahanda bonda tiba-tiba terkontang-kanting, sistem tidak lagi membantu kami untuk ke menara gading. Mana dahan untuk kami berpaut, mana pelantar untuk kami berdiri. Tolonglah ayahanda, tolonglah bonda untuk UMNO terus mara, untuk UMNO terus berkuasa, untuk UMNO terus memperjuangkan kepentingan dan hak kita," katanya anak muda wakil Kelab UMNO Tokyo itu, disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Ariff Yasir dengan nada sayu, merayu semua perwakilan melupakan segala sengketa bagi memastikan perpaduan sesama ahli parti terjalin utuh.

"Saya merayu sangat kepada ayahanda, kepada bonda, kepada kekanda, lupakanlah segala sengketa, janganlah ada sifat tamak jawatan dan kuasa. Biar hati kita bersih, buangkan hasad dengki dan iri hati.
"Kita rapatkan saf, betulkan barisan, bersatu dan berpadu untuk sama-sama berjuang memastikan pada pilihan raya nanti, Putrajaya masih milik kita," katanya.

Ketua Pemuda UMNO Seputeh, Mohd Razlan Mohd Rafii berkata, sejak dari dulu sehingga kini UMNO secara tradisinya menjadi pelindung kepada generasi muda di negara ini.

UMNO perlu bergerak dengan lebih proaktif berdepan dengan dakyah pembangkang bagi memastikan generasi muda tidak terpedaya dengan helah yang akan merosakkan masa depan.

Lindungi generasi muda

"UMNO perlu melindungi generasi muda, tradisi sebagai pembela nasib rakyat perlu diteruskan parti dengan lebih proaktif lagi apatah kini kita berdepan dengan ancaman pembangkang.

Perwakilan dari bahagian Bachok, Kelantan, Che Shamsuzuha Che Noh mahu UMNO menjadi benteng terakhir bagi melindung golongan muda dari terus diperalatkan pembangkang.

Katanya, budaya politik jalanan yang diamalkan pembangkang tidak seharusnya menjadi model kepada golongan muda selaku pewaris kepemimpinan negara.

Tidak mahu mimpi buruk

Wakil Puteri UMNO Pahang, Hartini Othman pula berkata jika Putrajaya gagal dipertahankan ia akan menjadi satu mimpi buruk kepada generasi muda.

Dasar pembangkang yang hanya mementingkan agenda peribadi masing-masing katanya, tidak akan mampu membela nasib golongan muda, apatah lagi jika ia membabitkan masa depan pemimpin pelapis parti yang penuntut di luar negara.

Pendapat itu disokong Exco Puteri, Wan Zawiyah Wan Hashim yang menyifatkan perpindahan kuasa itu seolah-olah menjadikan anak muda negara 'yatim piatu' kerana kehilangan tempat bergantung.

"UMNO dan BN adalah teraju hidup kami, ibu dan bapa yang selama ini menjadi tempat kami bergantung hidup. Apabila ibu dan bapa ini tiada, di mana lagi kami mahu mengadu nasib?" katanya.


GR kata: Anak Muda tak mahu penyangak yang mahu hancurkan negara!!

No comments:

Post a Comment