Sunday, September 2, 2012

Pemimpin UMNO Jangan Ada Sikap Selesa Dan Terpukul - @Zahid_Hamidi

PORT DICKSON - Kepimpinan Umno diingatkan supaya mengenepikan sindrom 'selesa dan terpukul' yang pernah dialami parti itu pada pilihan raya umum 2004 dan 2008 jika mahu melihat kejayaan besar parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.   

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mengambil contoh pada pilihan raya umum 2004, sindrom selesa ini wujud apabila orang Umno dan BN berada di kemuncak maka mereka merasa terlalu selesa pada ketika itu.   

"Apabila sindrom selesa ini berada di jiwa kepimpinan Umno di peringkat akar umbi, maka timbul rasa keyakinan yang terlalu amat sangat. Apabila ini berlaku, ketika itu nasihat tidak didengar, pandangan ditolak dan leka merebut peluang. Apabila ini berlaku maka perjuangan tidak lagi menjadi matlamat utama.   

"Dalam keadaan sindrom selesa itu jugalah berlakulah cantas mencantas, dengki, iri hati dan merasa benci sesama sendiri. Ini kerana kita merasa kuat ketika itu dan kita meremehkan musuh-musuh politik kita," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.   

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Telok Kemang di sini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata: "Apabila sindrom selesa itu menguasai diri kita, kita mula merasakan kita adalah yang terbaik. Dan dalam sindrom selesa itulah juga, kita mula menghindarkan keperluan anak buah kita dan rakyat dan kita mula berpeluk tubuh.

"Katanya sindrom selesa itu telah dibayar dengan harga yang mahal apabilaUmno dan BN mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya 2008, maka berlakulah sindrom terpukul pula.

"Bila sindrom terpukul ini berlaku, kita merasa takut, malu, tidak ada harapan lagi dan merasa kecewa dan tidak mahu melakukan perubahan. Tapi, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan parti dan negara, saya harap sindrom selesa dan terpukul ini tidak ada kerana Najib memberikan dukungan kepada transformasi dalam kerajaan dan politik. Dengan kepimpinan Najib kita dapati rakyat telah bersama semula dengan Umno dan BN".   

"Tetapi jangan biarkan beliau (Najib) berseorangan kerana jentera akar umbilah yang akan memperkuatkan dan menterjemahkan apa yang Perdana Menteri mahukan. Oleh sebab itu, kita mesti ketepikan sindrom selesa dan terpukul yang pernah kita alami," katanya.   

Beliau berharap semua jentera dalam Umno dan BN bukan saja mula bergerak tetapi memperkukuhkan pergerakan mereka bagi menghadapi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang. - Bernama

Published with Blogger-droid v2.0.9

No comments:

Post a Comment