Wednesday, November 28, 2012
#PAU2012: WANITA, PEMUDA DAN PUTERI RAPATKAN SAF! TERUSKAN KERJA UNTUK RAKYAT! @MuhyiddinYassin
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO diseru untuk terus mempertingkatkan gerak kerja di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jentera parti perlu bekerja dalam semangat berpasukan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) terus dipertahankan.
"Pertingkatkan gerak kerja bagi memenangi pilihanraya. Sebagai barisan hadapan jentera parti, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pasukan tahan lasak parti.
"Gerakkan jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia turun ke medan perang apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk menangi hati pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan izin Allah pintu-pintu hati mereka akan terbuka luas untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di sini, Selasa malam. Selain itu Muhyiddin menegaskan bahawa perpaduan dalam parti merupakan asas penting untuk mencapai matlamat ke arah kemenangan BN.
"Ingatlah, bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk berada di atas landasan perjuangan Umno, kita bukan bekerja untuk diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
"Perjuangan ini tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan sokongan dan dokongan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati, kesatuan fikiran, kesatuan matlamat dan kesatuan amal untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci," katanya.
Tegas beliau lagi, Umno sebagai parti yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional perlu meneruskan agenda untuk memepertahankan Islam, orang Melayu tanpa mengabaikan nasib kaum-kaum lain di negara ini.
"Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat ini.
"Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci Umno mesti kita perkukuhkan," katanya.
Berikut antara intipati daripada ucapan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO :
1. Pemimpin Pas tidak mungkin dipilih menjadi Perdana Menteri dan menegakkan negara Islam kerana DAP dan PKR tidak pernah menyokong dan mempercayai Pas.
2. Pas juga adalah sebuah parti yang lemah dan sepanjang 12 kali pilihan raya umum, bilangan kerusi yang ditandingi Pas kurang separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen. Jika lemah, bagaimana presiden mereka dicadang sebagai Perdana Menteri?
3. Pembangkang mengamalkan politik ultra perkauman, fahaman songsang dan memecah belahkan masyarakat hanya kerana mahukan kuasa. Sejak lima dekad lalu, Pas dan DAP membawa fahaman politik benci dan fitnah yang membakar sentimen agama dan perkauman.
4. PKR pula, menerusi kenyataan Ketua Pembangkang, secara jelas mengetengahkan ideologi songsang kononnya atas nama kemunculan politik baharu, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral.
5. UMNO tidak boleh alpa dan parti itu perlu bangkit untuk menjadi benteng mempertahankan masyarakat daripada diasak oleh ideologi songsang pembangkang.
6. Malaysia kekal aman, stabil dan makmur di bawah BN kerana parti itu sentiasa membuka pintu rundingan bagi menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum.
7. Jentera UMNO, khususnya ketiga-tiga sayap parti perlu mengatur strategi berkesan untuk memenangi hati pengundi dan memastikan perpaduan parti diteguhkan sebagai kunci kemenangan dalam PRU-13.
8. Seluruh warga UMNO perlu terus teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menerajui transformasi besar untuk negara.
9. UMNO akan terus mengangkat suara Melayu tanpa melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain dan berjanji komitmen itu akan terus dipegang oleh UMNO dan BN.
GR kata: UMNO terus membela nasib semua lapisan masyarakat di Malaysia.
No comments:
Post a Comment